Mei - Jun 2007... Ada satu kenangan manis yang pastinya tiada tandingan dalam hidup ini. Memori itu diransang 'Eidul Adha yang baru lalu membuatkan hati ini sangat sayu tika minda kembali melayari detik-detik kenangan akan perjalanan ke 2 tanah haram pada penhujung Mei lepas. Perjalanan yang tak mungkin dapat lenyap dari minda ini... Mana tidaknya, bumi yang Allah janjikan keamanan dan kedamaian didalamnya...
وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى، وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ
"Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjidil Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang rukuk serta sujud". (Al-Baqarah: 125)
Kunjungan tersebut walaupun seringkas 2 minggu saja, sudah cukup untuk menambah kekuatan hati dan kesyukuran akan betapa Islam yang kita dapati secara mudah hari ini harus dijaga kesucianya. Peristiwa-peristiwa yang berlaku disekitar bumi Makkah dan Madinah tatkala Rasul berjuang menyampaikan agama yang suci ini seharusnya; malah semestinya tercatat dengan tinta emas dihati setiap Muslim. Susah payah dan jerih penat Nabi SAW dalam menyampaikan wahyu Tuhan tiada tolok bandingnya dengan usaha kita pada zaman ini.
"Allahumma solli'ala Muhammad, Wa'ala ali muhammad..."
Aku menerpa ke arah salah satu tong awal di laluan tengah. Tegukan air zamzam memulakan kunjunganku ke Masjid Nabawi. Sesungguhnya Air Zamzam ini merupakan satu mukjizat Allah yang amat menakjubkan. Bumi gersang Mekah yang sangat kurang kehijauannya tiba-tiba mampu mengeluarkan air dari perutnya dan sudah menampung beratus juta orang jemaah haji dan umrah serta sebahagian lagi dibawa pulang ke negara masing-masing. Itulah mukjizat agung di Tanah Haram yang menyaksikan kemuncak tugas mencabar yang ditempuh para Rasul dan Anbiya' dilaksanakan dengan jaya diatasnya termasuk pengorbanan Ibrahim dan Ismail yang tunduk akur akan perintah Allah Azza Wajalla.
Setelah beberapa ketika aku menyempurnakan Tahiyyatul Masjid, berkumandanglah azan kedua yang memecah keheningan pagi di bumi Madinah. Sayup dan sayu mendengar kemerduan suara muazzin secara 'live' dari Masji Nabawi. Masing-masing jemaah mula bersedia menyahut seruan dengan solat sunat subuh; antara solat sunat yang tidak pernah Rasul tinggalkan sepanjang hayat baginda biarpun baginda dalam keadaan bermusafir dan boleh pula mengqada' solat tersebut andainya tertinggal.
Tatkala ini teringat satu komentar oleh Imam Ibnu Kathir Rahimahullah tatkala beliau mentafsirkan ayat di dalam surah Hud ayat 7 yang bermaksud:
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً
Maksudnya:Dan Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, dan Arsy-Nya di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.
Kata beliau “Allah s.w.t tidak mengatakan paling banyak amalan tetapi paling baik amalan. Amalan itu tidak akan menjadi baik sehinggalah ia ikhlas kerana Allah s.w.t. dan mengikut syariat Rasulullah s.a.w. Bila sahaja tidak ada dua syarat ini maka amalan itu terhapus dan batal. [Tafsir Ibnu Kathir]
Abdul Rahman bin al-Nasir al-Sa`di pula menukilkan daripada al-Fudhail bin Iyadh katanya ketika mentafsirkan ayat ini: “Iaitu yang paling ikhlas dan paling tepat.” Beliau ditanya: “Apakah maksudnya itu?” Jawabnya: “Sesungguhnya amalan itu jika ikhlas tetapi tidak tepat tidak akan diterima. Jika tepat tetapi tidak ikhlas juga tidak terima, sehinggalah amalan itu ikhlas dan tepat. Ikhlas itu ialah kerana Allah dan tepat itu dengan mengikuti syariat dan sunnah.” [Tafsir Al-Karim Ar-Rahman]. Maka inilah konklusi 2 syarat sesuatu ibadah yang hendak dilakukan supaya ia diterima Allah.
Sesungguhnya perkara yang kurasakan paling berat dalam agama ini, yang mana manusia sering gagal ialah "Fastaqim kama umirtu" - beristiqamah sepertimana kamu diperintahkan.
Oleh kerana hari itu adalah Saiyyidul Ayyam, maka mungkin ramai yang berundur pulang dahulu sebelum datang kembali seawal mungkin untuk menunggu waktu Solat Jumaat. Tanpa melengah waktu, kaki ini ku ayun perlahan menuju ke ruang 'antara rumahku dan mimbarku' yang disebutkan oleh Rasul iaitulah Raudah.
Masih penuh... Ruang ini ditandakan dengan permaidani becorak dengan latar putih. Tiang-tiang sekelilingnya juga dibina dengan marmar putih.Di ruang sedikit hadapan, kelihatan berbaris panjang jemaah bergerak perlahan untuk menziarahi makam Rasul. Di satu sudut paling hadapan di Raudhah pula, kelihatan satu mihrab kecil berdekatan mimbar yang aku jangka itulah tempat asal letaknya mihrab pada zaman Nabi SAW. Di sebelah kanannya pula adalah mimbar yang menyempadani kawasan Raudhah.
Alhamdulillah.. Akhirnya Allah mempermudahkan laluanku... Pagi itu jugalah aku sempat bersolat dua rakaat di celah-celah manusia di dalam 'salah satu taman diantara taman-taman syurga'. Kata Nabi S.A.W: "Di antara rumahku dengan mimbarku terletak sebuah raudhah (taman) dari taman-taman syurga. Mimbarku itu ada di atas telagaku." (Sahih - Drirwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abu Hurairah).
Antara doaku disana.. Moga Allah meredhai amalanku dan seluruh kehidupanku, ibu bapaku, saudara-saudaraku, guru-guruku, sahabat handaiku dan seluruh umat Islam sehingga akhirnya mengizinkan kami semua menjejak kaki ke syurga yang abadi.. yang tak terbayang dimata dan tak tergambar diminda.Sesungguhnya ketenangan abadi hanyalah disyurga Allah jalla wa'ala... Itulah kesempurnaan... Kemuncak segala kenikmatan...!
Selesai solat dan berdoa, tibalah masanya menuju Makam Rasulullah S.A.W. Jiwa sekali lagi rasa diragut dek terbayang kesucian akhlak dan kekentalan jiwa Rasulullah walaupun derita yang ditempuh sepanjang memikul amanah kerasulan tiada kepalang. Melalui perkarangan hadapan makan Rasul, selawat dan salam diutuskan buat baginda. Insan maksum kecintaan Tuhan... Disebelah makam baginda ialah dua lagi pemimpin agung dari kalangan salaful ummah, Abu Bakr As-Siddiq dan Umar Al-Khattab Radiallahuanhuma. Merekalah perwira yang menyambar dan menjulang panji Islam setelah Rasulullah wafat bagi memelihara agama ini dari dicemari dan diperkotak-katikkan. Selayaknya salam dan doa buat meraka juga dari seluruh umat Islam.
Ingatan Allah dalam Al-Furqan:
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul yang mati ataupun terbunuh. Jika demikian, kalau ia pula mati ataupun terbunuh, patutkah kamu berbalik berpaling tadah menjadi kafir? Dan ingatlah, sesiapa yang berbalik menjadi kafir maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu.” (Ali Imran: 144)
Sirah menceritakan bagaimana Umar yang keras perwatakannya gagal memaksa hati menerima berita kewafatan Rasul lalu mengugut untuk memancung kepala sesiapa sahaja yang berani mengatakan Rasulullah telah wafat. Namun apabila Abu Bakar membaca ayat Allah dari surah Ali Imran:144, maka Umar tunduk akur. Begitulah kemurnian aqidah para sahabah ridhwanullah 'alaihim ajamain. Apabila dibacakan kepada mereka Al-Quran, maka tiadalah apa lagi yang mampu mengatasi. Semuanya akan diterima... 'Sami'na wa atho'na'...
Kata-kata didalam khutbah Saidina Abu Bakar R.A ini juga menggambarkan betapa Aqidah adalah yang paling utama untuk dipelihara setelah Rasul wafat:
" Barangsiapa yang menyembah Muhammad, hari ini Muhammad sudahpun wafat. Tetapi, barangsiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah hidup dan tidak akan mati." (Sahih - Riwayat Al-Bukhari).
BERSAMBUNG...
Kata Umar Al Khattab R.A " Sesungguhnya engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan tidak pula mampu memberi mudharat. Andai aku tidak melihat Rasulullah menciummu, pasti aku tidak akan berbuat demikian" - .
(Sahih - Muttafaqun 'Alaih)
3 comments:
yea..yea..tun muiz nk citer psl gi makkah..hehe..cepat2 ^_^
Ni part one nyer.. satu hari pun tak habis.. huhu.. ;) Part2 seterusnya kena ringkas2 skit lah..
wah...nice explanation...beruntungnye ko dpt masuk raudhah...semoga semua insan dapat merasai kenikmatan berada di tanah suci...
Post a Comment