Friday, December 14, 2007

2007... Perjalanan Yang Di Rindu...

Selamat Tahun Baru 2008...

" Janganlah kamu bersungguh-sungguh dalam bermusafir kecuali untuk menziarahi 3 tempat; Masjidil Haraam, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa.."


(Hadith Sahih Muttafaqun 'Alaih)

Mei - Jun 2007... Ada satu kenangan manis yang pastinya tiada tandingan dalam hidup ini. Memori itu diransang 'Eidul Adha yang baru lalu membuatkan hati ini sangat sayu tika minda kembali melayari detik-detik kenangan akan perjalanan ke 2 tanah haram pada penhujung Mei lepas. Perjalanan yang tak mungkin dapat lenyap dari minda ini... Mana tidaknya, bumi yang Allah janjikan keamanan dan kedamaian didalamnya...

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى، وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

"Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjidil Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang rukuk serta sujud". (Al-Baqarah: 125)

Kunjungan tersebut walaupun seringkas 2 minggu saja, sudah cukup untuk menambah kekuatan hati dan kesyukuran akan betapa Islam yang kita dapati secara mudah hari ini harus dijaga kesucianya. Peristiwa-peristiwa yang berlaku disekitar bumi Makkah dan Madinah tatkala Rasul berjuang menyampaikan agama yang suci ini seharusnya; malah semestinya tercatat dengan tinta emas dihati setiap Muslim. Susah payah dan jerih penat Nabi SAW dalam menyampaikan wahyu Tuhan tiada tolok bandingnya dengan usaha kita pada zaman ini.

Suasana ketibaan rombongan kami lebih kurang 7.00 petang waktu Jeddah amat mengujakan. Walaupun terpaksa mengharungi perjalanan lebih kurang 14 jam termasuk waktu transit di Singapura dan Dubai.. Namun tiada langsung rasa letih atau gusar... Masing-masing bagai tidak sabar menjejakkan kaki ke bumi Jeddah. Walaupun suasana sudah mulai kelam, namun kepanasan siang masih terasa. Angin yang bertiup agak kencang membawa bersama debu dan haba panas menceritakan gambaran suhu waktu siangnya yang bakal kami lalui.


Perjalanan ke Madinah mengambil masa lebih kurang 7 jam dengan 'bas ekxpres'. Di pertengahan jalan kami singgah makan dan solat di tepi 'highway' menuju ke Madinah. Jam tatkala itu menunjuk hampir pukul 1 pagi waktu Saudi. Jika nk dikira waktu di tanahair, dah hampir subuh pun. Tapi dek kerana kepala sudah ditipu oleh tidur yang panjang dari dalam pesawat hinggalah ke dalam bas, maka perubahan masa masih belum benar dirasai. Setelah solat jama' ta'khir dan menikmati keenakan makan Nasi Beryani ditengah malam itu, perjalanan kami diteruskan menuju 'Bandar yang Bercahaya'... Madinah Al- Munawwarah.
Sebaik memasuki Kota Madinah hati teruja lagi dan semakin berdegup kencang menanti masa untuk sampai ke Masjid Nabawi. Setelah hampir beberapa minit, mata ini menyaksikan pemandangan menakjubkan yang dinanti. Kompleks Masjid An-Nabawi yang semakin hampir.. Tatkala terpandang 'kubah hijau' itu... sebak tak dapat ditahan lagi.. Air mata mengalir sendiri sambil jiwa dan kalbu meruntun mengenangkan jasad Rasul yang dimuliakan Tuhan bersemadi di bawahnya. Tiada kata-kata yang lebih indah untuk dituturkan tatkala itu melainkan alunan Selawat dan salam keatas baginda serta ahli keluarganya.

"Allahumma solli'ala Muhammad, Wa'ala ali muhammad..."



Alhamdulillah, jam belum pun pukul 4 pagi waktu Saudi. Bermakna kami akan sempat menunaikan solat Subuh pertama kami di dalam masjid yang Nabi janjikan lebih baik dari seribu solat di masjid lain kecuali Masjidil Haram. (Mutawatir - Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa'i, Ibn Majah.) Setelah mendapat kunci dan memunggah barang, maka kami pun masuk ke bilik. Biliknya sangat kemas dan nampak tersusan. Benar kata sahabat yang pernah pergi ke Madinah sebelum ni bahawa hotel-hotel di bandar Nabawi ini lebih ekslusif dan tersusun. Hotel kami terletak bertentang pintu masuk utama ke Masjid Nabawi menghadap dua kubah masjid.

Kami tak punya banyak masa untuk berehat. Lagipun, keletihan perjalanan hilang tiba-tiba. Setelah mengambil wudhuk dan menukar pakaian yang dipakai seharian tadi, kami berkumpul semula di lobby hotel untuk 'acara' ziarah. Untuk pertama kalinya ini, kami dibimbing untuk oleh seorang mutawwif warga indonesia yang juga merupakan pelajar Universiti Madinah. Pertama kali menjejak kaki... perkarangan Masjid Nabawi sangat indah dengan dihiasi lampu limpah yang menyala sepanjang malam.


