Friday, July 20, 2007

Hadis Palsu Rejab Sya'aban..

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.
Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.
Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.
Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.
Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).
“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).
Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.
Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.
Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.
Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).
Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.
Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.”
Mendengar
Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).
Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.
Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)
Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”
Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).
Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).
Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.
Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.
Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).
Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.
Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.
Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.
Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.
Ibadat
Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.
Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.
Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.
Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.
Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).
Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.
Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.
Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).
Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.


* MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Negeri Perlis.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Tuesday, June 19, 2007

MESTI BACA: Pejuang Perubahan Akan Di Kenang..!

Dua bulan yang lepas, Prof. Diraja Ungku Aziz mengirimkan saya sebuah buku yang amat mengagumkan. Saya amat gembira dengan hadiah yang tidak ternilai itu. Kata Pak Ungku, beliau telah membaca buku tersebut berulang-ulang kali. Bukunya nipis sahaja. Karya seorang tokoh melayu agung; Pendeta Za’ba.
Akibat tindakan golongan konservatif agama yang menentang pembaharuan di Perak pada tahun 30-an maka tulisan-tulisan Za’ba diharamkan dan buku tersebut turut tidak dapat muncul pada hayat Za’ba. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengambil tanggungjawab yang betul dengan mencetaknya walaupun setelah ketiadaan Za’ba.
Buku yang Pak Ungku kirimkan itu bertajuk: Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri.
Di muka hadapan buku tersebut diletakkan tajuk dan gambar Za’ba. Di kulit belakangnya diletakkan kata-kata beliau: “Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapat kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari orang apabila mati kelak…”
Dengan melihat kepada tajuk dan dan petikan tersebut, saya tertanya-tanya mengapakah Pak Ungku mengirimkannya kepada saya. Ia mendesak saya segera membaca buku berkenaan. Apabila saya baca saya dapati buku tersebut sangat hebat.
Za’ba bukan sekadar seorang ilmuwan bahasa semata, beliau juga seorang ilmuwan agama yang terbilang. Namun sikap agama yang begitu konservatif pada era beliau telah membunuh kewibawaan tokoh-tokoh yang seumpama beliau.
Sebenarnya, Za’ba dalam buku berkenaan menceritakan serta mengulas sikap orang melayu termasuk dalam hal beragama. Sikap suka bergantung kepada orang dan suka mengambil kesempatan atas nama agama.
Menurut Za’ba, cara beragama yang salah telah melemahkan bangsa melayu. Sikap enggan menilai semula apa yang menjadi kebiasaan yang kadangkala dikaitkan dengan agama membentuk nilai diri yang enggan berubah dan lemah. Antara kata-kata Za’ba dalam buku tersebut: “Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang.
“Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya.” (m.s 24).
Sikap bertaklid buta dalam pelbagai perkara terutama hal agama melambatkan proses pembangunan minda. Maka tidak hairan jika minda agama kita tidak mampu bersaing dengan pembangunan fizikal yang dibuat. Walaupun Za’ba menulis pada tahun 30-an, namun realiti hari ini masih terasa kesegaran tulisan tersebut.
Kata Za’ba: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya. Kerana sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta.
“Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan. Tuhan dan Rasul-Nya tidak menyukai orang-orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain.
*Tertaklid
“Imam-imam Mujtahidun dahulukala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan orang sekalian menerima sahaja segala fahamannya dan pendapatnya. Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid-murid dan pengikut-pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka peroleh itu.” (m.s. 25-26)
Sesungguhnya perjuangan mengajak supaya kita melihat agama berasaskan dalil atau fakta bukan taklid adalah perjuangan yang dipelopori oleh semua para mujaddid (tokoh pembaharuan). Di tanah air kita, para pejuang pembaharuanlah yang berusaha mengeluarkan masyarakat melayu dari pelbagai khurafat dan tahyul yang sebahagian menggunakan nama agama kepada akidah yang bersih.
Mereka jugalah yang mengeluarkan wanita dari kuasa paksaan bapa dalam perkahwinan, larangan wanita ke pusat pengajian dan seumpamanya. Mereka juga yang mengajak diubah amalan-amalan agama yang tidak berasaskan dalil bahkan lebih bersifat ‘bisnes cari untung’ seperti upah-mengupah ketika kematian.
Tol-tol kematian tersebut telah mengorbankan harta benda anak yatim dan orang miskin. Apabila berlaku kematian maka masyarakat berkumpul dan memakan harta peninggalan si mati, bukan berfikir tentang masa depan dan kebajikan kaum keluarganya. Ia sangat berbeza dengan ajaran Islam yang menyebut: “Apabila datang berita kematian Ja’far bin Abi Talib, Nabi s.a.w. bersabda: Buatlah untuk keluarga Ja'far makanan kerana telah datang perkara yang mengganggu urusan mereka. (Hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan lain- lain).
Tujuan para pejuang perubahan tidak lain, selain dari ingin melihat kebajikan, kegemilangan umat dan kemampuan mereka menghadapi cabaran zaman. Juga memelihara pegangan umat sehingga jangan seakan menganggap pandangan orang bergelar agama kesemuanya mesti ditelan bulat-bulat tanpa dinilai dengan neraka al-Quran dan al-sunah.
