** Kata ibnul'araby: Jom kita lihat dan fikirkan tentang hujah2 ini dengan rasional. Jangan mudah melompat. Lihatlah perbahasam agama dengan pandangan ilmu. Moga ada manfaatnya...
APABILA isu khalwat dibangkitkan, ramai yang memberikan reaksi masing-masing. Ada yang begitu konservatif sehingga enggan memahami maksud sebenar isu ini. Namun yang nyata sokongan golongan terpelajar dan berpendidikan di negara ini amat memberangsangkan.
Sebenarnya, apa yang dipertikaikan bukanlah usaha mencegah kemungkaran, tetapi disiplin dan pendekatan yang diguna pakai. Juga fokus yang berlebihan terhadap maksiat tertutup sehingga melupai tanggungjawab sebenar terhadap pencegahan maksiat terbuka.
Seperti yang dimaklumi, antara perkara asas yang disepakati oleh umat Islam tanpa kecuali ialah Al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘An al-Munkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) adalah kewajipan agama. Melaksanakannya adalah ibadah kepada Allah s.w.t., kecuaian terhadap tanggungjawab ini adalah dosa.
Islam adalah agama yang berpegang kuat dengan disiplin dan peraturan. Dari dalam masjid sehingga ke medan perang, ada peraturan dan disiplinnya. Apa yang penting, suruhan dan perintah itu diiringi rukun, peraturan, disiplin dan kaedah yang mesti diikuti.
Sesuatu ibadah tidak sah melainkan dengan syarat-syaratnya. Syarat ibadah ialah ikhlas dan menepati al-Quran dan al-Sunah. Sesiapa yang ikhlas tetapi tidak menepati al-Quran dan al-Sunah, amalannya ditolak.
Kata Ibn Taimiyyah : “Oleh kerana ini menjadi batasan setiap amalan soleh, maka penyuruh kepada makruf dan pencegah daripada mungkar itu sendiri wajib memenuhi tuntutan tersebut. Justeru tidak menjadi amalan soleh jika tidak dengan ilmu dan fiqh.”
Sesungguhnya tujuan dan amalan jika tidak dengan ilmu maka ia adalah kejahilan, kesesatan dan mengikut hawa nafsu - seperti yang dijelaskan sebelum ini. Inilah perbezaan antara golongan jahiliah dan golongan Islam. Pelaksana kebaikan dan mencegah mungkar mestilah mempunyai ilmu mengenai makruf dan mungkar, serta membezakan kedua-duanya. Mestilah juga memiliki ilmu mengenai keadaan orang yang disuruh atau dicegah tersebut. (Ibn Taimiyyah, Majmu‘at al-Fatawa, 14/344-345, Riyadh: Maktabah al-‘Abikan 1998)
Para ulama syariah menyebutkan dengan jelas bahawa antara syarat Al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘An al-Munkar hendaklah mungkar itu sesuatu yang zahir atau nyata. Sebarang syak wasangka atau intipan tanpa sebab yang darurat adalah dilarang.
Saya suka memetik apa yang sebut oleh Al-Imam Al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din. Beliau menyebut mengenai rukun-rukun pelaksanaan hisbah. Hisbah bermaksud pelaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf apabila jelas ia ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar apabila jelas ia dilakukan. (Dr. Fadl Ilhi, Al-Hisbah, m.s. 20, Pakistan: Idarat Tarjamah al-Islam 1997M). Rukun ketiga yang disebut oleh Al-Imam Al-Ghazali ialah: “Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya.” Allah s.w.t melarang hal ini.
Kisah Umar dan Abd. Al-Rahman bin Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan).
Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa Umar r.a. memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut membantah Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara.” Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah s.w.t. berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (Maksudnya: Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka Umar pun meninggalkannya.
Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasukinya tanpa izin hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut. (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
Tokoh ulama semasa seperti Al-Qaradawi menyebut perkara yang hampir sama. Dalam bukunya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam beliau menyatakan: Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat.
Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyi dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diamdiam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya.
Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis (bermaksud), “Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orangorang yang menampakkan (dosanya).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Adapun hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq 1997)
Firman Allah maksudnya, Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang. (al-Hujurat: 12)
Larangan
Antara ulama tafsir yang memberikan tafsiran teliti tentang maksud al-Tajassus dalam ayat ini ialah Al-Imam Al-Qurtubi (meninggal 671H). Dalam tafsirnya beliau mengemukakan riwayat-riwayat yang memadai tentang larangan mengintai atau mengintip maksiat orang lain dengan tujuan untuk diambil tindakan. (Lihat: al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 16/333-334, Beirut: Dar al-Fikr t.t.) Sebagai penulis tafsir moden, Sayyid Qutb menyentuh ayat ini dengan begitu mendekati kehidupan Muslimin di zaman kini. Antaranya beliau menyebut, namun perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan pelaksanaannya.
Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan, kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun.
Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi atas apa alasan sekalipun untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan keaiban.
Sekali pun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya, tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai.
Hukum manusia berasaskan apa yang zahir. Tiada hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain. Seseorang tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata daripada mereka.
Demikianlah nas ini (larangan tajassus) dalam sistem pelaksanaan dalam masyarakat Islam. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama. (Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al-Syuruq 1992)
Timbul persoalan, terutamanya pasukan keselamatan; jika intipan dilarang sama sekali, ia boleh menimbulkan ancaman yang membahayakan negara atau keselamatan awam. Contohnya, rancangan pengedaran, senjata api dan seumpamanya.
Tajassus diharamkan untuk kemaslahatan dan mengelakkan kerosakan. Dalam keadaan terdesak, maka apa yang dijelaskan oleh Al-Imam Al-Syaukani (meninggal 1250H) amat bertepatan.
Kata beliau: “Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan kerana ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran.
Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat daripada kerosakan tajassus.
Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika pelaksananya benar-benar mengetahui.” (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1405H)
Secara mudah saya bahagikan hal ini kepada dua bahagian.
Pertama, maksiat atau kemungkaran peribadi yang membabitkan diri seorang insan dengan Tuhannya sahaja tanpa mengancam keselamatan awam. Maka maksiat seperti ini tidak boleh dilakukan tajassus. Ini berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan tadi.
Kedua, maksiat atau kemungkaran yang mengancam keselamatan awam. Maksiat jenis ini boleh diintip disebabkan berbahaya membiarkannya tanpa kawalan adalah lebih dahsyat daripada keburukan tajassus.
Adapun pembahagian yang dibuat oleh Al-Imam Al-Mawardi dalam Al-Ahkam al-Sultaniyyah yang dikutip tanpa ulasan yang mendalam oleh beberapa penulisan segelintir ulama dahulu dan sekarang adalah pembahagian yang menarik dan mempunyai unsur persamaan dengan yang saya sebutkan.
Namun sebutan zina sebagai contoh dalam pembahagian pertama yang membolehkan tajassus tidak mempunyai alasan atau sandaran yang kukuh. Bahkan bercanggah dengan kes-kes aduan zina pada zaman Nabi s.a.w. yang mana baginda berusaha menolak aduan dan mengelakkan kes diproses.
Garis Panduan Umum Operasi Khalwat
Operasi ini hendaklah tidak menjadi punca kemungkaran tajassus berkembang dalam masyarakat Islam. Maka pemberi maklumat hendaklah dipastikan ia tidak diperoleh berdasarkan perbuatan tajassusnya. Sebaliknya, berasaskan zahirnya kemungkaran tersebut. Jika dia melakukan tajassus tanpa keperluan, maka dia fasik. Pemberitahuan orang fasik ditolak.
Operasi memeriksa bilik ke bilik atas usaha mencari kesalahan maksiat dikategorikan sebagai tajassus. Kemungkaran yang dicegah ialah apabila ia nyata atau diketahui secara yakin seperti nampak melalui tingkap atau cermin yang jelas. Aktiviti yang dimaklumi oleh masyarakat sekeliling atau berdekatan.
Operasi bukan berasaskan perkhabaran yang tidak diyakini. Sebarang syak wasangka atau agakan semata-mata tidak boleh dijadikan teras operasi. Pihak pencegahan tidak boleh menggalakkan suasana suka mengadu keaiban sesama Muslim secara langsung atau tidak tanpa kesedaran sendiri melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Mungkar. Pemberian sagu hati kepada pemberi maklumat dalam maksiat peribadi ini hendaklah dihentikan.
Tidak boleh didedahkan maksiat ini kecuali untuk perbicaraan kes. Tindakan membawa media membuat liputan semasa penangkapan adalah menyanggahi prinsip keadilan dalam Islam. Operasi benar-benar berteraskan keyakinan terhadap keselarasan dengan kaedah syarak dan ketepatan tindakan. Operasi ini boleh menyebabkan sangkaan buruk tanpa bukti kukuh, mencemarkan maruah jika tersilap tangkapan, mengganggu ketenteraman individu dan haknya. Jika ada sebarang keraguan, operasi itu hendaklah dihentikan.
Operasi yang mematuhi syarat-syarat berlandaskan roh syarak pasti dapat mengelak kesilapan dan bantahan orang ramai. Fokus masalah umat Islam juga hendaklah lebih luas.
Maka persoalan tajassus yang dibincangkan oleh para ulama hendaklah diberi perhatian serius agar imej Islam dapat dipelihara.
Oleh: Dr Mohd. Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat
-
Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan
perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada perbezaan di antara
penda...
2 days ago