Monday, November 26, 2007

Apabila Berpolitik Tanpa Prinsip...

KEJAYAAN dakwah para anbia ialah pada keikhlasan mereka dan istiqamah memegang dan mempertahankan prinsip. Kemenangan bukanlah kemestian dalam dakwah. Ramai anbia yang tidak menang. Bahkan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim baginda bersabda: “Ditunjukkan padaku berbagai-bagai umat. Ada nabi yang hanya bersama seorang pengikut. Ada pula bersama dua pengikut. Ada yang bersama sekumpulan (kurang daripada 10 orang). Ada pula nabi yang tiada seorang pun bersamanya…”. Namun tidak ada nabi yang mengubah prinsip kerana inginkan pengikut sekalipun terpaksa menghadapi suasana kontang. Lihat saja Nabi Nuh a.s.

Pendekatan dan cara boleh berubah. Prinsip dan inti adalah tonggak kekal dalam seruan. Perjuangan para anbia adalah menegak akidah tauhid yang tulus dan murni dari sebarang kesyirikan. Syariat yang hendak ditegakkan ialah yang bertunjangkan tauhid dan perlambangan kepada pengabdian diri kepada Allah. Berkembanglah dari situ asas-asas keadilan untuk manusia yang merupakan penjelmaan syariat yang bertunjangkan tauhid. Para pengikut manhaj anbia dan salaf bagi umat ini seiras dan seiring dalam isu prinsip ini. Mereka tidak lekang dek hujan dan tidak lapuk dek panas. Pendekatan mereka mungkin berbeza. Tetapi akidah dan pegangan prinsipnya sama.

Adalah malang jika jamaah, kumpulan atau individu yang tidak tahu apakah prinsip yang menjadi teras perjuangannya. Maka berpecah-pecah pendirian antara mereka dan hanya bertemu dan seragam dalam isu-isu semasa. Ada yang sokong akidah Syiah, ada muktazilah, ada penyeru para wali, bomoh, ada yang suka mengkafirkan orang seperti ajaran khawarij dan yang berakidah Ahli Sunah Waljamaah. Soal prinsip berbeza. Namun soal isu perundangan, pilihan raya dan beberapa perkara semasa kelihatan sama. Ini bercanggahan dengan rupa bentuk dakwah anbia dan generasi salaf. Mereka mungkin berbeza dalam sesuatu isu dan pendekatan, namun tegas dan tegap dalam prinsip.

Dalam Islam ada politik seperti adanya ekonomi, pendidikan dan selainnya. Namun terasnya adalah akidah dan usul-usul yang menjadi prinsip Islam. Seseorang yang hendak menganut Islam, tidak boleh masuk melalui pintu siasah atau ekonomi. Dia mesti masuk melalui pintu tauhid dan mengenali prinsip-prinsip Islam.

Seorang Muslim yang berdakwah hendaklah menyerukan kepada Islam sebagai al-Din, bukan sebagai parti, jemaah atau daulah. Seseorang mungkin tidak memiliki jamaah, kumpulan atau daulah tetapi mesti memiliki akidah dan ibadah kepada Allah dalam wajah zahir dan batin pengabdian diri tanpa pencemaran atau tokok tambah yang bukan-bukan. Pendakwah Muslim gembira melihat seseorang berpegang dengan Islam, sekalipun tidak menyertai organisasinya atau menyumbang kepadanya. Dia menyeru rakyat dan pemerintah agar menerima akidah terhadap al-Quran dan al-Sunah sebagai prinsip diikuti pelaksanaan syariat dalam diri dan masyarakat. Pendakwah Muslim akan dukacita melihat seseorang meninggalkan prinsip-prinsip Islam sekalipun orang itu rakan organisasi atau mendakwa sealiran dengannya. Pendakwah Muslim tidak mempunyai kepentingan yang mengatasi prinsip dakwah. Gembira dan dukacitanya melihat orang menerima atau menolak dakwah adalah kerana tanggungjawab hidayah bukan kerana habuan siasah atau seumpamanya.