Tiada siapa pun yang maksum di kalangan umat melainkan Muhammad bin Abdillah s.a.w. insan yang ditabalkan menjadi rasul. Kata al-Imam Malik bin Anas: “Tiada seorang pun selepas Nabi melainkan boleh diambil dan ditolak pendapatnya kecuali Nabi.” (Al-‘Ajluni, Kasyf al-Khafa, 2/119, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-'Arabi).
Kata Za’ba yang menyelusuri pegangan ini: “Sekalian imam besar Islam zaman dahulu itu walau ‘Imam-imam Mujtahidun’ pun dan walau bagaimanapun alimnya, tidaklah pernah dikira sebagai orang yang maksum yakni terpelihara daripada tersilap dan tersalah. Mereka sendiri sentiasa sedar yang diri mereka tidak bersifat maksum itu.
“Mereka bukannya nabi; jika nabi baharulah layak dikira maksum pada apa-apa yang mereka katakan dari Allah dalam hal agama. Sungguhlah sebagai ulama mereka sekalian jadi waris kepada nabi-nabi; tetapi itu tidaklah memestikan sifat maksum pada diri mereka dan pada segala-gala pendapat fahaman mereka.
“Maka oleh sebab itu tidaklah pernah mereka mendakwa sekalian pendapat dan fahaman yang telah mereka keluarkan itu tentu betul sahaja dan mesti disetujui oleh orang sekalian, atau semuanya tetap layak dan sesuai kelak bagi segala hal dan zaman hingga bila-bila pun. Bahkan jangankan mereka mendakwa demikian, malahan sebaliknya mereka sendiri selalu berkata: “Kalau ada apa-apa perkataan atau pendapatku yang didapati oleh orang-orang kemudian bersalahan atau berlawanan dengan hadis sahih Nabi s.a.w., maka lemparkanlah ke tembok!”
“Apa lagilah jika sekiranya ada didapati bersalahan dengan al-Quran! Mereka tiada suka orang mengikut dengan taklid buta kepada apa-apa pendapat dan fahaman mereka itu. Mereka selalu suruh uji dan timbang sendiri barang apa-apa jua yang mereka katakan dalam kitab-kitab karangan mereka: Jika didapati betul bolehlah ikut; jika tidak betul atau tidak sesuai lagi, buanglah atau baiki akan dia.” (m.s 26)
Malangnya, golongan yang berkepentingan atas nama agama pada setiap zaman mencemburui proses perubahan dan pembaharuan berdasarkan al-Quran dan al-sunah. Sedangkan umat memerlukannya. Lalu yang berkepentingan menghasut sesetengah pihak agar menganggap proses pembaharuan adalah sesuatu buruk dan patut ditentang.
Za’ba menjawab hal ini dengan tegas, katanya: “Kita semuanya berkehendakkan baik dan tiada siapa yang berkehendakkan jahat. Kita ingin hendak membaiki segala hal-ehwal kita yang kekurangan, sama ada pada perkara dunia dan pada perkara agama; hendak mengubah segala sifat keadaan kita yang buruk atau kurang baik ditukar dengan yang baik dan yang terlebih baik. Kita hendak mengganti segala hal kita yang mundur dan ketinggalan, ditukar dengan yang maju dan bertambah elok mengikut kehendak zaman pada segala yang baik.
“Kita hendak mengganti segala jalan fikiran kita yang kuno dan kolot dan segala kepercayaan atau pegangan kita yang sudah lapuk dan reput, ditukar dengan fikiran-fikiran baharu yang segar dan hidup dan dengan kepercayaan yang dapat disaksikan benarnya melalui ujian Quran bersendi akal dan ilmu pengetahuan. Kita mahu pemulihan dan pembaharuan bukan hendak berkokok pada jalan yang telah hanyut dari tujuan asalnya dan bukan pula berdegil hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah membeku jadi adat atau kepercayaan-kepercayaan lama yang sudah berkulat dan bercendawan!” (m.s 38)
Sunggguh pelik, seorang sarjana besar bangsa seperti Za’ba diharamkan pemikiran dan tulisannya oleh golongan agama yang sempit pada zamannya. Namun, apa yang hendak dihairankan, tokoh agung Nusantara iaitu Buya Hamka telah diharamkan berceramah di negeri tertentu di Tanah Melayu ketika hayatnya. Hanya kerana pandangan Hamka tidak dapat diterima oleh sesetengah mufti Tanah Melayu. Sehingga Hamka menulis beberapa sindiran yang amat tajam terhadap mufti-mufti di Tanah Melayu.
*Semangat
Hal seperti inilah yang Za’ba sebutkan: “Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulukala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta!
“Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulukala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada al-Quran dan hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulukala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu dan berbagai-bagai lagi.
“Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat.” ( (m.s 33).
Demikian nasib yang diterima oleh para pejuang perubahan pada setiap zaman. Bacalah sejarah perjuang Syed Syeikh al- Hadi, Mustafa Abdurrahman dan lain-lain di Tanah Melayu. Namun mereka telah nekad yang akhirnya melimpahkan kebaikan kepada generasi kemudian. Dalam konteks yang lebih global, lihatlah sumbangan perjuangan tajdid seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Rasyid Redha dan lain-lain. Walaupun sebahagian besar mereka di‘gam’kan pada zaman mereka, namun nama mereka terus dikenang oleh generasi kemudian. Bak kata pepatah ‘Al- Baqa li al-Aslah’ iaitu berkekalan itu bagi yang terbaik. Pihak yang men‘gam’kan mereka telah pun dilupai namanya, namun nama para pejuang terus dikenang. Lihat al-Imam Ahmad yang dihukum dengan begitu rupa oleh kuasa agama pada zamannya.
Hakim yang menghukum al-Imam Ahmad sekalipun megah bersandarkan kedudukan pada masa itu telah dilupai namanya oleh generasi kemudian, namun nama al-Imam Ahmad dan pendiriannya terus dikenang dengan tinta emas oleh sejarah.
Untuk itu saya selalu katakan sesuatu pemikiran apabila dilontarkan ke dalam masyarakat, ia tidak dapat dihapuskan lagi melainkan dengan pemikiran yang lebih kukuh dan teguh. Paksaan tidak mungkin dapat menghancurkan sesuatu pemikiran, kerana tempat pemikiran adalah fikiran atau minda. Hanya yang boleh mencabutnya keluar adalah hujah yang memaksa minda akur dan menerimanya. Fahami hakikat ini.
Sesungguhnya jeritan dan bantahan atas emosi dan sentimen tidak akan membuahkan hasil. Jawablah sesuatu hujah itu dengan hujah, bukan dengan sentimen dan emosi. Di samping wajib kita ingat hikayat melayu Hang Nadim yang dibunuh kerana kepintaran ideanya dek bimbangkan kepentingan diri janganlah diwatak di pentas realiti kita.
Buku Za’ba ini baik untuk dibaca terutama bagi yang kuat bercakap soal Islam di Malaysia mesti ikut ‘orang tua-tua Melayu’. Za’ba adalah tokoh sarjana melayu. Seperti Pak Ungku menyarankan kepada saya. Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim juga cuba mengambil langkah memasyhurkan buku ini.
Saya sarankan anda membaca buku tersebut. Saya juga berterima kasih kerana setiap tulisan saya dibaca oleh ramai negarawan, menteri, tokoh-tokoh masyarakat dan rakyat biasa yang memberikan semangat yang sangat positif kepada saya. Walaupun segelintir yang kurang senang, namun saya harap ia tetap akan dikenang.

DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

MURTAD: Antara Emosi dan Realiti...

MURTAD adalah ungkapan yang menakutkan. Tidak ada mukmin yang sebenar tidak berasa sensitif atau ketakutan apabila perkataan murtad dikaitkan dengannya. Bahkan mukmin yang sejati apabila mendengar perkataan murtad atau kufur akan menyebut dalam jiwanya, “aku pohon perlindungan dengan Allah dari itu semua.” Allah berfirman dalam s urah al-Baqarah: 217: (maksudnya) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka mereka itu rosaklah amalan (yang baik) mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
Murtad jika menjadi satu fenomena ia akan mengancam masyarakat muslim. Jika masyarakat itu telah membentuk negara muslim, ia akan mengancam identiti negara tersebut. Maka fenomena murtad sangat berbahaya serta boleh mencetuskan perubahan identiti atau maruah sesebuah negara muslim. Dalam masyarakat hari ini, kita menangkap dan mengambil tindakan kepada penyalahgunaan dadah. Walaupun mudarat langsung itu kelihatan berlaku kepada diri individu, namun jika ia menjadi arus, ia akan mengancam identiti dan keseimbangan sesebuah masyarakat.
Maka tidak hairan apabila murtad menjadi gelombang yang mengancam kestabilan maka Abu Bakar mengambil tindakan memerangi mereka. Hakikat ini tidak wajar dipertikaikan oleh seorang muslim.
Namun dalam suasana sekarang ini, saya ingin mengajak persoalan ini dilihat luar dari sempadan emosi, tetapi atas kerangka tanggungjawab agama dan kepentingan umat. Langkah pencegahan ke arah murtad perlu dilakukan secara bersungguh. Ini sesuatu yang kita sepakati. Di samping sesuatu yang perlu kita tahu bahawa seseorang itu menjadi murtad apabila dia melanggar batasan akidah Islam secara sedar, faham dan tidak dipaksa. Sama ada pelanggaran itu dalam bentuk perkataan, atau perbuatan, atau keyakinan. Apabila pelanggaran itu dilakukan seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, atau mengisytiharkan diri telah keluar atau ingin keluar dari Islam maka dia menjadi murtad.
Kemurtadan ini tetap berlaku sama ada disahkan atau tidak disahkan oleh mana- mana pihak. Pernyataan agama dalam kad pengenalan bukanlah penentu sebenar kepada hakikat akidah seseorang. Ia hanya untuk urusan kemasyarakatan atau pentadbiran. Ini bererti sekiranya kita berjaya menahan seribu orang yang mengisytihar diri keluar dari Islam agar tidak dapat menukar agama kad pengenalannya, kita sebenarnya hanya menyimpan seribu orang murtad yang akan bertopeng dalam masyarakat muslim sahaja. Apa jadi, jika kad pengenalan itu dijadikan ukuran oleh beberapa pihak lalu berkahwinlah golongan murtad ini dengan orang-orang Islam yang sebenar?
Mereka juga mungkin menguasai institusi-institusi agama atas kebijaksanaan mereka dalam bidang tertentu, sedangkan mereka murtad. Akhirnya kita menyimpan barah yang amat berbahaya dalam tubuh umat. Maka sekadar pertahankan perubahan agama pada kad pengenalan semata, bukan satu kejayaan. Bahkan mungkin menjadi musibah jika berleluasa pada suatu hari nanti. Kejayaan yang sebenar adalah mengembalikan mereka ke pangkuan Islam secara reda dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini.
Berikutnya, kita jangan sampai diperdayakan oleh musuh dengan meletakkan angka murtad sehingga ratusan ribu. Walaupun ada, ia tidak sampai kepada angka tersebut. Jangan pula kita mudah menghukum orang lain murtad hanya atas khabar angin. Apakah kita ingin menghidupkan suasana kafir-mengkafir atas andaian semata. Perbuatan itu hanya memporak- perandakan masyarakat Islam.
Meletakkan angka yang sebesar itu hanya melancarkan agenda musuh-musuh Islam. Ia akan menyebabkan dunia menekan negara agar tidak mengabaikan hak jumlah manusia yang ratusan ribu itu. Lantas usaha ke arah murtad mendapat sokongan dunia luar.
