Tuesday, June 19, 2007

MESTI BACA: Pejuang Perubahan Akan Di Kenang..!

Dua bulan yang lepas, Prof. Diraja Ungku Aziz mengirimkan saya sebuah buku yang amat mengagumkan. Saya amat gembira dengan hadiah yang tidak ternilai itu. Kata Pak Ungku, beliau telah membaca buku tersebut berulang-ulang kali. Bukunya nipis sahaja. Karya seorang tokoh melayu agung; Pendeta Za’ba.
Akibat tindakan golongan konservatif agama yang menentang pembaharuan di Perak pada tahun 30-an maka tulisan-tulisan Za’ba diharamkan dan buku tersebut turut tidak dapat muncul pada hayat Za’ba. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengambil tanggungjawab yang betul dengan mencetaknya walaupun setelah ketiadaan Za’ba.
Buku yang Pak Ungku kirimkan itu bertajuk: Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri.
Di muka hadapan buku tersebut diletakkan tajuk dan gambar Za’ba. Di kulit belakangnya diletakkan kata-kata beliau: “Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapat kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari orang apabila mati kelak…”
Dengan melihat kepada tajuk dan dan petikan tersebut, saya tertanya-tanya mengapakah Pak Ungku mengirimkannya kepada saya. Ia mendesak saya segera membaca buku berkenaan. Apabila saya baca saya dapati buku tersebut sangat hebat.
Za’ba bukan sekadar seorang ilmuwan bahasa semata, beliau juga seorang ilmuwan agama yang terbilang. Namun sikap agama yang begitu konservatif pada era beliau telah membunuh kewibawaan tokoh-tokoh yang seumpama beliau.
Sebenarnya, Za’ba dalam buku berkenaan menceritakan serta mengulas sikap orang melayu termasuk dalam hal beragama. Sikap suka bergantung kepada orang dan suka mengambil kesempatan atas nama agama.
Menurut Za’ba, cara beragama yang salah telah melemahkan bangsa melayu. Sikap enggan menilai semula apa yang menjadi kebiasaan yang kadangkala dikaitkan dengan agama membentuk nilai diri yang enggan berubah dan lemah. Antara kata-kata Za’ba dalam buku tersebut: “Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang.
“Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya.” (m.s 24).
Sikap bertaklid buta dalam pelbagai perkara terutama hal agama melambatkan proses pembangunan minda. Maka tidak hairan jika minda agama kita tidak mampu bersaing dengan pembangunan fizikal yang dibuat. Walaupun Za’ba menulis pada tahun 30-an, namun realiti hari ini masih terasa kesegaran tulisan tersebut.
Kata Za’ba: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya. Kerana sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta.
“Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan. Tuhan dan Rasul-Nya tidak menyukai orang-orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain.
*Tertaklid
“Imam-imam Mujtahidun dahulukala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan orang sekalian menerima sahaja segala fahamannya dan pendapatnya. Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid-murid dan pengikut-pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka peroleh itu.” (m.s. 25-26)
Sesungguhnya perjuangan mengajak supaya kita melihat agama berasaskan dalil atau fakta bukan taklid adalah perjuangan yang dipelopori oleh semua para mujaddid (tokoh pembaharuan). Di tanah air kita, para pejuang pembaharuanlah yang berusaha mengeluarkan masyarakat melayu dari pelbagai khurafat dan tahyul yang sebahagian menggunakan nama agama kepada akidah yang bersih.
Mereka jugalah yang mengeluarkan wanita dari kuasa paksaan bapa dalam perkahwinan, larangan wanita ke pusat pengajian dan seumpamanya. Mereka juga yang mengajak diubah amalan-amalan agama yang tidak berasaskan dalil bahkan lebih bersifat ‘bisnes cari untung’ seperti upah-mengupah ketika kematian.
Tol-tol kematian tersebut telah mengorbankan harta benda anak yatim dan orang miskin. Apabila berlaku kematian maka masyarakat berkumpul dan memakan harta peninggalan si mati, bukan berfikir tentang masa depan dan kebajikan kaum keluarganya. Ia sangat berbeza dengan ajaran Islam yang menyebut: “Apabila datang berita kematian Ja’far bin Abi Talib, Nabi s.a.w. bersabda: Buatlah untuk keluarga Ja'far makanan kerana telah datang perkara yang mengganggu urusan mereka. (Hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan lain- lain).