Suasana di perkarangan Masjid mulai meriah apabila semakin ramai yang mula bergerak untuk Solat Subuh. Bahang panas 'negara padang pasir' masih lagi terasa tatkala hari hampir Subuh. Semasa menuju ke pintu besar di sebelah kiri masjid, sempat ku menjeling ke kiri untuk mengintai 'dimana' Raudhah... Namun pemerhatianku terhalang dek kerana ramainya orang mengerumuni pintu berhampiran Makam Rasul. Yang aku nampak hanyalah jeriji emas yang aku kira di situlah Makam Rasulullah Al-Amin.


Memasuki masjid, pandangan ini sekali lagi terpukau akan keindahan rekabentuk dan hiasan dalaman pada ruang tambahannya setelah beberapa kali melalui proses pembesaran. Berbaris teratur tong-tong yang berisi Air Zamzam di laluan tengah masjid. Kelihatan juga para petugas sedang giat mengemop lantai masjid terutama berhampiran kawasan tong air zamzam.


Aku menerpa ke arah salah satu tong awal di laluan tengah. Tegukan air zamzam memulakan kunjunganku ke Masjid Nabawi. Sesungguhnya Air Zamzam ini merupakan satu mukjizat Allah yang amat menakjubkan. Bumi gersang Mekah yang sangat kurang kehijauannya tiba-tiba mampu mengeluarkan air dari perutnya dan sudah menampung beratus juta orang jemaah haji dan umrah serta sebahagian lagi dibawa pulang ke negara masing-masing. Itulah mukjizat agung di Tanah Haram yang menyaksikan kemuncak tugas mencabar yang ditempuh para Rasul dan Anbiya' dilaksanakan dengan jaya diatasnya termasuk pengorbanan Ibrahim dan Ismail yang tunduk akur akan perintah Allah Azza Wajalla.

Setelah beberapa ketika aku menyempurnakan Tahiyyatul Masjid, berkumandanglah azan kedua yang memecah keheningan pagi di bumi Madinah. Sayup dan sayu mendengar kemerduan suara muazzin secara 'live' dari Masji Nabawi. Masing-masing jemaah mula bersedia menyahut seruan dengan solat sunat subuh; antara solat sunat yang tidak pernah Rasul tinggalkan sepanjang hayat baginda biarpun baginda dalam keadaan bermusafir dan boleh pula mengqada' solat tersebut andainya tertinggal.

Dalam sebuah Hadis disebutkan,

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعَصْرِ فَسَأَلَتْهُ عَنْهُمَا فَقَالَ : إِنَّهُ أَتَانِي نَاسٌ مِنْ عَبْدِ الْقَيْسِ فَشَغَلُونِعَنْ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ فَهُمَا هَاتَانِ

“Nabi telah melihat seorang lelaki bersolat 2 rakaat selepas menunaikan solat Subuh 2 rakaat. Nabi berkata : Adakah anda bersolat fajar dua kali? Berkata lelaki tersebut kepada Nabi : Saya tidak bersolat 2 rakaat sebelum itu, maka aku bersolat sekarang. Nabi mendiamkan diri.” [Hadith Riwayat Ibn Majah . Al-Albani mengkelaskan sebagai Sahih didalam Sahih Ibn Maajah #984.]

Suasana diam dan tenang dalam solat berubah setelah selesai salam. Masing meneruskan zikir dengan suara perlahan seperti yang dicontohi dari tradisi kerasulan Muhammad. Tiada juga doa secara jahr kerana ia tidak pernah dilaksanakan tatkala Rasul masih ada. Andainya ia berlaku, pasti muncul sejumlah hadis menceritakan perkara ini sehingga mencapai taraf Sahih lagi mutawatir kerana ia akan datang dari susur galur sanad yang berbeza dan banyak. Begitu juga, akan wujud hadis-hadis yang banyak perihal doa apakah yang dibaca oleh Nabi setelah baginda selesai solat. Namun ia tidak berlaku...

Tatkala ini teringat satu komentar oleh Imam Ibnu Kathir Rahimahullah tatkala beliau mentafsirkan ayat di dalam surah Hud ayat 7 yang bermaksud:


وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً

Maksudnya:Dan Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, dan Arsy-Nya di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.

Kata beliau “Allah s.w.t tidak mengatakan paling banyak amalan tetapi paling baik amalan. Amalan itu tidak akan menjadi baik sehinggalah ia ikhlas kerana Allah s.w.t. dan mengikut syariat Rasulullah s.a.w. Bila sahaja tidak ada dua syarat ini maka amalan itu terhapus dan batal. [Tafsir Ibnu Kathir]

Abdul Rahman bin al-Nasir al-Sa`di pula menukilkan daripada al-Fudhail bin Iyadh katanya ketika mentafsirkan ayat ini: “Iaitu yang paling ikhlas dan paling tepat.” Beliau ditanya: “Apakah maksudnya itu?” Jawabnya: “Sesungguhnya amalan itu jika ikhlas tetapi tidak tepat tidak akan diterima. Jika tepat tetapi tidak ikhlas juga tidak terima, sehinggalah amalan itu ikhlas dan tepat. Ikhlas itu ialah kerana Allah dan tepat itu dengan mengikuti syariat dan sunnah.” [Tafsir Al-Karim Ar-Rahman]. Maka inilah konklusi 2 syarat sesuatu ibadah yang hendak dilakukan supaya ia diterima Allah.