Hal ini berbeza dengan orang politik kepartian. Dia suka jika musuhnya buat salah, supaya ada isu yang boleh diperkatakan dan menguntungkan politiknya. Dia tidak gembira jika musuhnya berbuat positif. Dia akan tafsirkan kebaikan dengan wajah kejahatan atau sekurang-kurangnya akan kata ‘ada udang di sebalik batu’. Jika hal yang sama dilakukannya atau puaknya, pentafsirannya berbeza. Niat musuh selalunya busuk, niatnya didakwa selalu jujur. Bagaimana dia berfikir, demikian dia menyangka orang lain juga. Semua parti politik yang goyah prinsipnya hampir semazhab dalam hal ini. Maka dalam politik, musuh sekelip mata boleh bertukar menjadi kawan dan kawan boleh bertukar menjadi musuh. Sekalipun kawan ataupun musuh tadi belum menukar prinsipnya. Maka yang anti-Islam boleh bergabung dengan yang kononnya hendakkan Islam. Apa yang penting, sesiapa yang menguntungkan cita-cita politik ‘kerusi’ maka dia dianggap kawan. Sesiapa yang dirasakan tidak menguntungkan hasrat politiknya, maka dia musuh. Orang dakwah yang berprinsip tidak demikian. Mereka bersatu atas prinsip, lalu maaf dan memaafi perbezaan. Mereka bercerai kerana prinsip. Sekalipun ada kepentingan luar yang sama.

Hal inilah yang membezakan antara pendakwah dan ahli politik ala jahiliah. Maka orang dakwah mungkin berpolitik demi dakwah tetapi tidak berdakwah untuk kepentingan politik. Politik boleh bagi mereka jika mendekatkan diri kepada Islam. Bukan menampal Islam untuk politik. Seperti tidak mungkin mendekatkan diri kepada Allah untuk bersolat. Namun, bersolat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini mesti difahami. Saya tidak pandai dalam politik kepartian namun sering menumpang baca hal ‘orang parti’. Hal mereka kadang-kadang lucu dan pelik. Kadang-kadang menyebabkan kita marah. Dalam banyak keadaan, saya yang teramat-amat daif ini melihat kerenah mereka, rasa syukur kerana bukan ahli politik seperti itu dan menyebut seperti firman Allah, (al-A’raf ayat 43): “Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami. Tidak sekali-kali kami akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami.”

Allah s.w.t menyebut dalam surah al-‘Asr: Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula pesan-memesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Pesan-memesan kepada kebenaran diiringi dengan pesan-memesan kepada kesabaran. Ini kerana, menegakkan kebenaran memerlukan kesabaran berpegang dengannya dan menghadapi kerenah penentangnya. Jika tidak, prinsip berubah kerana kebenaran yang sudah tidak dapat dipertahankan dek jiwa yang tidak sabar dan tamakkan kemenangan. Untuk apa menang, jika prinsip tergadai? Namun orang politik - sekalipun atas nama Islam - biasanya sering rasa sempit dada. Ini seacuan dengan seruannya yang sempit dan kerusi yang sedikit lagi menjadi rebutan. Jika partinya tewas dan kerusinya hilang, maka dia seakan hilang segala-galanya. Sedangkan penyeru kepada Islam yang lengkap tidak demikian. Bahkan pendakwah yang ikhlas selalu merasai tidak sempat masa untuk menyeru dan menyempurnakan seruan kepada keluasan Islam itu. Bermula soal akidah, ibadah, pendidikan, muamalat kewangan, munakahat dan segala macam yang perlu diberikan penjelasan kepada umat dan masyarakat umum. Apatah lagi di era kabur dan keliru ini. Jika ada perkembangan penerimaan dalam mana-mana bahagian Islam, dia amat gembira dan merasai keberhasilannya. Sekalipun namanya tidak disebut dan habuan tidak dihulurkan. Pusat daftar dirinya di langit. Pemantauan langit tidak pernah silap. Janji pahala menanti. Dia tidak memerlukan nama partinya disebut atau diukir. Sebaliknya, seperti riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. dalam surat-surat baginda kepada pembesar Rom dan Parsi menulis: “Islamlah nescaya kamu selamat. Allah berikan kamu dua pahala.” Bukan soal ingin kuasa. Tapi soal hidayah dan saluran menyampaikan al-Kitab dan al-Sunah. Peperangan hanya tercetus apabila suasana ruang diplomasi sudah terhapus. Politik Nabi s.a.w tidak bermula dengan konfrontasi terhadap individu pemerintah. Konfrontasinya hanya terhadap sistem yang dianuti. Jika demikian sikap baginda dengan pemerintah yang kafir, apatah lagi untuk pemerintah Muslim dalam iklim hari ini. Dunia Barat ingin kita porak-peranda.