Tujuan para pejuang perubahan tidak lain, selain dari ingin melihat kebajikan, kegemilangan umat dan kemampuan mereka menghadapi cabaran zaman. Juga memelihara pegangan umat sehingga jangan seakan menganggap pandangan orang bergelar agama kesemuanya mesti ditelan bulat-bulat tanpa dinilai dengan neraka al-Quran dan al-sunah.
Tiada siapa pun yang maksum di kalangan umat melainkan Muhammad bin Abdillah s.a.w. insan yang ditabalkan menjadi rasul. Kata al-Imam Malik bin Anas: “Tiada seorang pun selepas Nabi melainkan boleh diambil dan ditolak pendapatnya kecuali Nabi.” (Al-‘Ajluni, Kasyf al-Khafa, 2/119, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-'Arabi).
Kata Za’ba yang menyelusuri pegangan ini: “Sekalian imam besar Islam zaman dahulu itu walau ‘Imam-imam Mujtahidun’ pun dan walau bagaimanapun alimnya, tidaklah pernah dikira sebagai orang yang maksum yakni terpelihara daripada tersilap dan tersalah. Mereka sendiri sentiasa sedar yang diri mereka tidak bersifat maksum itu.
“Mereka bukannya nabi; jika nabi baharulah layak dikira maksum pada apa-apa yang mereka katakan dari Allah dalam hal agama. Sungguhlah sebagai ulama mereka sekalian jadi waris kepada nabi-nabi; tetapi itu tidaklah memestikan sifat maksum pada diri mereka dan pada segala-gala pendapat fahaman mereka.
“Maka oleh sebab itu tidaklah pernah mereka mendakwa sekalian pendapat dan fahaman yang telah mereka keluarkan itu tentu betul sahaja dan mesti disetujui oleh orang sekalian, atau semuanya tetap layak dan sesuai kelak bagi segala hal dan zaman hingga bila-bila pun. Bahkan jangankan mereka mendakwa demikian, malahan sebaliknya mereka sendiri selalu berkata: “Kalau ada apa-apa perkataan atau pendapatku yang didapati oleh orang-orang kemudian bersalahan atau berlawanan dengan hadis sahih Nabi s.a.w., maka lemparkanlah ke tembok!”
“Apa lagilah jika sekiranya ada didapati bersalahan dengan al-Quran! Mereka tiada suka orang mengikut dengan taklid buta kepada apa-apa pendapat dan fahaman mereka itu. Mereka selalu suruh uji dan timbang sendiri barang apa-apa jua yang mereka katakan dalam kitab-kitab karangan mereka: Jika didapati betul bolehlah ikut; jika tidak betul atau tidak sesuai lagi, buanglah atau baiki akan dia.” (m.s 26)
Malangnya, golongan yang berkepentingan atas nama agama pada setiap zaman mencemburui proses perubahan dan pembaharuan berdasarkan al-Quran dan al-sunah. Sedangkan umat memerlukannya. Lalu yang berkepentingan menghasut sesetengah pihak agar menganggap proses pembaharuan adalah sesuatu buruk dan patut ditentang.
Za’ba menjawab hal ini dengan tegas, katanya: “Kita semuanya berkehendakkan baik dan tiada siapa yang berkehendakkan jahat. Kita ingin hendak membaiki segala hal-ehwal kita yang kekurangan, sama ada pada perkara dunia dan pada perkara agama; hendak mengubah segala sifat keadaan kita yang buruk atau kurang baik ditukar dengan yang baik dan yang terlebih baik. Kita hendak mengganti segala hal kita yang mundur dan ketinggalan, ditukar dengan yang maju dan bertambah elok mengikut kehendak zaman pada segala yang baik.
“Kita hendak mengganti segala jalan fikiran kita yang kuno dan kolot dan segala kepercayaan atau pegangan kita yang sudah lapuk dan reput, ditukar dengan fikiran-fikiran baharu yang segar dan hidup dan dengan kepercayaan yang dapat disaksikan benarnya melalui ujian Quran bersendi akal dan ilmu pengetahuan. Kita mahu pemulihan dan pembaharuan bukan hendak berkokok pada jalan yang telah hanyut dari tujuan asalnya dan bukan pula berdegil hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah membeku jadi adat atau kepercayaan-kepercayaan lama yang sudah berkulat dan bercendawan!” (m.s 38)
Sunggguh pelik, seorang sarjana besar bangsa seperti Za’ba diharamkan pemikiran dan tulisannya oleh golongan agama yang sempit pada zamannya. Namun, apa yang hendak dihairankan, tokoh agung Nusantara iaitu Buya Hamka telah diharamkan berceramah di negeri tertentu di Tanah Melayu ketika hayatnya. Hanya kerana pandangan Hamka tidak dapat diterima oleh sesetengah mufti Tanah Melayu. Sehingga Hamka menulis beberapa sindiran yang amat tajam terhadap mufti-mufti di Tanah Melayu.