Kedua, meletakkan jumlah yang sedemikian besar, hanya akan mematahkan semangat mereka yang ingin menganut Islam dan usaha ke arah mengajak manusia kepada Islam. Alangkah malunya, ketika umat Islam dunia Barat yang ditekan sedang giat dan berjaya mengislamkan saban hari jumlah begitu banyak penduduk Barat sedangkan kita kalut dengan cerita orang murtad. Padahal tidak ada kerajaan yang memberikan keistimewaan kepada umat Islam di Barat. Apatah lagi perlembagaan yang boleh dikaitkan dengan Islam. Tiba- tiba dalam negara yang banyak masjid, ceramah agama di sana sini, ada pejabat agama dan mufti, pelbagai pertubuhan Islam wujud, perlembagaannya menyebut Islam, ustaz-ustaznya pun banyak duit ceramah yang telah dihasilkan, mufti-muftinya pun ramai yang berjenama mewah, slogan Islam pun banyak kedengaran di sana sini, lalu kita isytiharkan ratusan ribu telah murtad.
Sedangkan umat Islam Barat yang lebih mencabar keadaan mereka itu mengisytiharkan ratusan ribu yang menganut Islam. Bahkan begitu banyak gereja bertukar menjadi masjid. Padahal tidak ada mahkamah syariah pun di negara-negara tersebut. Namun mereka berdakwah dengan penuh amanah dan kesarjanaan. Lantas, manusia berbondong-bondong menganut Islam.
Aduhai malangnya kita. Jika hal yang berlaku sebaliknya. Kalau begitu, barangkali elok sahaja kita pencenkan menteri Jakim, mufti-mufti kesemuanya yang sewaktu dengan mereka kerana ternyata gagal mempertahan dan menjelaskan Islam yang agung ini kepada umat.
Kita juga hendaklah mengkaji sebab-sebab murtad di negara ini. Jangan hanya menuding jari ke pihak lain, tanpa melihat kepada diri kita sendiri. Jika kita teliti, ramai yang ingin meninggalkan Islam terdiri daripada mereka yang dahulunya beragama lain. Mereka menganut Islam kadangkala disebabkan faktor perkahwinan. Apabila berlaku perceraian, mereka hilang tempat bergantung. Masyarakat Islam pula ramai yang kurang prihatin terhadap saudara baru. Lalu mereka tiada pilihan, terpaksa kembali kepada keluarga asal atau masyarakat yang lebih memahami mereka. Sebab itu, saya mencadangkan masjid Cina. Antara sebabnya membolehkan mereka bertemu dengan yang senasib atau yang lebih faham tentang diri mereka. Lalu berlaku bantu-membantu. Juga proses pemahaman Islam lebih lancar dan mudah. Itu pun ada yang membantah cadangan tersebut. Kononnya hendak jaga identiti Melayu.Takut berpecah antara sesama Islam yang berlainan bangsa. Itulah andaian emosi tanpa satu kajian. Padahal, apa yang berlaku sekarang bukan sekadar berpecah, bahkan keluar agama!
Baru-baru ini ada saudara baru yang minta hendak menganut Islam di hadapan saya. Katanya, dia telah ke pejabat agama sebuah negeri tetapi ditolak beberapa kali kerana lidahnya tidak dapat menyebut ucapan syahadah dengan baik. Inilah sikap buruk sesetengah kita yang menghalang orang hendak menganut Islam. Barangkali ustaz berkenaan kalau boleh bacaan tajwid orang yang hendak menganut Islam pun hendak diujinya. Ya syeikh! Islam dianuti bukan kerana kefasihan lidah, tetapi keyakinan dan akidah!
Amatlah pelik, bagi agama yang indah, harmoni dan dipenuhi pula dengan hujah dan alasan, tiba-tiba ada pula yang tidak puas hati dengannya dan ingin meninggalkannya. Padahal saluran penerangan Islam begitu luas dalam negara ini. Sedangkan Islam sudah sempurna. Tidak ada masalah dengan inti kandungannya. Ia agama yang mampu dicabar. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 111: (maksudnya): Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani.” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Bawalah bukti-bukti kamu itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”
Apa yang tinggal untuk dipersoalkan adalah sikap penganutnya. Manusia lari meninggalkan Islam kerana sikap penganutnya atau huraian Islam yang salah. Bukan kerana Islam. Kita gagal membina benteng yang mampu mempertahankan Islam. Kita lebih suka menyalahkan orang lain apabila kita lemah. Saya ambil contoh dalam masalah Bible dalam bahasa melayu. Saya bukan ingin mengatakan dibolehkan atau tidak. Tetapi sehingga bila kita ingin menjerit dan membantah. Kita bimbang anak-anak kita terpengaruh dengan Bible jika ianya dalam bahasa Melayu. Apakah kita tidak bimbang jika anak kita pandai bahasa Inggeris dan nanti dia boleh baca Bible dalam bahasa Inggeris pula? Tidak inginkah pula kita mengharamkan bahasa Inggeris untuk anak-anak kita? Apa pula yang hendak kita buat dengan Internet yang seseorang mampu mendapatkan apa sahaja daripadanya? Apa kita kata jika kita dapati ada