Sesungguhnya perkara yang kurasakan paling berat dalam agama ini, yang mana manusia sering gagal ialah "Fastaqim kama umirtu" - beristiqamah sepertimana kamu diperintahkan.

Oleh kerana hari itu adalah Saiyyidul Ayyam, maka mungkin ramai yang berundur pulang dahulu sebelum datang kembali seawal mungkin untuk menunggu waktu Solat Jumaat. Tanpa melengah waktu, kaki ini ku ayun perlahan menuju ke ruang 'antara rumahku dan mimbarku' yang disebutkan oleh Rasul iaitulah Raudah.

Masih penuh... Ruang ini ditandakan dengan permaidani becorak dengan latar putih. Tiang-tiang sekelilingnya juga dibina dengan marmar putih.Di ruang sedikit hadapan, kelihatan berbaris panjang jemaah bergerak perlahan untuk menziarahi makam Rasul. Di satu sudut paling hadapan di Raudhah pula, kelihatan satu mihrab kecil berdekatan mimbar yang aku jangka itulah tempat asal letaknya mihrab pada zaman Nabi SAW. Di sebelah kanannya pula adalah mimbar yang menyempadani kawasan Raudhah.

Alhamdulillah.. Akhirnya Allah mempermudahkan laluanku... Pagi itu jugalah aku sempat bersolat dua rakaat di celah-celah manusia di dalam 'salah satu taman diantara taman-taman syurga'. Kata Nabi S.A.W: "Di antara rumahku dengan mimbarku terletak sebuah raudhah (taman) dari taman-taman syurga. Mimbarku itu ada di atas telagaku." (Sahih - Drirwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abu Hurairah).

Antara doaku disana.. Moga Allah meredhai amalanku dan seluruh kehidupanku, ibu bapaku, saudara-saudaraku, guru-guruku, sahabat handaiku dan seluruh umat Islam sehingga akhirnya mengizinkan kami semua menjejak kaki ke syurga yang abadi.. yang tak terbayang dimata dan tak tergambar diminda.Sesungguhnya ketenangan abadi hanyalah disyurga Allah jalla wa'ala... Itulah kesempurnaan... Kemuncak segala kenikmatan...!

Selesai solat dan berdoa, tibalah masanya menuju Makam Rasulullah S.A.W. Jiwa sekali lagi rasa diragut dek terbayang kesucian akhlak dan kekentalan jiwa Rasulullah walaupun derita yang ditempuh sepanjang memikul amanah kerasulan tiada kepalang. Melalui perkarangan hadapan makan Rasul, selawat dan salam diutuskan buat baginda. Insan maksum kecintaan Tuhan... Disebelah makam baginda ialah dua lagi pemimpin agung dari kalangan salaful ummah, Abu Bakr As-Siddiq dan Umar Al-Khattab Radiallahuanhuma. Merekalah perwira yang menyambar dan menjulang panji Islam setelah Rasulullah wafat bagi memelihara agama ini dari dicemari dan diperkotak-katikkan. Selayaknya salam dan doa buat meraka juga dari seluruh umat Islam.

Ingatan Allah dalam Al-Furqan:

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul yang mati ataupun terbunuh. Jika demikian, kalau ia pula mati ataupun terbunuh, patutkah kamu berbalik berpaling tadah menjadi kafir? Dan ingatlah, sesiapa yang berbalik menjadi kafir maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu.” (Ali Imran: 144)





Sirah menceritakan bagaimana Umar yang keras perwatakannya gagal memaksa hati menerima berita kewafatan Rasul lalu mengugut untuk memancung kepala sesiapa sahaja yang berani mengatakan Rasulullah telah wafat. Namun apabila Abu Bakar membaca ayat Allah dari surah Ali Imran:144, maka Umar tunduk akur. Begitulah kemurnian aqidah para sahabah ridhwanullah 'alaihim ajamain. Apabila dibacakan kepada mereka Al-Quran, maka tiadalah apa lagi yang mampu mengatasi. Semuanya akan diterima... 'Sami'na wa atho'na'...

Kata-kata didalam khutbah Saidina Abu Bakar R.A ini juga menggambarkan betapa Aqidah adalah yang paling utama untuk dipelihara setelah Rasul wafat:

" Barangsiapa yang menyembah Muhammad, hari ini Muhammad sudahpun wafat. Tetapi, barangsiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah hidup dan tidak akan mati." (Sahih - Riwayat Al-Bukhari).




BERSAMBUNG...




Kata Umar Al Khattab R.A " Sesungguhnya engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan tidak pula mampu memberi mudharat. Andai aku tidak melihat Rasulullah menciummu, pasti aku tidak akan berbuat demikian" - .

(Sahih - Muttafaqun 'Alaih)

Monday, December 10, 2007

MESTI BACA: Cakap Orang Ramai Bukan Penentu Kebenaran...

Kebenaran itu selalu menjadi mangsa apabila manusia menilainya hanya berdasar cakap atau pendapat orang semata. Maka betapa banyaknya fakta-fakta yang benar dalam sesebuah masyarakat ditolak hanya kerana ianya tidak digemari oleh cakap orang ramai. Entah berapa banyak pula fakta yang salah dan dusta ditelan oleh sesebuah masyarakat sebabkan ianya dipercayai oleh majoriti yang ada. Inilah nasib kebenaran atau al-haq jika pungutan suara atau desas-desus ramai dianggap sebagai kayu pengukur utama.

Demi sesungguhnya tidak! Kebenaran adalah kebenaran. Kebenaran dinilai dengan dalil dan alasan. Dalam dunia akademik ianya juga disebut ‘dengan angka dan fakta’. Jika dalilnya sahih dan alasannya benar atau angkanya betul dan faktanya tepat maka itulah kebenaran sekalipun orang ramai jahil mengenainya atau menolaknya.

Kejahilan manusia tidak boleh merubah hakikat kebenaran. Demikian pembohongan yang diterima ramai tidak boleh mengambil tempat kebenaran. Dalam Islam, dalil dan alasan atau fakta dan angka yang teragung adalah apa yang ditegaskan oleh Allah dan RasulNya. Sekalipun manusia menolaknya, atau tidak memperdulikannya. Jika kita mengubah prinsip ini dalam mengenali kebenaran seperti menjadikan suara ramai sebagai pengukur utama kebenaran, maka banyaklah kesilapan atau kesalahan, bahkan kesesatan akan dianggap kebenaran.

Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w menceritakan perihal hari kiamat yang ditunjukkan oleh Allah kepada baginda. Baginda menyebut: “Diperlihatkan kepadaku umat-umat manusia. Maka aku dapati ada nabi yang mempunyai seorang pengikut. Ada pula nabi yang mempunyai dua orang pengikut. Ada pula yang mempunyai beberapa orang pengikut. Ada juga nabi yang tidak mempunyai seorang pengikut pun…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Demikianlah kadang-kala nasib kebenaran. Jikalau kebenaran itu hanya diukur dengan jumlah pengikut, tentu nabi-nabi tersebut tidak termasuk di kalangan orang yang benar disebabkan sedikitnya jumlah yang menyahut seruan mereka. Bahkan ada yang langsung tidak ada siapa yang sudi menerima dakwahnya. Bahkan ada nabi yang ditentang oleh kaum keluarganya sendiri; seperti Nabi Nuh a.s. dan Nabi Lut. Lebih dari itu Nabi Nuh a.s. telah melakukan gerakerja dakwahnya hampir seribu tahun, namun hanya sedikit yang sudi menerima.
Kisah dakwah Nabi Nuh a.s. dalam membawa bahtera kebenaran begitu payah dan susah melebihi bahtera sebenar yang dibinanya. Perjuangan yang baluti jerit payah dan kedukaan yang Allah rakamkan rintihan Nuh dalam Surah Nuh: (maksdunya) “Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); maka seruanku itu tidak menambahkan mereka apa-apa selain daripada mereka melarikan diri (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada beriman) agar Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan jari ke dalam telinga mereka, dan berselubung dengan pakaian mereka, serta terus berdegil, dan sombong takbur dengan melampau. Kemudian aku telah seru mereka dengan terang-terang; selain dari itu, aku menyeru mereka secara terbuka, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan sembunyi” (Surah Nuh ayat: 5-9).

Jika kebenaran itu dinilai dengan sambutan orangramai semata, tentulah Nabi Nuh a.s tidak termasuk dalam golongan yang dianggap benar kerana majoriti masyarakatnya tidak bersetuju dan mengiktiraf dakwahnya bahkan mencercanya.
Demikian Nabi Muhammad s.a.w juga tidak boleh dianggap benar di peringkat Mekah, kerana kebanyakan penduduk Mekah menentang dan menuduh baginda ketika itu dengan berbagai tuduhan. Namun kebenaran itu bukan dinilai dengan keputusan orang ramai semata. Orang ramai boleh jadi mempunyai kepentingan, atau dipengaruhi taklid buta atau sentimen tertentu atau dipengaruhi oleh pihak yang lebih dominan.
Pemikiran yang menganggap kebenaran berdasarkan jumlah pengikut ditolak oleh al-Quran dalam banyak tempat. Antaranya Allah menyebut dalam Surah al-An’am. (maksudnya) Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Justeru itu, apabila kita ingin menilai sesuatu perkara sama ada benar ataupun salah hendaklah kita merujuk kepada alasan dan dalil yang dikemukakan. Buanglah dari kita pengaruh persekitaran yang sebahagiannya dek cakap atau pendapat yang tersebar luas tanpa bersertakan bukti dan dalil. Al-Quran juga meminta insan agar ketika berfikir tentang hakikat sesuatu kebenaran bebas dari pengaruh orang ramai yang tidak berteraskan hujah yang benar dan pemikiran yang betul.
Dalam Surah Saba ayat 46 Allah menyebut: Katakanlah: “Aku hanyalah menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu mengadap Allah (bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah), sama ada dengan cara berdua, atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikirlah (untuk mengetahui salah benarnya) sebenarnya tidak ada pada sahabat kamu ( Nabi Muhammad) sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat)”

Berfikir secara matang adalah dengan berbincang dengan yang layak, atau berfikir sendirian secara mendalam tanpa dipengaruhi sentimen luaran atau pengaruh suara ramai. Inilah adalah jalan yang memboleh insan menemui kebenaran. Terbawa-bawa dengan arus orang ramai tanpa bersandarkan bukti dan dalil adalah punca kesesatan. Ini bukan bererti kita disuruh menolak atau tidak meraikan pendapat orang ramai. Bukanlah juga pendapat ramai itu semestinya salah. Jika pendapat ramai itu dibuktikan kebenarannya dengan dalil dan alasan, maka kita akan menerima. Bukan kerena ia pendapat ramai ramai, tetapi kerana alasan dan hujah yang dikemukakan.

Seseorang yang hidup dalam masyarakat Syiah umpamanya, akan mendapati masyarakatnya menyatakan para sahabah seperti Abu Bakr, Umar, Uthman, Abu Hurairah, Khalid al-Walid dan ramai lagi sebagai insan-insan jahat, khianat, rakus, zalim dan seumpamanya. Begitu juga yang hidup dalam masyarakat tarekat yang sesat akan dapati orang ramai mengagungkan syeikh yang menyimpang dari ajaran al-Quran dan Sunah.
Jika hidup hanya berteras cakap orang ramai dalam masyarakat, tanpa menyemak semula dakwaan itu tentulah seseorang akan tersesat dari jalan hidayah. Lebih mengelirukan lagi jika orang ramai itu termasuk juga mereka yang berpakaian yang dianggap perlambangan agama seperti jubah, serban dan janggut yang menawan.

Atau mereka yang memakai gelaran agama seperti ayatullah, atau ustaz atau mullah. Jika setiap pendapat atau pandangan atau hujah itu diukur dengan juban atau serban atau gelaran, atau lambang pertubuhan atau parti yang dikaitkan dengan agama maka hancurlah kebenaran dalam kehidupan manusia.
Sebab itu saya begitu kehairanan apabila ada pertubuhan atau individu yang memakai lebel Islam tetapi memekik secara terbuka ‘kami pejuang demokrasi tulen’. Apakah mereka tidak sedar bahawa dalam demokrasi tulen yang difahami oleh pejuangnya ’suara ramai mengatasi suara Tuhan’. Sedangkan dalam Islam suara ramai dihormati tetapi tidak boleh memadamkan hakikat kebenaran.

Jika demokrasi dalam acuan asalnya hendak dibawa ke negara ini, terpadamlah wajah agama ini keseluruhannya nanti. Demokrasi kita hendaklah tunduk kepada acuan Islam. Jika tidak suara ramai akan muncul sebagai tuhan baru dalam kehidupan.
Inilah yang cuba dilakukan oleh media Barat terhadap Islam. Mereka mandulkan fikiran manusia agar tidak perlu berfikir dan mengkaji sebaliknya menerima apa yang disuapkan oleh suara media yang mendominasi kehidupan moden sehingga wajah Islam diconteng begitu hodoh dengan berbagai tuduhan liar.
Namun masyarakat Barat istimewanya mereka adalah kerana ramai yang terlatih untuk mengetahui sesuatu hakikat itu dengan sendirinya tanpa mahu dipengaruhi. Maka ramailah orang Barat yang terus menganut Islam sekalipun suara terkuat di Barat memburukkan Islam.
Malangnya dalam masyarakat kita, ramai yang malas berfikir untuk menilai setiap perkara dengan fikirannya sendiri. Lebih suka bergantung kepada cerita orang lalu dipencenkan otak sendiri. Apa sahaja yang orang cakap ditelannya bulat-bulat, apatah lagi jika membabitkan berita-berita yang sensasi.

Seorang artis mengadu kepada saya tentang nasibnya yang dituduh mempunyai hubungan sulit dengan seorang ahli politik padahal cerita itu sama sekali tidak ada asasnya. Dia tidak pernah bertemu secara sendirian apatah lagi keluar ke mana-mana. Namun oleh kerana berita tersebut telah dihebahkan kepada awam dan setiap yang mendengar menelannya tanpa bukti maka mereka pun menjadi mangsa. Saya katakan kepadanya; kisah itu digemari oleh orang ramai kerana gabungan cerita antara artis dan ahli politik. Kedua-dua medan itu ramai penggemar sensasi dan hasad dengki. Orang ramai pula suka jadikan cerita-cerita yang seperti itu hidangan di waktu bertemu antara satu sama lain. Tuduhan jahat seperti itu lebih enak dari segala hidangan istimewa. Apalah yang hendaklah dihairankan, dalam kelompok agama pun ada yang sanggup menuduh orang ramai murtad sehingga ianya menjadi kepercayaan umum.
Sumber yang beginilah yang membawa cerita yang berbagai untuk menjatuhkan orang yang dibenci, atau yang bersaingan dengan dirinya atau kerana bertujuan mengangkat namanya sendiri. Saya pun pernah dituduhnya menampar seorang imam di Perlis lalu diterima berita itu oleh banyak pihak. Padahal jika mereka berfikir mana mungkin perkara seperti itu berlaku tanpa sebarang laporan media yang sentiasa menanti. Jika manusia menganggap apa yang disebut oleh masyarakat itu semuanya benar, maka tentulah masyarakat fasik juga berada atas kebenaran.