*Semangat
Hal seperti inilah yang Za’ba sebutkan: “Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulukala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta!
“Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulukala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada al-Quran dan hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulukala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu dan berbagai-bagai lagi.
“Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat.” ( (m.s 33).
Demikian nasib yang diterima oleh para pejuang perubahan pada setiap zaman. Bacalah sejarah perjuang Syed Syeikh al- Hadi, Mustafa Abdurrahman dan lain-lain di Tanah Melayu. Namun mereka telah nekad yang akhirnya melimpahkan kebaikan kepada generasi kemudian. Dalam konteks yang lebih global, lihatlah sumbangan perjuangan tajdid seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Rasyid Redha dan lain-lain. Walaupun sebahagian besar mereka di‘gam’kan pada zaman mereka, namun nama mereka terus dikenang oleh generasi kemudian. Bak kata pepatah ‘Al- Baqa li al-Aslah’ iaitu berkekalan itu bagi yang terbaik. Pihak yang men‘gam’kan mereka telah pun dilupai namanya, namun nama para pejuang terus dikenang. Lihat al-Imam Ahmad yang dihukum dengan begitu rupa oleh kuasa agama pada zamannya.
Hakim yang menghukum al-Imam Ahmad sekalipun megah bersandarkan kedudukan pada masa itu telah dilupai namanya oleh generasi kemudian, namun nama al-Imam Ahmad dan pendiriannya terus dikenang dengan tinta emas oleh sejarah.
Untuk itu saya selalu katakan sesuatu pemikiran apabila dilontarkan ke dalam masyarakat, ia tidak dapat dihapuskan lagi melainkan dengan pemikiran yang lebih kukuh dan teguh. Paksaan tidak mungkin dapat menghancurkan sesuatu pemikiran, kerana tempat pemikiran adalah fikiran atau minda. Hanya yang boleh mencabutnya keluar adalah hujah yang memaksa minda akur dan menerimanya. Fahami hakikat ini.
Sesungguhnya jeritan dan bantahan atas emosi dan sentimen tidak akan membuahkan hasil. Jawablah sesuatu hujah itu dengan hujah, bukan dengan sentimen dan emosi. Di samping wajib kita ingat hikayat melayu Hang Nadim yang dibunuh kerana kepintaran ideanya dek bimbangkan kepentingan diri janganlah diwatak di pentas realiti kita.
Buku Za’ba ini baik untuk dibaca terutama bagi yang kuat bercakap soal Islam di Malaysia mesti ikut ‘orang tua-tua Melayu’. Za’ba adalah tokoh sarjana melayu. Seperti Pak Ungku menyarankan kepada saya. Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim juga cuba mengambil langkah memasyhurkan buku ini.
Saya sarankan anda membaca buku tersebut. Saya juga berterima kasih kerana setiap tulisan saya dibaca oleh ramai negarawan, menteri, tokoh-tokoh masyarakat dan rakyat biasa yang memberikan semangat yang sangat positif kepada saya. Walaupun segelintir yang kurang senang, namun saya harap ia tetap akan dikenang.

DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

MURTAD: Antara Emosi dan Realiti...

MURTAD adalah ungkapan yang menakutkan. Tidak ada mukmin yang sebenar tidak berasa sensitif atau ketakutan apabila perkataan murtad dikaitkan dengannya. Bahkan mukmin yang sejati apabila mendengar perkataan murtad atau kufur akan menyebut dalam jiwanya, “aku pohon perlindungan dengan Allah dari itu semua.” Allah berfirman dalam s urah al-Baqarah: 217: (maksudnya) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka mereka itu rosaklah amalan (yang baik) mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
Murtad jika menjadi satu fenomena ia akan mengancam masyarakat muslim. Jika masyarakat itu telah membentuk negara muslim, ia akan mengancam identiti negara tersebut. Maka fenomena murtad sangat berbahaya serta boleh mencetuskan perubahan identiti atau maruah sesebuah negara muslim. Dalam masyarakat hari ini, kita menangkap dan mengambil tindakan kepada penyalahgunaan dadah. Walaupun mudarat langsung itu kelihatan berlaku kepada diri individu, namun jika ia menjadi arus, ia akan mengancam identiti dan keseimbangan sesebuah masyarakat.