satu bangsa yang takut orang- orangnya diberi kesempatan membaca al- Quran terjemahan dalam bahasa mereka. Tentu kita akan kata; mereka takut sebab al-Quran itu benar. Demikianlah orang lain fikir tentang kitab mereka apabila dihalang. Sehingga bila kita mampu menghalang? Sepatutnya kita membina benteng ketahanan yang kuat. Lihat apa yang dibuat oleh Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik dalam menjawab Bible. Orang menganut Islam apabila mendengar mereka membahaskan Bible. Huraikan Bible secara ilmiah dan buktikan kebenaran al-Quran dan Islam. Ustaz-ustaz mesti meningkatkan kemampuan menguasai bidang yang pelbagai sesuai dengan tuntutan zaman. Bukan asyik kempen kismis jampi sahaja. Kocek penuh, umat lari. Jawab segala tuduhan terhadap Islam dengan penuh wibawa dan ilmiah. Bukan emosi semata. Bahkan kalau perlu dihuraikan Das Kapital pun huraikanlah sekalipun dalam masjid. Namun apabila ceramah dan syarahan agama lebih banyak jenaka dan lawak ‘tak pandai’ maka pelbagai tohmahan terhadap Islam gagal ditangkis dengan mantap. Sedangkan al-Quran mengajar pelbagai isi dan cara berdialog menghadapai Ahl al-Kitab. Antaranya Allah menyebutkan:
(maksudnya) Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang- orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah Kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut: 46).
Anak-anak kaum muslimin mustahil akan terpengaruh dengan Bible jika mereka membaca al-Quran. Ada yang kata: masalahnya mereka tidak baca al-Quran. Kita tanya; jika al-Quran pun mereka tidak minat baca, macam mana pula mereka berminat membaca Bible? Atau barangkali di rumah mereka tidak ada al-Quran terjemahan? Ataupun mungkin juga cara al-Quran dihuraikan oleh sesetengah kita menjadikan orang salah faham atau tidak minat dengan al-Quran.
Apa yang penting, kita mesti bina ketahanan diri dalam kefahaman umat Islam di Malaysia ini. Sejauh manakah kita hendak bertahan dengan jeritan dan bantahan terhadap orang lain, jika kita sendiri lemah. Umat Islam di negara Barat tanpa pelbagai keistimewaan seperti kita tetapi mampu menyebarkan Islam. Bahkan selepas 11 September al-Quran dilaporkan begitu laris di pasaran mereka. Mengapa kita sebaliknya?
Ramai yang memperkatakan hukuman murtad. Saya tidak ingin melebarkan khilaf fuqaha di sini. Namun kita tidak melaksanakan langkah-langkah yang diperintahkan syarak sebelum menghukum orang murtad. Hasil dari nas-nas hadis dan amalan sahabah, para fuqaha menyatakan hendaklah orang murtad itu diberikan ruang perbincangan, dihilangkan kekeliruannya mengenai agama dan diajak bertaubat (lihat: Abd al-Halim ‘Uwais, Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami al-Mu‘asir, 3/438).
Proses ini penting, sebelum kita sibuk memperkatakan tentang hukuman. Proses ini boleh dibuat oleh pelbagai pihak. Tidak semesti memerlukan kuasa. Namun hanya sedikit yang melakukannya. Banyak perkara yang mengelirukan umat Islam pada zaman ini. Manusia mungkin murtad disebabkan kurangnya penjelasan yang meyakinkan. Sikap, tindakan dan pentafsiran sesetengah pihak di kalangan umat Islam juga boleh menyebabkan orang bingung dengan Islam. Tiba-tiba apabila mereka murtad terus sahaja ada pihak yang memperkatakan tentang hukuman sebelum mendengar dan membuat penjelasan secara mantap dan adil, mana mungkin jiwa yang merdeka dapat menerimanya. Proses penerangan dan dialog tentang Islam dengan cara yang lebih terbuka dan berani patut dilakukan. Di negara lain, tokoh-tokoh umat Islam sudah lama mampu menyampaikan penerangan tentang Islam sehingga di gereja dan di pelbagai saluran.
Hari ini tidak ada Abu Bakar yang mampu menolong kita. Apa yang patut kita fikirkan adalah membina ketahanan umat agar kukuh kefahamannya terhadap Islam. Pengukuhan itu tidak akan berlaku jika pihak yang menerangkan Islam itu sendiri rapuh kefahamannya dan menakutkan pula wataknya. Lebih penting isu murtad jangan dijadikan sebagai peluang untuk mempromosi diri, persatuan atau modal politik. Sebaliknya lihat ia sebagai tanggungjawab bersama yang mesti ditangani secara ilmiah, bukan sentimen.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis

Monday, May 28, 2007

Antara PENGAMPU Dan PENCERCA..!

Seseorang pemerintah hendaklah tahu, bahawa bukan semua yang memujinya ikhlas kepadanya. Mungkin pujian itu datang disebabkan takut kepadanya atau habuan yang diharapkan. Maka tidak hairanlah jika ramai pemerintah yang dipuji pada zaman dia berkuasa, dikeji dan dihina pada hari dia kehilangan takhta.
Para pengampu juga akan mencari ‘tempat ampuan’ yang baru. Di samping itu, sesuatu yang pasti bahawa setiap yang mengutuk atau memaki pemerintah secara terbuka, tidak mempunyai keikhlasan terhadap pemerintah. Pemaki atau pencerca sebenarnya sama seperti pengampu. Kedua-duanya mengharapkan habuan. Pemaki mengharapkan dengan makian itu dia diangkat, atau dianggap wira. Lalu habuan akan datang melalui penyokongnya, atau akan ada kerusi yang diberikan kepadanya.
Para ulama tidak boleh menjadi pengampu pemerintah. Dalam masa yang sama, mereka tidak diizinkan syarak menjadi pencerca atau pemaki pemerintah. Mengampu pemerintah dengan menggunakan nas- nas agama menyebabkan pemerintah tersesat jalan dengan merasai sentiasa dirinya betul.
Apa tidaknya golongan agama pengampu ini yang akan menyokong segala-galanya. Tanpa perlu berfikir panjang, kerjanya mencari dalil dan hujah menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah. Segala dalil-dalil syarak diputar agar bersesuaian dengan cita rasa pemerintah.
Sikap ini sangat berbeza dengan akhlak pendakwah yang tidak suka melihat manusia melakukan kesalahan dan gembira melihat manusia melakukan kebaikan.
Golongan ulama pengampu mengambil langkah menyokong apa sahaja yang dibuat oleh pemerintah. Mereka biasanya mendapat habuan dunia yang memberangsangkan. Pemerintah mempergunakan golongan ini sebagai alat menghalalkan segala tindakannya. Mereka adalah ulama jahat yang banyak mengorbankan agama dan rakyat. Mereka ini bagaikan lalat yang mencari kesempatan menghurung bangkai yang busuk. Demikian mereka mencari kesalahan pemerintah untuk dikerumuni dan dihalalkan.
Golongan pemaki yang bertopengkan agama pula menjadikan kutukan ke atas pemerintah atau bangkangan terhadap sesebuah kerajaan yang berkuasa sebagai modal cari makan. Mereka juga biasanya mendapat habuan dunia dengan pelbagai aktiviti dan jemputan. Duit orang ramai juga mudah dikumpulkan untuk apa-apa projek atas tiket semangat menentang kerajaan.
Segala dalil syarak dipersembahkan dalam bentuk menyanggahi pemerintah. Kedua-dua golongan ini merosakkan umat dengan kerosakan yang amat besar.
Islam memerintahkan para ulama dan umat sentiasa menasihati pemerintah. Bukan mengampu atau memakinya. Nasihat itu adalah tuntutan agama. Nasihat mungkin datang dengan nada yang lembut. Juga mungkin dengan nada yang tegas.
Namun penasihat sentiasa mengharapkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati. Tidak dinamakan nasihat, jika kita memujinya sehingga dia tersasar. Juga tidak dinamakan nasihat jika kita memakinya di khalayak ramai. Daripada Abi Hurairah: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah meredai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya, (ketiga) kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik 2/169).
*Sedar
Para pemerintah hendaklah sedar bahawa golongan yang mentaati mereka ketika mereka melakukan kemungkaran adalah golongan menjual agama dan tidak jujur terhadap diri dan pemerintah itu sendiri.
Daripada Abi Said al-Khudri, daripada Nabi, sabdanya: "Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah." (Riwayat al-Bukhari 6/2438 dan al-Nasai 7/158).
Al-Bukhari meriwayatkan: Ada golongan berkata Ibn ‘Umar: “Kami masuk kepada pemerintah kami, lalu kami berkata kepada mereka berbeza dengan apa yang kami cakap apabila kami keluar dari mereka.” Kata Ibn ‘Umar: “Kami dahulunya (zaman Nabi s.a.w) menganggap itu sebagai nifak (perbuatan munafik).” (Riwayat al-Bukhari 6/2626).
Benarlah nasihat Syaiban al-Ra’i pernah menasihati Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.”
Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku.” Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata, “Kamu kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar’iyyah, 1/198).
Maksudnya mereka yang memberi nasihat dengan jujur lebih bermanfaat untuk pemerintah dari mereka yang mengampu yang sebenarnya merosakkan pemerintah. Sabda Nabi: "Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)." (Riwayat Ahmad 14/78, al-Nasai 7/160 dan al-Tirmidhi. Hadis ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337- 339).
Ada pula yang berpendapat bahawa ulama yang tidak berani memaki secara terbuka sebagai ulama pengecut. Namun petunjuk hadis tidak begitu. Sabda Nabi: "Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya." (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani ketika mentahqiq al- Sunah ini (hlm 507).
Orang politik ramai yang mempunyai ego yang tinggi. Jika disebut kesalahan di khalayak ramai, maka kemungkinan dia enggan akur kerana ego politiknya. Jika secara bersendirian, ruang penerimaan itu lebih mudah. Hadis ini juga menjelaskan bahawa pemerintah mesti terus dinasihati sama ada dia menerima ataupun menolak.
Sekiranya dia menerima, maka itu sesuatu yang sangat baik untuk dirinya dan umat. Jika dia menolak, pemberi nasihat telah pun menunaikan tanggungjawabnya. Di samping nasihat juga dapat mengingatkan dia tentang akibat sesuatu perbuatan atau perkara. Sekalipun jika dia tidak terima, dia tetap akan tahu nilai perbuatan di sisi syariat Allah.
*Manfaat
Kata al-‘Adhim al-Abadi: “Kata para ulama: “Tidak gugur dari mukalaf tanggungjawab al-Amr bi al-Makruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar hanya kerana pada sangkaan tidak memberi faedah. Bahkan wajib dia melakukannya kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang beriman.” (Al-‘Adhim al-Abadi, ‘Aun al-Ma’bud, 11/330).
Sabda Nabi: Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil – dalam riwayat yang lain: Yang benar – di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim. (Riwayat al-Nasai 7/161 Abu Daud 4/124, al-Tirmidzi 4/ 471 dan Ibn Majah 2/1329. Al-Diya al-Maqdisi menyatakan sanadnya sahih (Al-Diya al-Maqdisi, Al- Ahadith al-Mukhtarah, 8/110).
Hadis ini selalu disalah fahami untuk membolehkan cercaan terbuka. Jika diteliti hadis ini jelas menunjukkan perkataan yang adil atau benar itu hendaklah dilakukan di hadapan pemerintah yang zalim, bukan di belakangnya. Ini membawa risiko yang paling tinggi dalam berdakwah. Adapun menyatakan kalimat yang benar atau adil di belakang pemerintah, ramai yang mampu melakukannya. Begitu juga mencercanya di belakang.
Kata al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd Allah bin Baz: “Bukan dari Manhaj al-Salaf (jalan salafussoleh) menghebohkan dan menyebut keburukan pemerintah di atas mimbar. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada porak-peranda dan hilang ketaatan dalam perkara makruf. Ia membawa kekecohan yang memberi mudarat dan tidak bermanfaat. Sebaliknya jalan yang ikuti di sisi golongan salaf: Nasihat antara mereka dengan pemerintah, menulis kepada mereka, atau berhubung dengan ulama yang mempunyai hubungan dengan mereka.” (Al-Qahtani, Fatawa al-Aimmah fi Nawazil al-Mudlihammah, hlm 98).
Kata Dr. Salih bin Fauzan: “Mereka yang paling utama untuk melakukan nasihat kepada para pemerintah ialah ulama, cerdik pandai dan ahli mesyuarat pemerintahan. Firman Allah: (maksudnya) Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada uli al-Amr di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan). (al- Nisa: 83).
Bukan setiap individu layak untuk urusan ini. Bukanlah sama sekali menghebah dan menghebohkan kesalahan itu suatu nasihat. Ia bukan Manhaj al-Salaf al- Salih. Sekalipun maksud pelakunya itu baik iaitu untuk membantah mungkar seperti yang mereka dakwa.
Namun apa yang dia buat lebih mungkar dibandingkan apa yang dia bantah. Sebabnya, boleh jadi membantah mungkar itu juga suatu kemungkaran. Ini sekiranya tidak di atas jalan yang disyariatkan Allah dan Rasul-Nya, maka ia adalah mungkar... (Ibid, hlm 124).
Jika Firaun yang melampaui batas tetap Allah perintahkan Musa dan Harun agar datang menasihatinya dengan cara yang baik, apatah lagi para pemerintah semasa. Firman Allah: (maksudnya) Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut. (Taha: 43-44).
Aliran seperti inilah yang dipelopori oleh para ulama muktabar sejak zaman dahulu. Dengan itu, kita akan dapati mereka menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah dengan tegas, dalam masa yang sama mereka juga taat tidak menentang secara terbuka, tidak mencerca secara berleluasa dan bekerjasama dalam perkara yang baik.
Sejarah merakamkan watak tegas mereka di hadapan pemerintah, sabar mereka dengan kerenah pemerintah dan kerjasama mereka dalam urusan kebaikan. Walaupun mereka mempunyai kekuatan mengumpulkan rakyat, namun para imam ahli sunah tidak keluar menentang pemerintah secara terbuka. Sekalipun di kalangan mereka ada yang diperlakukan seperti apa yang berlaku kepada al-Imam Ahmad bin Hanbal.
Demikian juga dalam hal para pemerintah. Makian hanya mengundang keburukan, bukan faedah kepada Islam. Jika mereka dinasihati dengan baik, jelas, tegas dan tidak menggadaikan prinsip agama, pemerintah mungkin akan memikir dan menerimanya. Saya percaya ramai pemerintah dalam banyak keadaan belum mendengar nasihat yang ikhlas, lunak, tegas dan bernas.
Nasihat itu pula disampaikan secara langsung tanpa sebarang kepentingan diri penasihat. Mungkin apa yang banyak pemerintah dengar adalah ucapan para pengampu yang mengampu bukan-bukan. Atau para pencerca yang kegiatannya adalah mencerca pemerintah. Atau mungkin juga ada nasihat yang baik, namun apabila ia datang atas nama seteru politik menyebabkan para pemerintah salah sangka dengan nasihat tersebut.
Pemerintah umat ini masih tandus dan gersang nasihat-nasihat yang hebat seperti yang pernah diberikan oleh para ulama terbilang di hadapan para pemerintah yang lampau sehingga menitiskan air mata mereka.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Thursday, May 24, 2007