Saya pernah seorang yang memprotes dengan berkata; kenapa Perlis tidak mahu ikut al-Imam al-Syafi’i. Saya tanya dia: dalam bab apa? Kata dia: Imam Syafi’i suruh kita zikir kuat lepas solat, mengapa di Perlis macam Masjidil Haram dan Masjid Nabi, zikir perlahan dan sendirian sahaja. Saya tanya dia: Di mana al-Imam al-Syafi’i r.a memberitahu hal ini?. Dia beritahu saya: “Memanglah macam itu, semua orang cakap macam itu”. Saya kata kepadanya, sebelum membuat tuduhan melulu mari saya tunjukkan apa yang yang al-Imam al-Syafii cakap dalam kitabnya al-Umm, saya terjemahkan untuknya: “Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir, kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (bacaan-bacaan zikir-pen), maka ketika itu dijelaskan zikir. Sehingga apabila didapati telah dipelajari daripadanya. Maka selepas itu hendaklah dia perlahankan” (al-Syafi’i, Mausu‘at al-Imam al-Syafi’i: Al-Umm, 1/353 Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi). Lalu saya beritahu kepadanya: “berita atau cerita yang dikongsi ramai itu belum tentu benar. Manakala pendapat atau hukum yang putus oleh seorang tokoh pula, tidak ditelan bulat-bulat melainkan diteliti dengan timbangan ilmiah.

Demikianlah masyarakat selalu menuduh atau menfitnah orang lain atas dakwaan yang jika diteliti tidak mempunyai bukti melainkan ‘orang ramai cakap macam itu’. Padahal sebahagian dari khabar angin yang diterima ramai itu adalah dosa besar di sisi Allah. Ia ringan pada lidah kita, berat hukumannya di sisi Allah. Ketika isteri Nabi Ummul Mukminin ‘Aisyah r.a. difitnah dengan tuduhan zina dan berita itu disebarkan di kalangan orang ramai,
Allah menyebut dalam Surah al-Nur ayat 15: “(maksudnya) ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”.

Dalam dunia internet hari ini maruah dan harga diri manusia dijual dengan begitu murah. Seseorang yang berada di hadapan komputernya merasa begitu ringan tangan dengan menfitnah orang lain apa sahaja yang dia suka. Seakan mereka merasa dosa memfitnah orang melalui maya itu tidak akan dapat dikesan oleh Allah atau disoal pada hari hari kiamat kelak. Para pelayar internet pula ramai yang menerima khabar-khabar bohong itu lalu dijadikan bahan masyarakat awam untuk memburukkan orang lain. Lebih buruk lagi jika penyebaran fitnah itu ada yang menggunakan nama agama ini. Kononnya atas nama perjuangan Islam lalu dihalalkan apa yang diharamkan oleh al-Quran dan Sunah.
Sabda Nabi s.a.w. ketika haji terakhir baginda: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Lihat sebahagian laman web yang memakai slogan Islam, entah berapa ramai insan yang mereka cemari maruahnya hanya kerana tidak se’kapal dengan kumpulan, atau jamaah atau parti mereka. Makian, hamunan, cercaan, tuduh tanpa bukti seakan menjadi perkara yang halal di sisi agama yang kononnya mereka sedang pertahan dan tegakkan. Mereka ketika mengendalikan semua itu telah lupa untuk siapakah mereka berjuang? Jika untuk Allah dan rasulNya, adakah Allah dan rasulNya meredhai perbuatan tersebut? Atau adakah mereka ini seperti yang Allah sifatkan: (maksudnya) “Katakanlah: “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan mereka yang paling rugi amalannya? (Iaitu) mereka yang telah sia-sia kerja buatnya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka melakukan amalan yang baik”. (Surah al-Kahf: 103-104).

Mereka ini jika ditanya mengapakah awak menyebarkan berita tidak ada bukti yang diterima oleh syarak? Mereka akan menjawab dia itu musuh kami, kami pejuang Islam dan lagi pun ramai orang suka berita itu dan cakap di sana-sini. Maka cakap orang ramai pun seakan mengambil tempat wahyu Tuhan dalam kehidupan mereka, lalu terhukumlah ramai manusia tanpa bukti melainkan atas nama ‘ramai orang cakap’.

SS Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
http://drmaza.com

Wednesday, December 05, 2007

Wahai Pemimpin! Kemewahan Dirimu Bukanlah Kehebatanmu..


Saya terbaca dialog yang menarik antara khalifah yang sangat adil iaitu Umar bin ‘Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah. Kata Rajak bin Haiwah: Ketika ‘Umar bin ‘Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: “Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju”. Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya lima ratus dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya murah”.

Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah. Suatu hari beliau berkata kepadaku: “Belikan untukku sehelai baju”. Maka aku membeli untuknya sehelai baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya lima dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya mahal”.

Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga lima ratus dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga hanya lima dirham dianggap mahal. Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis. ‘Umar bin Abdul Aziz bertanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak?. Kataku: “Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?.

Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, alu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).

Demikianlah jiwa seorang pemimpin yang mencatatkan sejarah keadilan kepimpinannya dengan tinta emas. Dia hanya memerintah selama dua tahun, tetapi dia mengukir namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah yang tidak kunjung padam. Hubungan jiwanya dengan habuan kekal yang diharapkan di sisi Allah pada hari akhirat kelak telah menjadikan kepimpinannya penuh dengan keadilan dan rahmah Allah yang mencurah-curah.
Sekalipun pakaiannya hanya dari kain murahan, tetapi keadilannya tidak dapat dibeli dengan apa-apa harga pun. Sejarah tidak pernah mengenangkan kemewahan harga baju atau kediaman seorang pemerintah dengan kenangan indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah pemerintah menggunakan harta rakyat telah banyak menghasilkan mimpi ngeri dan babak hitam bagi kehidupan rakyat jelata. Namun sejarah indah hanya akan mengingati keadilan dan amanahnya seorang penguasa, sekalipun bajunya buruk.

Lihatlah tampungan yang ada di baju Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a., namun jiwa rakyatnya tidak pernah berlubang seperti bajunya. Amanah dan keadilan meliputi pemerintahannya. Entah berapa ramai pemimpin yang baju mereka megah dan mewah, namun jiwa dan perasaan rakyat mereka sentiasa terkoyak dan carik. Kesilapan besarlah seorang pemimpin jika merasakan dia dihormati kerana gaya mewahnya yang menjulingkan mata rakyat. Dia lupa pemimpin dihormati kerana jasa, prihatin, amanah dan keadilan pemerintahannya. Bukan kerana kenderaannya yang mewah, atau rumahnya yang megah, atau paip dan curutnya yang panjang, atau isterinya yang berhias permata berlian atau cermin matanya yang pekat hitam sehingga dia buta penderitaan rakyatnya. Tidak! Demi sesungguhnya tidak. Itu semua hanya menimbulkan curiga, prasangka dan kedengkian perasaan yang memburukkan kasih-sayang antara orang bawahan dan atasan.

Saya tidak pernah menyeru agar pemimpin Dunia Islam hidup dalam kemiskinan, atau kelaparan, atau memakai pakaian yang buruk dan tinggal di rumah yang nak roboh, atau berkenderaan yang cabuk. Tidak, bukan demikian. Mungkin gaya yang hebat juga diperlukan untuk politik zaman kini yang terpaksa menghadapi persaingan musuh-musuh yang berbagai. Mereka boleh bermewahan jika itu adalah harta mereka yang halal, bukan rasuah atau salahguna kuasa. Mereka boleh memakai dan memiliki apa yang mereka mahu, jika itu semua datang dari sumber yang Allah redha untuk mereka. Saya pun tahu, ada pemimpin-pemimpin yang sememang berharta hasil dari usahanya sendiri. Bahkan kekayaan sesetengah pemimpin melimpah untuk rakyatnya dengan keikhlasan dan kasih-sayang.

Perlis barangkali antara contoh yang baik dalam hal ini. Namun di sesetengah negara dan negeri, ke’ranggi’an pemimpin yang bergaya dengan hartanya menimbulkan kejengkelan dalam jiwa rakyat yang melihat. Sehingga seakan perlambangan seorang pemimpin itu, bukan kerena kewibawaannya, atau adab dan karismanya, atau keadilannya, sebaliknya adalah harta dan kekayaannya yang ditunjuk-tunjukkan kepada orang ramai. Rumah pemimpin dikenali bukan kerana dipenuhi rakyat yang mengadu hal derita mereka, tetapi kerana pagarnya yang besar, dan kemewahan luar dan dalamnya. Kereta pemimpin dikenali bukan kerana kerap sampai ke tempat rakyat, tetapi kerana luar biasa harganya. Isteri pemimpin dikenali bukan kerana adab dan sopannya terhadap rakyat, tetapi kerana gaya ranggi dan hiasan diri yang mahal-mahal. Maka sesetengah pemimpin merasakan dirinya berada pada kasta yang tinggi dan rakyat pula pada kasta bawahan. Maka wakil rakyat ada yang bertukar menjadi ‘tokeh rakyat’. Jika hal ini berlaku, politik kedengkian pun akan subur dan terus merebak lalu umat ini terus bergolak.

Saya terbaca dalam Musannaf Abi Syaibah riwayat yang menceritakan apabila dibawa kepada Saidina ‘Umar harta rampasan Maharaja Kisra Parsi yang begitu banyak dan menakjubkan, maka beliau pun menangis. Lalu ditanya kepadanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Amirul Mukminin, padahal hari ini adalah hari kesyukuran, kegembiraan dan keseronokan”. Jawab ‘Umar: “Tidak ada kaum yang banyak pada mereka benda ini (harta) melainkan Allah campakkan di antara mereka permusuhan dan kebencian” (8/147). Islam bukanlah anti harta, tetapi Islam memusuhi penyalahgunaan harta dan kemewahan yang mengheret kemusnahan. Masyarakat Islam perlu kaya, tetapi kekayaan yang membawa kekuatan kepada umat, bukan hanya untuk keborosan individu. Jika ramai yang kaya tetapi tidak berbakti kepada umat, untuk apa kita berbangga dengan kekayaan mereka?.

Jika pemimpin menjadikan harta dan gaya mewah teras kekuatannya, bukan keadilan dan kewibawaannya, maka insan-insan munafik dan pelahap harta pun akan mengelilinginya. Dia dikelilingi kerana habuan yang diharapkan. Dia dipuji kerana harta yang boleh diberi. Dia akan sukar menemui insan jujur yang sudi menegur tanpa minta dibalas dan menasihati kerena ikhlas. Maka kesilapannya tidak dibetulkan, kesalahannya tidak diingatkan. Lalu dia tenggelam dalam pujian dusta dan khianat, kerana setiap yang ada di kelilingnya tidak pernah berfikir tentang nasib pemimpin mereka di akhirat nanti, sebaliknya hanya berfikir tentang untung mereka di dunia. Jika ada tokoh berlebel agama di sekitarnya pun, tidak akan berfungsi jika harta yang dicarinya. Akhirnya, ulama hanya mainan orang politik, bukan orang politik dipandu oleh ulama.

Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 66-68: (maksudnya) Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”. Justeru itu dalam hadis baginda menyebut: “Sesungguhnya ALLAH meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali ALLAH kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang ALLAH jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik dalam al-Muwatta`).

Hari ini, banyak sukatan dan ukuran telah berubah. Ramai manusia yang tidak memiliki idealisma atau karisma kepimpinan muncul menjadi pemimpin hanya kerana hartanya, atau kem politiknya yang telah berjaya, lalu dia pun dibakulkan sekali. Apabila seseorang naik dalam politik kerana hasil umpan hartanya semata, tentu dia inginkan pulangan modalnya. Maka rasuah dan politik wang akan berluas-luasa. Jika dia naik dalam politik kerana ketajaman idealisma dan karismanya, maka sudah pasti dia ingin membuktikan kemampuan pemikiran yang bernas itu untuk dimanfaatkan masyarakat. Maka rakyat mendapat pulangan faedah yang besar dari pemimpin yang berwibawa dan berkarisma, tetapi akan terpaksa membayar harga yang tinggi terhadap pemimpin yang diangkat kerena umpan hartanya.
Maka akhirnya nanti, golongan Ruwaibidah akan menguasai masyarakat. Al-Ruwaibidoh adalah satu istilah yang diguna pakai oleh Nabi s.a.w. untuk menggambarkan satu golongan yang akan muncul menjelang kiamat. Mereka adalah kelompok yang tidak berkualiti tetapi ingin berbicara persoalan besar. Sabda baginda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.

Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.
Maka menjadi tanggungjawab rakyat dan kepimpinan negara memastikan setiap tokoh yang akan dilantik adalah kerana kewibawaannya. Karisma atau kewibawaan itu dirujuk kepada dua persoalan asas; pertama; persoalan pegangannya kepada agama secara menepati al-Quran dan Sunah. Ini kerana kemuliaan umat ini mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan penghayatan seseorang terhadap ajaran Allah dan RasulNya. Kedua; kemampuannya dalam memegang amanah kepimpinan dalam ertikata mampu memimpin umat ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Bukan semestinya lebai atau ustaz, tetapi iltizam dan keupayaan. Bukan kemewahan hartanya, atau lebar serbannya, tetapi kewibawaannya. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Amatlah dukacita bagi sebuah masyarakat yang apabila disebut perkataan pemimpin politik lalu terus terbayang dalam pemikiran kebanyakan orang tentang limpahan hartanya dan gaya mewahnya, bukan ketajaman mindanya atau keprihatinannya kepada rakyat. Sebenarnya, kita pun suka pemimpin yang kaya berharta, jika itu semua membolehkannya membantu rakyat khususnya kaum muslimin. Namun hendaklah kekayaan adalah hasil dari titik peluhnya sendiri atau usahanya yang tidak mencemarkan kepentingan harta rakyat. Jika itu dapat dilakukan, dia bukan sahaja memimpin idea yang baik, juga penderma yang membawa kebaikan untuk rakyatnya. Kekayaan pemimpin mesti untuk manfaat rakyat. Maka dengan itu dia dipilih di samping kewibawaannya juga kerana kesudiannya menghulurkan bantuan, bukan membisneskan harta rakyat. Dalam Musannaf Abi Syaibah juga meriwayatkan surat Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a. kepada gabenornya Abu Musa al-Asy’ari r.a., antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan”. (8/147)

Maka seorang pemimpin itu mestilah mempunyai penasihat-penasihat yang baik. Mereka menasihatinya dengan jujur, dan hendaklah selalu dia berkata “berikan pendapat yang ikhlas lagi diredhai Allah kepada saya” Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan ALLAH. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai). Semua pemimpin hendaklah memastikan perdampingan dengan penasihatan yang baik itu benar-benar dihayati dalam kepimpinannya. Inilah jalan selamat setiap kepimpinan. Umara jujur hendaklah selalu bersama para ulama yang ikhlas. Keikhlasan para ulama menyuburkan keadilan pemerintah. Maka haram dan khianatlah ulama jika mereka mengampu sehingga pemimpin terbuai nyenyak dalam kesalahan.