Maka tidak hairan apabila murtad menjadi gelombang yang mengancam kestabilan maka Abu Bakar mengambil tindakan memerangi mereka. Hakikat ini tidak wajar dipertikaikan oleh seorang muslim.
Namun dalam suasana sekarang ini, saya ingin mengajak persoalan ini dilihat luar dari sempadan emosi, tetapi atas kerangka tanggungjawab agama dan kepentingan umat. Langkah pencegahan ke arah murtad perlu dilakukan secara bersungguh. Ini sesuatu yang kita sepakati. Di samping sesuatu yang perlu kita tahu bahawa seseorang itu menjadi murtad apabila dia melanggar batasan akidah Islam secara sedar, faham dan tidak dipaksa. Sama ada pelanggaran itu dalam bentuk perkataan, atau perbuatan, atau keyakinan. Apabila pelanggaran itu dilakukan seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, atau mengisytiharkan diri telah keluar atau ingin keluar dari Islam maka dia menjadi murtad.
Kemurtadan ini tetap berlaku sama ada disahkan atau tidak disahkan oleh mana- mana pihak. Pernyataan agama dalam kad pengenalan bukanlah penentu sebenar kepada hakikat akidah seseorang. Ia hanya untuk urusan kemasyarakatan atau pentadbiran. Ini bererti sekiranya kita berjaya menahan seribu orang yang mengisytihar diri keluar dari Islam agar tidak dapat menukar agama kad pengenalannya, kita sebenarnya hanya menyimpan seribu orang murtad yang akan bertopeng dalam masyarakat muslim sahaja. Apa jadi, jika kad pengenalan itu dijadikan ukuran oleh beberapa pihak lalu berkahwinlah golongan murtad ini dengan orang-orang Islam yang sebenar?
Mereka juga mungkin menguasai institusi-institusi agama atas kebijaksanaan mereka dalam bidang tertentu, sedangkan mereka murtad. Akhirnya kita menyimpan barah yang amat berbahaya dalam tubuh umat. Maka sekadar pertahankan perubahan agama pada kad pengenalan semata, bukan satu kejayaan. Bahkan mungkin menjadi musibah jika berleluasa pada suatu hari nanti. Kejayaan yang sebenar adalah mengembalikan mereka ke pangkuan Islam secara reda dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini.
Berikutnya, kita jangan sampai diperdayakan oleh musuh dengan meletakkan angka murtad sehingga ratusan ribu. Walaupun ada, ia tidak sampai kepada angka tersebut. Jangan pula kita mudah menghukum orang lain murtad hanya atas khabar angin. Apakah kita ingin menghidupkan suasana kafir-mengkafir atas andaian semata. Perbuatan itu hanya memporak- perandakan masyarakat Islam.
Meletakkan angka yang sebesar itu hanya melancarkan agenda musuh-musuh Islam. Ia akan menyebabkan dunia menekan negara agar tidak mengabaikan hak jumlah manusia yang ratusan ribu itu. Lantas usaha ke arah murtad mendapat sokongan dunia luar.
Kedua, meletakkan jumlah yang sedemikian besar, hanya akan mematahkan semangat mereka yang ingin menganut Islam dan usaha ke arah mengajak manusia kepada Islam. Alangkah malunya, ketika umat Islam dunia Barat yang ditekan sedang giat dan berjaya mengislamkan saban hari jumlah begitu banyak penduduk Barat sedangkan kita kalut dengan cerita orang murtad. Padahal tidak ada kerajaan yang memberikan keistimewaan kepada umat Islam di Barat. Apatah lagi perlembagaan yang boleh dikaitkan dengan Islam. Tiba- tiba dalam negara yang banyak masjid, ceramah agama di sana sini, ada pejabat agama dan mufti, pelbagai pertubuhan Islam wujud, perlembagaannya menyebut Islam, ustaz-ustaznya pun banyak duit ceramah yang telah dihasilkan, mufti-muftinya pun ramai yang berjenama mewah, slogan Islam pun banyak kedengaran di sana sini, lalu kita isytiharkan ratusan ribu telah murtad.
Sedangkan umat Islam Barat yang lebih mencabar keadaan mereka itu mengisytiharkan ratusan ribu yang menganut Islam. Bahkan begitu banyak gereja bertukar menjadi masjid. Padahal tidak ada mahkamah syariah pun di negara-negara tersebut. Namun mereka berdakwah dengan penuh amanah dan kesarjanaan. Lantas, manusia berbondong-bondong menganut Islam.
Aduhai malangnya kita. Jika hal yang berlaku sebaliknya. Kalau begitu, barangkali elok sahaja kita pencenkan menteri Jakim, mufti-mufti kesemuanya yang sewaktu dengan mereka kerana ternyata gagal mempertahan dan menjelaskan Islam yang agung ini kepada umat.
Kita juga hendaklah mengkaji sebab-sebab murtad di negara ini. Jangan hanya menuding jari ke pihak lain, tanpa melihat kepada diri kita sendiri. Jika kita teliti, ramai yang ingin meninggalkan Islam terdiri daripada mereka yang dahulunya beragama lain. Mereka menganut Islam kadangkala disebabkan faktor perkahwinan. Apabila berlaku perceraian, mereka hilang tempat bergantung. Masyarakat Islam pula ramai yang kurang prihatin terhadap saudara baru. Lalu mereka tiada pilihan, terpaksa kembali kepada keluarga asal atau masyarakat yang lebih memahami mereka. Sebab itu, saya mencadangkan masjid Cina. Antara sebabnya membolehkan mereka bertemu dengan yang senasib atau yang lebih faham tentang diri mereka. Lalu berlaku bantu-membantu. Juga proses pemahaman Islam lebih lancar dan mudah. Itu pun ada yang membantah cadangan tersebut. Kononnya hendak jaga identiti Melayu.Takut berpecah antara sesama Islam yang berlainan bangsa. Itulah andaian emosi tanpa satu kajian. Padahal, apa yang berlaku sekarang bukan sekadar berpecah, bahkan keluar agama!
Baru-baru ini ada saudara baru yang minta hendak menganut Islam di hadapan saya. Katanya, dia telah ke pejabat agama sebuah negeri tetapi ditolak beberapa kali kerana lidahnya tidak dapat menyebut ucapan syahadah dengan baik. Inilah sikap buruk sesetengah kita yang menghalang orang hendak menganut Islam. Barangkali ustaz berkenaan kalau boleh bacaan tajwid orang yang hendak menganut Islam pun hendak diujinya. Ya syeikh! Islam dianuti bukan kerana kefasihan lidah, tetapi keyakinan dan akidah!
Amatlah pelik, bagi agama yang indah, harmoni dan dipenuhi pula dengan hujah dan alasan, tiba-tiba ada pula yang tidak puas hati dengannya dan ingin meninggalkannya. Padahal saluran penerangan Islam begitu luas dalam negara ini. Sedangkan Islam sudah sempurna. Tidak ada masalah dengan inti kandungannya. Ia agama yang mampu dicabar. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 111: (maksudnya): Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani.” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Bawalah bukti-bukti kamu itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”
Apa yang tinggal untuk dipersoalkan adalah sikap penganutnya. Manusia lari meninggalkan Islam kerana sikap penganutnya atau huraian Islam yang salah. Bukan kerana Islam. Kita gagal membina benteng yang mampu mempertahankan Islam. Kita lebih suka menyalahkan orang lain apabila kita lemah. Saya ambil contoh dalam masalah Bible dalam bahasa melayu. Saya bukan ingin mengatakan dibolehkan atau tidak. Tetapi sehingga bila kita ingin menjerit dan membantah. Kita bimbang anak-anak kita terpengaruh dengan Bible jika ianya dalam bahasa Melayu. Apakah kita tidak bimbang jika anak kita pandai bahasa Inggeris dan nanti dia boleh baca Bible dalam bahasa Inggeris pula? Tidak inginkah pula kita mengharamkan bahasa Inggeris untuk anak-anak kita? Apa pula yang hendak kita buat dengan Internet yang seseorang mampu mendapatkan apa sahaja daripadanya? Apa kita kata jika kita dapati ada satu bangsa yang takut orang- orangnya diberi kesempatan membaca al- Quran terjemahan dalam bahasa mereka. Tentu kita akan kata; mereka takut sebab al-Quran itu benar. Demikianlah orang lain fikir tentang kitab mereka apabila dihalang. Sehingga bila kita mampu menghalang? Sepatutnya kita membina benteng ketahanan yang kuat. Lihat apa yang dibuat oleh Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik dalam menjawab Bible. Orang menganut Islam apabila mendengar mereka membahaskan Bible. Huraikan Bible secara ilmiah dan buktikan kebenaran al-Quran dan Islam. Ustaz-ustaz mesti meningkatkan kemampuan menguasai bidang yang pelbagai sesuai dengan tuntutan zaman. Bukan asyik kempen kismis jampi sahaja. Kocek penuh, umat lari. Jawab segala tuduhan terhadap Islam dengan penuh wibawa dan ilmiah. Bukan emosi semata. Bahkan kalau perlu dihuraikan Das Kapital pun huraikanlah sekalipun dalam masjid. Namun apabila ceramah dan syarahan agama lebih banyak jenaka dan lawak ‘tak pandai’ maka pelbagai tohmahan terhadap Islam gagal ditangkis dengan mantap. Sedangkan al-Quran mengajar pelbagai isi dan cara berdialog menghadapai Ahl al-Kitab. Antaranya Allah menyebutkan:
(maksudnya) Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang- orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah Kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut: 46).
