Monday, November 17, 2008

Apabila Mufti Berpuisi...

BARANGKALI sesetengah pihak berasa agak pelik apabila Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin berhasrat menulis puisi yang kemudian akan dilagukan oleh Kopratasa. Barangkali juga akan bertanggapan bahawa tugas ulama hanya memberi ceramah dan berkarya pula hanya dilakukan oleh seniman.

Tetapi dalam keadaan di mana wujud sesetengah ulama yang gemar 'melarang' atau 'mengharamkan' daripada memberi teladan, kemunculan Dr. Mohd. Asri boleh mewujudkan satu fenomena baru. Kita boleh melarang orang membuat satu perkara tetapi dengan syarat memberikan sepuluh pilihan misalnya yang yang mereka boleh lakukan. Fenomena ini tidak wujud di negara kita.

Sepatutnya ulama lebih mahir memahami dan menghayati puisi malah turut berkarya untuk direnungkan oleh khalayak. Dari situ barangkali membantu ulama membina pemikiran kreatif untuk menyampaikan ajaran-ajaran mereka.

Sebenarnya Dr. Mohd. Asri sudah menulis puisi dan beberapa kali mendeklamasikan puisi beliau. Tidaklah pelik seorang mufti bergelandangan di pentas puisi bersama khalayak kerana ulama terkenal seperti Hamka juga seorang novelis yang tersohor.

Puisi bukanlah kerja orang yang 'khayal' dan menunggu ilham datang dengan bersendirian di tepi pantai atau melarikan diri daripada realiti. Puisi adalah kepaduan pemikiran yang dialirkan dalam kata-kata yang bukan saja sangat terhad tetapi membawa makna yang melampaui kata- kata.

Beberapa tahun lalu, ada sesetengah ulama mengharamkan lagu Doa daripada puisi Chairil Anwar. Doa adalah sebuah puisi dan lagu yang sangat syahdu dan menginsafkan. Tetapi kerana ada sesetengah ulama tidak memahami puisi, maka menghukumkan karya itu. Itu adalah akibatnya apabila karya seni difahami secara literal. Ulama berkenaan tidak memahami tuntutan kepenyairan dalam mengatur kata demi kata.

Nasib baiklah lagu Doa tidak diharamkan penyiarannya oleh RTM, satu-satunya stesen penyiaran yang sangat galak mengharamkan lagu yang mereka tidak faham. Alangkah ruginya kalau karya seindah itu menjadi mangsa pihak yang kurang faham.

Kehadiran Dr. Mohd. Asri dalam dunia kepenyairan tepat pada masanya. Malah memilih medium iaitu memberi kepercayaan kepada Kopratasa menyanyikan puisi-puisi itu adalah langkah proaktif mendekatkan diri dengan khalayak. Dalam keadaan masyarakat yang membelakangkan hal-hal yang bersifat kreatif dan seni, tokoh seperti Dr. Mohd. Asri perlu membantu memahamkan mereka tentang ketinggian seni.

Kita terpaksa menerima hakikat bahawa ucapan pemimpin-pemimpin kita yang berjela-jela, penuh dengan bombastik dan didaktik belum tentu sampai kepada sasaran berbanding sebuah puisi seperti Aku Rela karya Dr. Mohd. Asri misalnya. Sebenarnya di negara kita saja yang kononnya "moden" tidak mengendahkan puisi. Tetapi negara lain yang jauh lebih maju lebih pula menilai puisi.

Keberanian Dr. Mohd. Asri bersuara dalam keadaan banyak yang lain 'berani berdiam', kita tentulah mengharapkan puisi-puisinya yang akan dilagukan ini membawa nada yang sama.
Semoga Mohd. Asri bukanlah ulama terakhir yang menulis puisi, mendeklamasi puisi dan meminati puisi.

E-mel: cp@galaxystudio.com

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm


** Album sulung puisi Dr Maza ini bakal dilancarkan di Yayasan Restu, Selangor pada 25 November 08 jam 11.30 am. Beliau akan menamatkan perkhidmatan sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perlis pada 1 Disember 08 dan bakal berangkat ke UK selama lebih kurang 7 bulan bagi membuat lebih banyak kajian dalam bidang hadis.

Galeri Puisi Dr Maza @ drmaza.com:

http://drmaza.com/home/?page_id=60

Lagi Berita:

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/14/mstar_hiburan/20081113204833&sec=mstar_hiburan

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20081115071905/Article/
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1115&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm&arc=hive

Thursday, November 06, 2008

Pensyarah UKM, Mantan Naib Mufti Sarawak - Calon Mufti Perlis yang Baru?


Eksklusif Dua tokoh agama dicadangkan kepada Raja Perlis sebagai calon Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang baru bagi menggantikan SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bakal menamatkan perkhidmatannya hujung bulan ini.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azwira A Aziz dan bekas Naib Mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya telah dicalonkan mengisi kerusi penting itu.Sebelumnya bertugas sebagai ketua penolong mufti, anak Sarawak lulusan Universiti al-Azhar itu kini ketua penolong pengarah di bahagian dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak.

Pada 7 Oktober lalu, Dr Mohd Asri memutuskan bersara mengejut akibat "tidak selesa dengan permainan politik" oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.Beliau menyifatkan cara pengurusan kontraknya "macam main silap mata". Sehari selepas itu beliau diterima mengadap Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hasratnya itu.Menjunjung titah Tuanku, tambah bekas pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, beliau melanjutkan tempoh perkhidmatannya selama sebulan sebelum berlepas ke United Kingdom selama tujuh bulan bagi menjalankan kajian berkaitan pengajian hadis dan politik.

Dihubungi semalam, Dr Azwira mengesahkan telah dimaklumkan perkara itu oleh Dr Mohd Asri selepas pertemuan mufti muda itu dengan baginda.Dr Azwira bagaimanapun belum membuat keputusan akan menerima pelantikan itu jika terpilih.Pensyarah kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah itu merupakan pemegang doktor falsafah dari UKM, sarjana dari Jordan dan sarjana muda dari Universiti Islam Madinah.Pengarang beberapa buku berkenaan akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah berkata akan menerima pelantikan itu jika mendapat sokongan padu daripada rakyat Perlis dan tidak terlibat dengan unsur-unsur politik seperti yang didakwa berlaku terhadap Dr Mohd Asri.Bapa kepada lima orang anak itu juga berkata sedang menimbangkan faktor-faktor lain seperti sentimen kenegerian dan hal-hal peribadi melibatkan penghijrahannya ke negeri itu dan proses menamatkan perkhidmatannya dengan UKM.
Menjelaskan situasi kenegerian itu, beliau berkata:"Dua minggu lepas saya ke Perlis. Saya lihat masih wujud sentimen kenegerian."Anak kelahiran Kelantan itu kini menetap di Semenyih, Selangor. Dr Mohd Asri yang berasal dari Bukit Mertajam memecahkan tradisi apabila dilantik sebagai mufti Perlis dua tahun lalu.Dr Azwira bagaimanapun tidak kisah sesiapa pun mengisi jawatan itu selagi mempunyai pemikiran dan fikrah Ahli Sunnah wal-Jamaah.Ditanya fokus dan pendekatan beliau jika dipilih, beliau yang 16 tahun berpengalaman mengajar di UKM dalam bidang agama berkata:"Saya ingin fikrah sunnah (Ahli Sunnah wal-Jamaah) diteruskan. Mungkin saya tidak setanding Dr Mohd Asri yang terkenal di peringkat nasional. Saya ingin fokuskan kepada aktiviti pemantapan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di peringkat negeri."
Malaysiakini belum berjaya mendapat ulasan Dr Juanda, setakat ini.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Mohd Isa Sabu pula ketika dihubungi semalam berkata kerajaan negeri belum dimaklumkan calon-calon untuk mengisi jawatan itu."Kita masih cari lagi (calon-calonnya)," katanya.Majlis Agama Islam Perlis belum memaklumkan kepadanya berhubung calon-calon bagi mengisi jawatan itu, tambahnya.Ditanya tentang ciri-ciri calon mufti baru yang diharapkannya, Mohd Isa berkata kerajaannya akan menerima siapa sahaja calon yang dicadangkan majlis itu dan yang diperkenankan Raja Perlis."Apapun bergantung kepada keputusan Tuanku. Baginda merupakan ketua agama Islam di Perlis," katanya.
Menurut prosedurnya, majlis agama Islam akan mencalonkan nama-nama pilihan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat exco negeri. Seterusnya, kata menteri besar, pelantikan akan dibuat jika mendapat perkenan baginda.Bagaimanapun, wakil rakyat Bintong itu berkata, perkara itu belum dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri, termasuk semalam, tiga minggu sebelum jawatan itu kosong.
- PRO TAJDID -