Semasa dakwah ditindas di peringkat awal, baginda mengarahkan sebahagian para sahabah berhijrah ke Habsyah. Pemerintahnya ketika itu ialah Najasyi yang Kristian namun adil dan dapat melindungi kaum Muslimin. Setelah Najasyi menganut Islam, baginda tidak pula menyuruh Najasyi meletakkan jawatan sekalipun kerajaannya Kristian. Kedudukan Najasyi memberikan manfaat kepada kaum Muslimin di negaranya dan keadilan untuk rakyat. Dalam hadis al-Bukhari daripada Jabir r.a: Nabi s.a.w bersabda ketika kematian Najasyi: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi).”Ini adalah tanda redanya baginda dengan pendekatan oleh Najasyi.

Namun dalam Islam mengampu pemerintah adalah dilarang. Itu adalah kejahatan dan pengkhianatan terhadap negara dan rakyat. Demikian juga sentiasa kontra dengan pemerintah dalam semua perkara, bukanlah ajaran Islam. Lagipun sikap melampau dalam membenci atau suka amat dilarang agama. Orang politik suka orang lain taksub kepadanya dek masa depan kuasanya. Tidak begitu Rasulullah s.a.w. Baginda membantah orang yang melampau memujinya kerana dibimbangi syirik.

Al-Quran melarang kebencian yang melampau. Firman Allah (Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Hinanya umat ini apabila kita tidak berprinsip. Demikian ajaran al-Quran. Allah menyebut dalam surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.

Daripada Thauban, katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Akan tiba masanya umatumat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat Islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan (menjamah hidangan makanan). Seorang sahabat bertanya “apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?" Baginda menjawab “bahkan bilangan kamu di waktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya:“Ya Rasulullah apakah al-wahn itu?” Jawab Rasulullah “cinta dunia dan takut mati” (Riwayat Abu Daud. Al-Albani mensahihkannya (Al-Albani, Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. 2/647 Riyadh : Maktabah al-Ma‘arif).

Jumlah banyak tanpa prinsip tidak memberi manfaat. Seperti disebutkan, saya bukan pandai politik kepartian namun ingin berkongsi perasaan kebanyakan orang awam seperti saya. Janganlah hairan jika suatu hari kumpulan berlabelkan Islam dipinggirkan kerana kepercayaan yang hilang. Alangkah baiknya, jika bersederhana dalam semua hal. Jujur terhadap prinsip dan pegangan. Jika tidak, nanti kelihatan seperti apa yang disifatkan Allah dalam Surah al-Nahl ayat 92: (maksudnya) “Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.”

Jika ada rakan politik yang terasa, dipohon kemaafan. Saya bukan pesaing mereka. Jangan bimbang, anda tidak tergugat kerana tulisan ini. Namun yang menggugat anda ialah pendirian yang berbolak-balik mengikut arus tanpa paksi teguh. Kembalilah kepada Islam tulen. Tulisan ini hanya lontaran insan yang tidak pandai sepak terajang politik. Namun sedikit sebanyak pengetahuan Islam yang pernah dipelajari menjadikan saya yakin jalan yang anda tempuhi wajar dibetulkan. Apakah ertinya kemenangan, jika kita tiada prinsip sejak perjuangan dilancarkan? Kemudian, dalam kesibukan kita ke sana dan ke sini dengan segala macam aktiviti, mungkin kita lupa bertanya, kerana siapa kita berjuang? Untuk siapa perjuangan ini? Dan atas jalan (manhaj) teladan siapa kita lusuri perjuangan ini?

DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/

Tuesday, November 06, 2007

Manfaatkan Kepakaran Bukan Memandulkannya...!

Islam adalah agama yang mengiktiraf dan menghormati kepakaran atau kebolehan seseorang insan selagi mana kepakaran dan kebolehan itu tidak bercanggahan dengan prinsip-prinsipnya. Sudah pasti pula prinsip-prinsip Islam itu ditetapkan oleh Allah demi kemaslahatan manusia.
Justeru itu baginda Nabi s.a.w. menyebut: “Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam” (Riwayat al-bukhari dan Muslim). Maksudnya, bahan galian bernilai yang terpilih ketika berada dalam tanah dan lumpur, juga terpilih apabila berada di tempat yang elok. Demikianlah insan yang menganut Islam, sekiranya dia seorang yang terpilih dengan ciri-cirinya ketika belum berpegang dengan Islam, maka dia juga akan terpilih selepas menganut Islam disebabkan ciri-ciri istimewanya itu. Namun baginda s.a.w. meletakkan syarat, hendaklah dia terlebih dahulu memahami Islam. Bahkan perkataan faquhu atau faqihu yang digunakan dalam hadis tersebut menunjukkan benar-benar memahami hakikat Islam, bukan sekadar cebisannya sahaja.

Maka dalam sejarah dakwah Rasulullah s.a.w, baginda telah memanfaatkan kebolehan yang berbagai untuk kepentingan Islam dan umatnya. Insan yang seperti Umar bin al-Khattab dengan segala keberanian dan keperwiraannya yang begitu memusuhi Islam semasa jahiliahnya, tidak dimandulkan sifat itu apabila beliau menganut Islam. Sebaliknya, keberanian dan keperwiraannya itu disusun dan diatur agar bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam yang menguntungkan umat Islam. Demikian juga kehebatan dan ketangkasan Khalid bin al-Walid dalam bidang ketenteraan sehingga menumpaskan tentera Islam dalam peperangan Uhud, tidak disia-siakan. Walaupun beliau lewat menganut Islam dibandingkan para sahabat yang lebih awal, namun baginda s.a.w terus sahaja melantik Khalid memegang berbagai jawatan dalam peperangan. Tidak merujuk kepada soal ’senioriti’ tetapi kepada kepakaran yang dimilikinya. Begitulah juga Hassan bin Thabit, Ka’ab bin Malik yang mampu bersyair semasa jahiliah dimanfaatkan oleh Nabi s.a.w kebolehan mereka apabila menganut Islam. Mereka telah menyusun syair-syair yang membela Nabi s.a.w. dan perjuangan baginda, serta menjawab tohmahan yang datang dari para penyair musuh. Kata Nabi s.a.w. kepada Hassan bin Thabit: “Jawablah untukku, Allah menguatkanmu dengan ruh al-qudus (Jibril)”. (Riwayat al-Bukhari). Maka semua kebolehan, samada; keberanian, ketangkasan, kesenian dan berbagai lagi yang sebelum ini digunakan untuk menentang Islam telah bertukar menjadi keistimewaan yang membela Islam.
Demikianlah sepatutnya masyarakat Islam, mestilah pandai memanfaatkan kemahiran anggotanya, sekalipun kemahiran dan kepakaran itu dahulunya pernah digunakan dengan cara yang bercanggahan dengan Islam. Namun apabila seseorang masuk Islam atau kembali mempunyai kesedaran Islam, hendaklah disusun atur agar segala kebolehan itu benar-benar boleh dimanfaatkan. Maka adalah amat mendukacitakan, jika seorang cina yang semasa belum muslim, mahir dalam perniagaan dan mencari rezeki, tiba-tiba apabila menganut Islam segala kebolehan itu terus hilang dan terikut-ikut dengan sesetengah golongan yang hanya tidur di masjid. Atau keluar berhari-hari berdakwah –kononnya- tanpa sempat memahami hakikat Islam yang sebenarnya. Atau terus melupai pembangunan diri dan keluarganya, semata-mata hanya inginkan akhirat. Kemudian meminta-minta untuk suapan hariannya. Ini memberi imej yang buruk terhadap agama yang agung ini terutama apabila dilihat oleh saudara-saudara mereka yang belum menganut Islam.
Sebab itu syarat untuk kepakaran dan ciri istimewa yang dikuasai semasa jahilliah itu digunapakai, empunya kepakaran atau sifat istimewa itu mestilah terlebih mendalami Islam yang sebenar. Memahami tuntutan al-Quran dan Sunnah. Jika tidak, hakikat sebenar Islam tidak akan menjelma menerusi kebolehan atau kelebihan yang dimiliki. Ini seperti pihak yang menyangka proses islamisasi nyanyian itu dengan memakaikan kopiah atau songkok kepada penyanyinya, lalu dinamakan nasyid. Padahal, sesetengah lirik yang mereka alunkan, tidak menggambarkan hakikat Islam yang sebenar, bahkan ada juga yang bercampur dengan khurafat atau cara fikir yang mundur. Mungkin sesetengah lagu P.Ramlee lebih islamik liriknya dibandingkan sesetengah alunan nasyid. Saya bukan memperkecilkan mereka, sama sekali tidak. Saya hargai usaha mereka. Namun, jika mereka menyatakan perjuangan nasyid mereka adalah misi dakwah, maka mereka mesti mengutamakan isi kandungannya dan kejelasan mesejnya. Jika tidak ia hanya untuk memperbagaikan penampilan gaya artis sahaja. Sama juga dengan sesetengah majlis yang diislamisasikan dengan upacara bacaan doa sebelum majlis. Selepas dari itu, isi kandungan majlis tidak pula diselaraskan dengan kehendak Islam. Seperti penceramah yang membuka ceramahnya dengan bacaan ayat itu dan ini kemudian mengisinya dengan memaki hamun secara yang diharamkan oleh syarak. Pada zaman Nabi s.a.w. dan para sahabah memang dalam ucapan mereka sering berdoa semasa majlis mereka, namun tidak di upacarakan khas doa-doa tersebut. Apa yang lebih penting, isi kandungan majlis sentiasa seiras dengan ajaran Islam. Sebab itu memahami Islam itulah syarat utama untuk menjadikan kebolehan seseorang berfungsi untuk agama yang berteraskan ilmu ini.
Saya jumpa ramai orang professional bukan dalam bidang pengajian Islam, apabila timbul kesedaran Islam dalam diri mereka, mereka seolah-olah mempersalahkan latar pendidikan mereka yang bagi mereka bukan aliran Islam. Padahal mereka mampu memanfaatkan kebolehan mereka untuk umat Islam. Ini kadang-kala terhasil dari sesetengah penceramah masjid dan surau yang menyempitkan makna Islam dan keperluan ilmu Islam itu. Padahal kecuaian mereka terhadap agama bukan kerana bidang pengajian mereka, sebaliknya ketidak prihatinan diri terhadap Islam yang tulen. Ketidak prihatinan ini boleh berlaku di semua peringkat; bidang agama atau sebaliknya. Jika kita jujur dan bersungguh ingin memahami Islam yang tulen, dunia kini amat terbuka untuk itu. Saya lihat bukan sedikit para pelajar kita yang belajar di Barat atau dalam bidang bukan pengajian Islam formal tetapi berminat mendalami Islam dan lebih memahami hakikat Islam itu dari ribuan pelajar di Mesir atau beberapa negara timur tengah yang lain. Mereka lebih sensitif terhadap khurafat, karut-marut, israiliyyat, hadis palsu dan pemikiran sonsang dibandingkan sesetengah ustaz keluaran Timur Tengah itu sendiri. Bahkan ada ustaz lulusan Timur Tengah yang menjual kayu kokka atau penyebar hadis palsu, Israiliyyat dan berfalsafah dengan pemikiran yang tidak serasi dengan Islam yang tulen.
Namun sesetengah yang kurang faham, oleh kerana mereka dahulu tidak sempat belajar Islam secara formal sepenuhnya, mereka seakan ingin menebus semua kesalahan itu dengan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama tanpa berhati-hati. Niatnya baik, malangnya sesetengah sekolah agama langsung tidak memberikan penekanan kepada keperluan akademik yang lain. Menghantar ke sekolah agama memang baik, apatah lagi jika sekolah agama itu mampu mengujudkan iklim yang harmoni lagi islamik lalu membentuk keperibadian Islam. Namun, bukan sedikit juga sekolah agama yang belum dapat diuruskan dengan cemerlang. Maka berlaku keciciran dalam akademik dan ketinggalan dari persekitaran yang baik. Bahkan guru-guru agama yang diambil mengajar pun, ada juga yang tidak menentu kelulusannya. Akhirnya, tidak juga anaknya menjadi pakar Islam yang cemerlang, sudah pasti akan ketinggalan dalam bidang-bidang akademik yang lain. Saya bimbang suatu hari nanti mereka akan menyalahkan kesedaran Islam bapa mereka. Ini bukan rekaan, saya telah bertemu bukan sedikit yang seumpama itu. Padahal, sekolah-sekolah swasta ‘orang lain’ begitu ke hadapan dalam berbagai sudut.
Padahal yang sepatutnya dilakukan, apabila kita ada kesedaran Islam, kita memastikan kefahaman Islam itu diamalkan dalam kehidupan secara yang meluas. Beri kesedaran kepada anak-anak tentang perjuangan memertabatkan agama ini dalam semua bidang. Jika hendak memilih sekolah agama, hendaklah sekolah yang melambangkan kesyumulan Islam itu sendiri. Agar pendidikan Islam mampu bersaing dan tenaga muslim soleh boleh dimanfaatkan di semua bidang. Janganlah semua anak kita nak kita jadikan ‘ustaz’. Perbagaikanlah kemahiran umat ini. Dunia Islam tidak akan mampu diangkat maruahnya dengan semua orang menjadi ‘ustaz’. Tetapi maruah itu diangkat dengan umat menguasai segala bidang serta membawa mesej Islam yang sebenar. Susunlah perjuangan umat ini dengan menyusun kepakaran anak-anak kita dalam berbagai kebolehan. Jika kita lahirkan guru agama yang terbatas pengetahuannya, maka agama akan dipandang sinis. Perkataan ustaz itu sendiri begitu umum. Bahkan kadang-kala kerana boleh membaca beberapa ayat dan berpakaian arab dia dipanggil ustaz. Perkataan ustaz dalam masyarakat kita bukan semestinya melambangkan kesarjanaan.
Sebenarnya, yang kita perlukan adalah pakar; pakar tafsir, pakar hadis, pakar akidah, pakar fekah dalam berbagai bidangnya dan seterusnya. Inilah keperluan kita. Mereka mesti mampu membawa kefahaman Islam yang tulen. Bukan sekadar untuk bercoleteh, atau membuat jenaka atau menyampai cerita-cerita tidak munasabah dalam ceramah yang tidak menggambarkan kematangan dan kemantapan agama yang agung ini. Barangkali itulah sebabnya P.Ramlee dalam filemnya ‘Musang Berjanggut’ menamakan Menteri Agama Pura Cendara dengan gelaran ‘Datuk Nikah Kahwin’ tidak dinamakan dengan ‘Datuk Syariah’ atau seumpamanya. Dek sempitkan bidang yang dikuasainya atau pemikiran yang hanya terbatas dalam soal nikah kahwin sahaja. Mungkin jika Raja Alam Shah Bana melihat di Pura Cendana seseorang yang tidak mempunyai idea yang bernas dan produktif untuk kemajuan agama, sebaliknya hanya mampu mengiklan kenaikan tambang haji, maka dia akan namakannya ‘Datuk Tambang Haji’. Saya tersenyum sinis apabila ada yang mempertikaikan mufti menulis di akhbar dan berbicara di luar bidang agama. Barangkali pada pandangannya peranan mufti itu membaca doa dan berbicara hanya yang ditentukan dan simpan akalnya dalam saku. Jika minda kita sempit, kita jangan jumudkan dunia orang lain.
Jika tidak agama akan sentiasa kelihatan sempit. Semua manusia yang berjuang untuk memertabatkan agama, dia ialah pejuang agama. Dalam apa bidang sekalipun. Selagi mematuhi lunas-lunas syarak. Nabi s.a.w. apabila ditanya: “Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah? Rasulullah s.a.w menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, saya begitu tertarik dengan slogan Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim yang cuba menjadikan perjuangannya dalam ekonomi sebagai jihad. Ya, jika cita-citanya untuk mengangkat maruah agama dan menepati prinsip Islam maka ia adalah pengorbanan dan jihad. Kadang-kala ibubapa yang menghantar anak belajar dalam bidang-bidang selain agama tidak merasai mereka juga sedang menghantar dan membiayai pejuang agama. Apatah lagi jika anak yang dihantar pun langsung tidak ada kesedaran agama dan mencerminkan identiti agama ini. Bertambah jauhlah ilmu tersebut dari daerah perjuangan agama.
Demikian juga sesetengah pengurusan zakat hanya menghadkan atau menumpukan peruntukan zakat untuk yang belajar agama secara formal sahaja. Sekali lagi saya petik Dr.Yusuf al-Qaradawi ketika membahaskan tentang peruntukan zakat untuk para penuntut ilmu menyebut: “Bukanlah ilmu yang dituntut itu hanya terhad kepada ilmu agama semata. Bahkan merangkumi setiap ilmu yang bermanfaat yang kaum muslimin memerlukannya di dunia ini seperti ilmu kesihatan, pengembangan ekonomi dan bangunan, peningkatan kekuatan ketenteraan mengatasi musuh dan seumpamanya. Itu semua fardu kifayah. Ini seperti mana yang diputus oleh para penganalisa hukum. Maka tidak hairan kita dapati para ahli fekah Islam menetapkan mengenai hukum zakat; bahawa ia diberikan kepada penuntut ilmu sepenuh masa, dan diharamkan kepada ahli ibadah sepenuh masa. Ini kerana ibadah dalam Islam tidak memerlukan untuk seseorang meninggal segala urusan sepenuh masa seperti mana ilmu dan pengkhususannya. Demikian juga manfaat ibadah ahli ibadah itu hanya untuk diri seoarang sahaja, sedangkan ilmu penuntut itu untuk dirinya dan seluruh manusia. Bukan setakat itu sahaja, ahli-ahli fekah Islam menyatakan: “Harus untuk mereka yang fakir mengambil zakat untuk membeli buku-buku ilmu yang diperlukan yang semestinya untuk kepentingan agamanya dan dunianya. (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/570 Beirut: Muassasah al-Risalah).
Saya katakan, sesungguhnya tumpuan melahirkan saintis muslim yang beriman lebih diperlukan buat masa kini dari melahirkan seorang ‘ustaz’ dalam ertikata biasa. Ini kerana jumlah ustaz sudah agak ramai, tetapi saintis muslim soleh yang mampu mengangkat wajah umat Islam di hadapan dunia masih ketandusan atau tidak mencukupi. Maka wajib bagi dunia Islam mengembelingkan segala kepakaran yang ada. Bukan ustaz itu tidak perlu, tetapi proses mengeluarkan ustaz nampaknya telah berjalan lancar dan untuk mendapat darjah kebesaran ‘ustaz’ yang tidak pakar tidaklah begitu sukar. Namun untuk mencapai gelaran ’saintis’ yang sebenar, kita memerlukan pengembelingan yang lebih. Keluasan fikiran secara berprinsip itu membawa kita ke hadapan, dan kejumudan pula hanya membunuh kewarasan akal dan kematangan ilmu.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com