Anak-anak kaum muslimin mustahil akan terpengaruh dengan Bible jika mereka membaca al-Quran. Ada yang kata: masalahnya mereka tidak baca al-Quran. Kita tanya; jika al-Quran pun mereka tidak minat baca, macam mana pula mereka berminat membaca Bible? Atau barangkali di rumah mereka tidak ada al-Quran terjemahan? Ataupun mungkin juga cara al-Quran dihuraikan oleh sesetengah kita menjadikan orang salah faham atau tidak minat dengan al-Quran.
Apa yang penting, kita mesti bina ketahanan diri dalam kefahaman umat Islam di Malaysia ini. Sejauh manakah kita hendak bertahan dengan jeritan dan bantahan terhadap orang lain, jika kita sendiri lemah. Umat Islam di negara Barat tanpa pelbagai keistimewaan seperti kita tetapi mampu menyebarkan Islam. Bahkan selepas 11 September al-Quran dilaporkan begitu laris di pasaran mereka. Mengapa kita sebaliknya?
Ramai yang memperkatakan hukuman murtad. Saya tidak ingin melebarkan khilaf fuqaha di sini. Namun kita tidak melaksanakan langkah-langkah yang diperintahkan syarak sebelum menghukum orang murtad. Hasil dari nas-nas hadis dan amalan sahabah, para fuqaha menyatakan hendaklah orang murtad itu diberikan ruang perbincangan, dihilangkan kekeliruannya mengenai agama dan diajak bertaubat (lihat: Abd al-Halim ‘Uwais, Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami al-Mu‘asir, 3/438).
Proses ini penting, sebelum kita sibuk memperkatakan tentang hukuman. Proses ini boleh dibuat oleh pelbagai pihak. Tidak semesti memerlukan kuasa. Namun hanya sedikit yang melakukannya. Banyak perkara yang mengelirukan umat Islam pada zaman ini. Manusia mungkin murtad disebabkan kurangnya penjelasan yang meyakinkan. Sikap, tindakan dan pentafsiran sesetengah pihak di kalangan umat Islam juga boleh menyebabkan orang bingung dengan Islam. Tiba-tiba apabila mereka murtad terus sahaja ada pihak yang memperkatakan tentang hukuman sebelum mendengar dan membuat penjelasan secara mantap dan adil, mana mungkin jiwa yang merdeka dapat menerimanya. Proses penerangan dan dialog tentang Islam dengan cara yang lebih terbuka dan berani patut dilakukan. Di negara lain, tokoh-tokoh umat Islam sudah lama mampu menyampaikan penerangan tentang Islam sehingga di gereja dan di pelbagai saluran.
Hari ini tidak ada Abu Bakar yang mampu menolong kita. Apa yang patut kita fikirkan adalah membina ketahanan umat agar kukuh kefahamannya terhadap Islam. Pengukuhan itu tidak akan berlaku jika pihak yang menerangkan Islam itu sendiri rapuh kefahamannya dan menakutkan pula wataknya. Lebih penting isu murtad jangan dijadikan sebagai peluang untuk mempromosi diri, persatuan atau modal politik. Sebaliknya lihat ia sebagai tanggungjawab bersama yang mesti ditangani secara ilmiah, bukan sentimen.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis