Wednesday, January 09, 2008

Fourteen Twenty Nine.. Salam Hijratur Rasul S.A.W

Samada kita sedar atau tidak, realitinya, 1429 tahun lalu telah berlaku satu penghijrahan agung yang melibatkan perjalanan penuh pengorbanan oleh Rasul tercinta bersama para sahabah ridhwanullah alaihim ajma'in. Ia merupakan lembaran baru dalam catatan sejarah perkembangan dakwah Rasulullah buat masyarakat Arab. Walaupun Makkah merupakan bumi kelahiran baginda yang sangat dicintai, namun kerana 'ketidaksuburannya' kepada dakwah Islamiyyah, maka tiadalah kegusaran pada diri Rasulullah untuk bergerak ke kota Madinah setelah 13 tahun baginda mencuba di sana. Di Madinah, suasananya lebih lunak. Orang2 Ansar menyambut Nabi SAW dengan penuh rasa gembira bersyukur. Begitulah secara ringkasnya apa yang terjadi 14 Abad yang lalu walaupun Muharram bukanlah disepakati sebagai bulan peristiwa Hijrah ini berlaku... (Lihat Al-Rahiq Al Makhtum oleh Syeikh Al Mubarakfuri)

Peristiwa ini semestinya bukan berlaku sekadar suka-suka saja.. Namun pastinya ada mutiara yang ingin ditunjukkan oleh baginda buat umatnya. Peristiwa ini jugalah yang menjadi asbabul wurud hadith pertama yang dicatatkan oleh Imam Al Bukhari Rahimahullah didalam kitab Sahih beliau yang juga turut dicatatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah:

ٳنما الٲعمال بالنيات و ٳنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله و رسوله فهجرته
ٳلى الله و رسوله و من كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه

Daripada Umar R.A. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat. Dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu dikahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya. (Sahih - Muttafaqun 'Alaih)
Begitulah peranan besar niat.. Namun ia bukan lesen untuk kita melakukan apa saja hanya kerana niat yang baik. Agama punyai syariat yg sudah cukup lengkap. Tidak perlu tokok tambah yg mampu menyebabkan hilangnya seri agama syumul ini. Maka hadith ini perlu difahami dengan kerangka yang lebih terkawal supaya kita tidak 'memborong' habis semua amalan dengan menggunakan hadith sahih diatas sebagai dalil. Sesungguhnya agama datang untuk mengawal tingkah laku manusia. Dan kaedah feqah pula seperti mana yang telah digariskan dan dipersetujui oleh bukan sedikit para fuqaha telah pun jelas memberi petunjuk umum dalam setiap pekara yang dilalu dalam hidup ini.

Salah satu yang sangat berguna dan amat penting untuk kita maklumi dalam menilai sesuatu amalan adalah konsep yang berikut

"Asal sesuatu perkara itu(perkara berkaitan muamalat dan kehidupan dunia) adalah HARUS, sehinggalah ada dalil yang jelas mengharamkannya, bagaimanapun asal sesuatu ibadah itu adalah HARAM, sehinggalah ada nas dan dalil mensyariatkan melakukannya"
Mari kita petik beberapa kata ulama fiqh dalam masalah ini. Antara yang masyhur adalah perkataan al-Imam as-Subki seperti yang dinukilkan oleh Imam Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani as-Syafi’ie:

اَلْأَصْلَ فِي اَلْعِبَادَةِ اَلتَّوَقُّف
“Asal hukum di dalam ibadat adalah tawaqquf (berhenti hingga ada dalil)”. (Lihat Fath al-Bari: 4/174) - Fathul Bari adalah syarah kepada Sahih Bukhari karangan Imam dalam bidang hadis yang terkenal, Ibn Hajar.

Kata tokoh besar umat ini, Syeikhul Islam Ibnu Taimyyah Rahimahullah:
“Maka dengan membanci usul syariah, kita mengetahui bahawa ibadat-ibadat yang diwajibkan oleh Allah atau yang disukai oleh Allah tidak thabit (kewujudannya) melainkan dengan dalil syarak. Adapun adat, adalah kebiasaan manusia tentang dunia mereka daripada apa yang diperlukan oleh mereka, dan asal hukum di dalam hal ini adalah tidak dilarang, oleh itu tidak dilarang melainkan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T.
Demikian itu kerana perintah dan larangan adalah syariat Allah dan ibadat tidak boleh tidak mestilah sesuatu yang diperintahkan, maka apa-apa yang tidak thabit bahawa ia diperintahkan bagaimana hendak dihukum bahawa ia adalah ibadah? Begitu juga sesuatu yang tidak thabit di dalam ibadat bahawa ia dilarang, bagaimana boleh dihukum bahawa ia dilarang? Oleh demikian, Ahmad (Al Imam Ahmad bin Hanbal) dan selain beliau dari kalangan Fuqaha’ ahli hadith berkata: Sesungguhnya asal hukum di dalam ibadat adalah tawqif (berdasarkan dalil), maka tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah Taala”.
(Lihat Majmu‘ Fatawi Ibn Taymiyyah: 6/452).

Maka, dalam seruan ringkas ini, ingin daku mengajak supaya marilah kita sama-sama kembali memerhati dan menilai secara inci demi inci akan setiap amalan terutama perihal ibadah kita. Inilah antara gerak Tajdid terpenting dalam zaman kemunduran umat kini agar dapat kita sama-sama berada didalam arus untuk mengembalikan agama kepada kerangka asalnya seperti yang diamalkan pada zaman Rasul dan dengan cara yang difahami oleh para salaful ummah. Soalan yg perlu bermain dibenak minda kita bila melalui sesuatu amal ibadah ialah..." Apakah amalan ini berasal dari Rasul? Jika ya apakah dalilnya?" Sudah tentu jawapannya tidak akan datang sendiri pada kita kerana kebanyakan kita bukanlah ahli dalam agama. Maka disinilah terbuka luasnya ruang untuk mencari... Carilah.. Pasti di akhirnya kita akan mendapat kepuasan bila mengetahui.. Inilah amalan yang pernah dilaksanakan Rasullah S.AW...
Dari 'Abdullah bin Mas'ud radhiyallahu 'anhu bahwasanya beliau apabila melihat para pemuda giat mencari ilmu, beliau berkata: "Selamat datang wahai sumber-sumber hikmah dan para penerang kegelapan. Walaupun kalian telah usang pakaiannya akan tetapi hati-hati kalian tetap baru. Kalian tinggal di rumah-rumah (untuk mempelajari ilmu), kalian adalah kebanggaan setiap kabilah." (Jaami' Bayaanil 'Ilmi wa Fadhlih, karya Al-Imam Ibnu 'Abdil Barr, 1/52)
"Ya Allah.. Jadikanlah amalan kami ini amalan yang baik seperti mana yang pernah dilakukan oleh kekasihMu dan terimalah ia dari kami yang dhaif ini dan masukkanlah kami ke dalam Jannah Mu..."
Kalau anda ada taste.. anda mesti cari yg asli..!! Renung2kan...
JOM TAJDID..!
-ibnularaby-

Rujukan:

http://soaljawab.wordpress.com/2007/12/21/asal-pada-ibadah-ia-haram/

http://drmaza.com/?p=179



1 comment:

Anonymous said...

Great work.