Israiliyyat: Penceramah Mencemarkan Al-Quran..

MELIHAT sesetengah penceramah di dalam atau di luar televisyen berceramah agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari mana dikutipnya amat merisaukan hati. Sebahagian kisah itu tidak mempunyai sandaran agama yang diiktiraf dari segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya Israiliyyat.
Lebih malang, sebahagian kisah itu seperti mitos atau kartun. Apabila dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan agama yang agung itu. Secara umum Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat Yahudi atau Bani Israil. Riwayat-riwayat tersebut terselit atau disebut dalam buku-buku umat Islam.

Para ulama hadis sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat membezakan antara Israiliyyat.

Dunia semakin canggih. Banyak perkara yang tidak wujud pada generasi lalu, adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan pendekatan juga berubah.

Dahulu apa yang dinyatakan oleh orangorang tua tidak dibantah. Hari ini barangkali tidak. Mungkin dalam sesetengah perkara dianggap ‘ketinggalan bas’. Dahulu cakap orang bergelar ustaz atau tok guru tidak dibantah, bahkan dianggap berdosa jika melawan. Perbuatan ustaz/ tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘Tuhan’ . Ucapan mereka diterima bulat- bulat, bagaikan rasul maksum.

Justeru, sekalipun ‘mandi safar’ syirik, namun kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘ustaz’, maka sekian lama kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat Melayu. Tepung tawar pelepas bala yang mempunyai nilai-nilai syirik dilakukan.

Sebabnya kerja ini ‘difrancais’ oleh ustaz atau tok guru. Perkara yang ‘sewaktu dengan semua itu’ bukan sedikit telah berlaku namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang pupus. Hari ini dunia lebih moden. Pendidikan dan pengetahuan moden menuntut setiap perkara dikemukakan berdasarkan fakta dan angka.

Dahulu barangkali ustaz boleh menceritakan berbagai-bagai riwayat Israiliyyat dengan selesa sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak nabi diperkatunkan. Hari ini kisah-kisah itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘kancil’, tetapi tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan nabi. Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharam atau asyura bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dan berkempen orang ramai memasak bubur itu.

Hari ini generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai chef untuk memperkenalkan resipi bubur. Baginda seorang nabi yang mempunyai mesej dakwah yang besar. Dahulu barangkali seorang ‘ustaz’ bercerita dengan bebas jampi penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini ia tentu dipertikaikan. Dahulu berdasarkan cerita sesetengah ustaz atau lebai, ada yang ikut mempercayai “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.” Pengetahuan moden menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika mengulas riwayat ini: “Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, m.s.78.)

Kata Abu Syahbah : “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul” (Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al- Tafasir. m.s 305)

Malangnya, ada golongan agama dahulupercaya dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu berada atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu lain.

Ini menyanggahi hakikat, bumi terapung- apung di angkasa. Kita menyeru kepada tajdid (pembaharuan). Kita menentang hal ini.

Kita katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai masa kini untuk membezakan antara isi al-Quran dengan riwayat Israiliyyat boleh membawa mereka salah faham terhadap al-Quran dan ragu-ragu terhadap inti kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan manusia moden banyak menolak bentuk khurafat. Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah jelas dalam membezakan antara kisah-kisah yang termuat dalam buku- buku tafsir dan kisah-kisah al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menghidangkan kisah-kisah lucu yang bertentangan dengan fakta sains seperti contoh di atas. Kata guru saya iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi : “Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji, penulis dan penceramah daripada kalangan Muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi metodologi yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada berbagai-bagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak lebih daripada kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israiliyyat dan kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma‘a Qasas al-Sabiqin fi al-Quran 1/31)

Di saat dunia semakin canggih dan moden, kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya.

Ini membuktikan, Islam dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan, tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang tulen tetap utuh kerana mesej dan tujuannya tidak dicemari kekarutan.

Inilah mesej al-Quran dan sunah yang sahih. Fokus kisah-kisah al-Quran adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan meracau dalam perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran.

Kisah Luqman umpamanya, al-Quran hanya menyebut sesuatu yang bermanfaat. Firman Allah, Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada ALLAH (akan segala nikmat-Nya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Luqman: 12)

Demikian insan apabila membaca ayat ini tahu pengajaran yang dapat dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan yang Allah berikan. Selepas ayat ini, Allah menceritakan nasihat-nasihat Luqman kepada anaknya. Antaranya nasihat berkualiti yang terbit daripada orang yang diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat kebaikan yang tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan nasihat-nasihat tersebut. Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan pendidikan bermutu dan tepat.

Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan perkara-perkara lain dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman ialah lelaki hamba abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek, hidungnya penyek, bibirnya tebal, lebar tapak kakinya dan berbagai-bagai lagi. (lihat: Salah al-Khalidi, Ma’ Qasas al-Sabiqin, 3/150)

Tambahan Israiliyyat hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada tujuan utamanya yang menghidangkan kisah itu sebagai pengajaran dan pengiktibaran. Apakah faedah besar untuk pembaca al- Quran jika dia mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa Habsyi, berhidung penyek? Apakah dia boleh meniru itu semua jika Allah mentakdirkannya berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa Habsyi? Apakah itu tujuan kisah yang dibawa? Atau tujuannya mengisahkan seorang hamba Allah yang diberi hikmah dan diperintahkan bersyukur kepada Tuhannya? Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani.

Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain: “Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil, menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap pergerakan watak-wataknya dan latar belakang peristiwa. Al-Quran tidak melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran, pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan- panduan yang terdapat dalam kisah- kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran.

Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi kisah- kisah umat yang lalu. Mereka tidak sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia bersifat lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Malangnya mereka mencari dari sumber yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil daripada manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi).” (Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s. 85)

Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui perkara-perkara baru. Masa untuk membaca al-Quran terganggu dengan urusan dan kerja yang sentiasa mengasak dan mendesak. Jika waktu terhad dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat, tentulah fokus yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran tergadai. Apatah lagi kisah-kisah Israiliyyat itu mencemarkan wajah agama di hadapan fakta sains.

Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap Islam mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam dan menolaknya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar sesetengah ‘ustaz’ di Malaysia menyatakan umur dunia 7,000 tahun sedangkan para saintis menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun.

Mereka akan tertanya: Inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar? Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat. Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyyat dan dusta, tidak ada kaitan dengan Islam.( Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, 1/14)

Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi: “Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan.” Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu Israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum Muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da‘iyyah, 41). Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru. Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis