Monday, October 01, 2007
Kejamnyerrrr !!!
Walaubagaimanapun, ia mesti diteruskan jua…! Ya Allah, berilah kekuatan buat hambamu ini..!
Tiba2 tinta ini terhenti…!! Terkulai minda ini di pagi 19 Ramadhan..
Monday, September 24, 2007
Menangani Perbezaan Mazhab... Jika ditanya pandanganku..!
Maybe korang kat Silterra tahu betapa sibuk dan menyibuknya aku kat office facilities nih.. Hehe.. Itulah penghalang utamanya..!
And kat umah plak ada tanggungjawab sosial yg perlu dipenuhi.Anyway alhamdulillah.. semuanya nampak berjaan lancar.. seperti yg di rancang.. Cuma ada satu saja yg tersasar.. Tempoh akhir aku kat sini.. Hehe.. Jangan terkezut..
Namun, bukan itu yang nk dicoretkan dalam catatan ringkas ini, itu kita bole cerita kemudian di waktu lapang yang akan datang. Kali ni jom kita tengok jap salah faham kita terhadap konsep mazhab dalam Islam. Aku rasa aku bukanlah orang yang paling layak membincangkan isu ini, tapi sekadar perkongsian, diharap yang salah diperbetulkan dan betul boleh dijadikan iktibar bersama.. (Dato' Nazri and Dr Illi, tolong betulkan apa2 patut ek..!)
Samada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah banyak menghukum mazhab kerana pengikut mazhab termasuklah aku jugak satu ketika dulu. Keadaan ini samalah seperti org bukan muslim yang secara total menghukum Islam kerana perilaku org Islam sendiri. Kita marah.. namun itulah hakikatnya.. Hope sume bole faham hal nih. Inilah yang menjadi satu cabaran yang sangat besar yang dihadapi oleh para dai'e dan para ilmuan Islam untuk mengembalikan kepercayaan org bukan Islam kepada Islam dan tiada cara lain untuk kembali melainkan Muslim mesti berusaha mencari Islam yang sebenar berlandaskan wahyu tuhan dengan kefahaman para salafussoleh. Mungkin corak pendidikan agama kita yang sudah jauh lari dari menekankan aspek dalil dan nas dalam beragama menyebabkan org Islam hari ni banyak menggunakan akal saja dalam menentukan baik buruk dalam agama. Apabila kita menyatakan sesuatu perbuatan mereka tiada dalil daripada Quran dan Sunnah atau para sahabah, maka jawapan streotype yang sering diterima ialah "bukankah baik perkara ini..." "Bukankah orang2 tua kita telah mengamalkan hal ini berkurun lamanya.." dan sebagainya.
So pada pandangan saya yang fakir nih, apabila berlaku sesuatu perbezaan antara amalan kita dengan amalan mazhab yang lain, maka perkara utama yang perlu diletakkan didalam diri adalah bersangka baik dengan muslim itu. Pada dasarnya, aku yakin kita boleh menerima semua mazhab andainya kita kembali kepada tradisi keilmuan yang diajarkan oleh Islam iaitu menilai sesuatu perbuatan dengan dalil dan tidak menilai peribadi pelakunya.
Dan pada peringkat kita yang kurang mempunyai sumber2 rujukan mazhab yang 4 itu, maka bertanya adalah lebih utama sebelum menghukum. Namun begitu secara umumnya keempat2 mazhab dalam Islam ini adalah diterima kerana khilaf dikalangan mereka adalah khilaf yang muktabar kerana masing2 menghidangkan dalil yang sahih untuk menyokong pendapat mereka dan maka dengan itu mereka diakui sebagai imam ahlussunnnah wal jamaah. Tinggal lagi apakah pengikut mazhab itu memahami dan mengikuti mazhabnya secara menyeluruh 100% atau sekadar mengikut apa yang diwarisi dari orang2 tua dahulu sahaja. Inilah yang penting untuk ditangani pada zaman ini.
Alhamdulillah, kesedaran untuk kembali membicarakan agama berdasarkan nas dan dalil yang sahih semakin berkembang. Ramai tokoh2 umat kontemporari sudah mula memberi fukos dalam hal ini. Maka umat Islam terutama golongan muda seperti kita harus menyokong gerakan tajdid ini. Gerakan pembaharuan ini bukanlah membawa maksud memperbaharui agama, tetapi ia lebih kepada mengembalikan agama dengan rupa dan wajah asal sesuai dengan nas dan dalil serta amalan para sahabah ridwanullah alaihi ajmain. Ia juga menekankan manhaj/ cara fikir agama yang lebih jelas kerana kita semua bersetuju bahawa Islam adalah agama wahyu. Apabila kita membicarakan soal agama wahyu ini, maka asasnya adalah Al-Quran dan Sunnah; bukan pemikiran manusia. Andainya pemikiran manusia dibenarkan berleluasa sehinga menjajah agama wahyu, maka tungulah nasib agama Islam yang mulia ini pasti akhirnya akan menjadi seperti yahudi dan nasrani sahaja.
Moga ada manfaatnya..
Menjawab beberapa persoalan Dr Illi berkenaan perbuatan ketika solat, Solat Eid dan Zakat fitrah, wallhuta'ala a'lam. Secara ringkasnya, mendukung anak atau bayi mmg pernah dilakukan oleh Nabi SAW. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah “ Sesungguhnya Nabi S.A.W pernah bersembahyang dalam keadaan beliau mendukung Umamah Bt. Zainab. Apabila beliau ruku', diletakkannya dan apabila baginda bangun didukungnya kembali. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Maka sebenarnya perbuatan itu tidaklah salah berdasarkan hadis sahih diatas. Kita mungkin jarang melihatnya disini namun itulah keluasan dan kemudahan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sendiri kepada kita.
Regarding waktu solat Eid, dalam hadis yang menceritakan akan masa solat eid ini, adalah diriwayatkan bahawa ia boleh dilakukan bermula selepas solat subuh sehingga sebelum gelincir matahari. Dan pada kebiasaannya bagi hari raya Aidil Fitri, Nabi akan mula solat apabila matahari sudah naik pada kadar ketinggian 2 galah dan pada Aidil Adha pula Nabi melakukannya lebih awal sedikit sekadar 1 galah. Walaubagaimanapun selagi matahari belum gelincir maka solat sunat hari raya sah diadakan.
Samada boleh dilakukan beberapa kali atau tidak, harus dilihat akan tujuan ia dilakukan. Islam adalah agama yang mudah. Ia tidak akan menyukarkan manusia. Pada pandangan aku ada 2 sebab kemungkinan ia dijadualkan sebegitu rupa, pertama ialah untuk membolehkan kebanyakan dari orang tempatan keluar bersolat pada waktu yang mereka paling selesa (Tiada urusan kerja) dan kedua ialah berkemungkinan kapasiti tempat tersebut yang kecil dan perlu dilakukan beberapa kali.
Berkaitan zakat fitrah pula, ia adalah urusan individu. Andainya seseorang itu memilih melakukan solat pada sessi kedua contohnya 10am, maka dia boleh menunaikan zakatnya sebelum pukul 10 itu wlaupun sebahagian orang sudahpun menyempurnakan solat sebelum pada pukul 8.30 am. Kerana pada zahirnya, kewajipan seseorang membayar zakat fitrah adalah sebelum dia menyempurnakan solat sunat eid; bukannya sebelum komuniti tempat tersebut menunaikan solat eid.
Wallahuta'ala Al'lam
Tuesday, September 11, 2007
Bagaimana Memaksimumkan Bonus Ramadhan Anda..?
Cuba kita renungkan kembali, kerap kali kita akan merasa gembira apabila tiba hujung tahun bagi mendapat bonus dari majikan kita (kecuali bagi kakitangan awam pada tahun ini).
Mengapa kita gembira bila mendapat bonus, gaji dan insentif?
Sudah tentu jawabnya kerana ; "dapat duit " .
Mengapa kita seronok mendapat duit ?
Jawabnya ; kerana boleh membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain.
Lalu berapa lamakah keseronokan barang dan perkara yang dibeli tadi ?
Sudah tentu jawabnya, bergantung kepada apa yang dibeli, ada yang rosak cepat dan ada yang lambat.
Jika demikian, jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan itu akan berterusan?
Jawabnya, paling panjang adalah sekadar kita masih hidup sahaja.
Baiklah, selepas kematian adakah masih ada seronok?
Jika tidak, maka apakah yang boleh menyeronokkan kita selepas mati ?
Jawabnya ; tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang dikumpul. Jika banyak dan berkualiti, semua matawang pahala itu akan memberi seribu satu macam keseornokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah s.w.t dan ia pastinya amat panjang.
Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadhan sebagaimana seronoknya kita menerima bonus duit? Sedangkan ramadhan adalah bulan bonus untuk meraih pahala sebanyaknya, bulan dipermudahkan peluang untuk ke syurga Allah s.w.t.
Tapi bezanya, ramai yang kelihatan lebih seronok kerana di permudahkan untuk meraih rumah kediaman di dunia dan dapat 'save' lebih banyak duit. Ini kerana belanjawan baru-baru ini akan mewujudkan lebih banyak rumah kos rendah, kos 'stamp duty' bagi rumah RM 250,000 ke bawah dikurangkan 50 %, boleh menggunakan wang akaun kedua dari KWSP untuk pembayaran rumah, yuran sekolah dan peperiksaan anak ditiadakan, buku teks percuma dan lain-lain. Semua ini disambut dengan gembira kerana memberi ruang untuk mengumpul duit dan digunakan untuk perkara lain.
Keseronokan jiwa yang hadir kerana dipermudahkan cara untuk memiliki rumah dalam belanjawan baru-baru ini lebih didapat dilihat dan dihayati oleh ramai daripada keseronokan untuk memasuki bulan yang dipermudahkan jalan pemilikan rumah syurga di akhirat yang kekal abadi.
Mengapa ini boleh berlaku kepada hati kita?. Apakah silapnya? Mengapa dan mengapa?. Pernahkah kita memikirkan mengapa gembira berpeluang dapat harta akhirat sebagaimana kita gembira mendapat harta dunia.
"Ya Allah, bantulah kami yang telah menzalimi diri kami, tiada tuhan melainkanMu dan engkaulah yang maha pengampun"
Tawaran Luar Biasa
Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada ‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan ‘bonus' dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.
Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).
Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda. Dosa juga boleh berganda di bulan mulia ini. Beliau ada mengutarakan beberapa dalil, bagaimanapun sukar untuk saya muatkan di ruangan terhad ini. Sebagai jalan terbaik, jauhilah dosa sejauh-jauhnya di bulan ini kerana masih terdapat kemungkinan dosa dipergandakan.
Syaitan Kena Gari ?
Umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan di bulan ini. Nabi SAW telah memberikan menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) ; malah terdapat ulama yang mengatakan bahawa bulan ia dinamakan ‘Ramadhan' (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah bulan menghanguskan dosa. (Mughni, Ibn Quddamah, 4/116).
Ada pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan di belenggu dalam hadith di atas. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )
Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan utama di belenggu. (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13).
Maksimakan Perolehan Untung Ramdhan
Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-
1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.
2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :
" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).
Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).
Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).
Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).
Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.
3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.
4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-
ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع
Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,
Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم
Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)
5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :
إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد
Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)
6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadith Nabi SAW :
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).
Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.
Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).
7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن حسا حسوات من ماء
Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)
(Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).
Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"
Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.
9) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :
من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).
Disebut dalam sebuah hadis lain
ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة
Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )
10) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.
Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.
11) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.
12) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).
Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)
Sekian
OLEH:
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
Monday, August 13, 2007
Wahai Dunia.. Islam Bukan Agama Pengganas..!!
Hasil didikan media antarabangsa, mereka seakan melihat ada kaitan rapat antara Islam dan keganasan. Mereka bertanya mengapakah Islam memperuntukkan bab yang dinamakan jihad yang akhirnya menimbulkan suasana keganasan di dunia ini?
Saya bertanya kepada mereka; sejak bila anda rasa isu keganasan ini dikaitkan dengan Islam? Mereka menjawab; sejak beberapa tahun yang akhir ini, khusus setelah peristiwa 11 September. Saya bertanya mereka; Nabi Muhammad s.a.w. dibangkitkan sejak 1,400 yang lepas dan ajaran baginda tersebar hampir ke seluruh alam serta pernah membina tamadun yang amat agung. Mengapakah hari ini baru anda mendengar tentang keganasan dan Islam?
Kemudian, apa takrif keganasan pada sisi anda sehingga media menyatakan rakyat Palestin pengganas, sedangkan Israel yang membunuh wanita dan kanak-kanak mereka saban hari tidak dilabel pengganas?
Atas kaedah apakah anda menyatakan rakyat Iraq yang membunuh tentera Amerika itu pengganas, sedangkan Amerika yang mengebom dan menceroboh negara mereka, merogol dan membunuh kaum keluarga mereka tidak disenaraikan dalam kandang pengganas?
Atas pentakrifan apakah tindakan menawan tebusan yang dilakukan oleh beberapa gerombolan orang Islam dianggap jenayah tidak berperikemanusiaan, sementara tindakan Amerika menahan begitu ramai orang Islam tanpa bukti tidak diuar-uarkan sebagai keganasan kejam?
Jika dihitung jumlah orang Barat yang terkorban disebabkan keganasan puak yang menamakan diri sebagai muslim dibandingkan jumlah umat Islam yang dibunuh oleh senjata-senjata canggih Amerika dan sekutunya; manakah yang lebih ramai?
Atas dasar apakah anda memberi imej Islam pengganas kerana tindakan beberapa kumpulan yang dikaitkan dengan Islam, tetapi anda tidak melihat imej agama Kristian atau Yahudi sebagai pengganas sedangkan tindakan mereka dilakukan oleh penganut agama-agama tersebut yang bersifat kerajaan dan pemerintahan yang diiktiraf oleh mereka?
Akhirnya saya katakan; sebenarnya, tiada siapa pun yang bersetuju dengan keganasan, cumanya media Barat dalam banyak hal bersikap berat sebelah menakrifkan keganasan dan siapakah pengganas?
Sejak dahulu Islam menyebarkan keadilan dan kesaksamaan di kalangan manusia. Lihat sahaja, begitu ramai golongan minoriti bukan Islam dapat hidup di tengah- tengah masyarakat Islam di serata dunia. Lihat di negara kita, Mesir, Jordan, Indonesia dan negara-negara lain. Walaupun barangkali ada beberapa kekurangan tertentu, namun mereka tidak diseksa atau ditumpahkan darah secara kejam.
Namun keadaan sebaliknya tidak berlaku terhadap minoriti umat Islam di kebanyakan negara. Lihat nasib umat Islam di Bosnia, Burma, Rusia dan beberapa negara lain. Bahkan dalam masyarakat Melayu, orang bukan Islam boleh berniaga dan maju di tengah-tengah kampung Melayu Muslim, namun sukar ditemui keadaan sebaliknya.
Mesej saya adalah keganasan atau menumpahkan darah manusia berlainan agama bukan tabiat orang Islam, sudah pasti ia bukan ajaran Islam. Bagaimana mungkin ajaran Islam hendak dikaitkan dengan keganasan, sedangkan jika dilihat peraturan peperangan dalam Islam itu begitu ketat.
Sebelum Perjanjian Geneva wujud lagi, Islam 1,400 tahun yang lalu telah pun meletakkan pelbagai disiplin dan peraturan dalam peperangan. Jika Perjanjian Geneva tidak wujud pun, umat Islam tetap wajib mematuhi peraturan-peraturan perang. Bukan sekadar menjaga nama baik kerajaan, bahkan itu adalah arahan agama.
Peperangan bukan untuk membanyakkan penumpahan darah, sebaliknya untuk memelihara kebenaran dan keadilan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya) dan perangilah di jalan allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.
Dalam hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim, baginda Nabi menyebut: Wahai manusia! Jangan kamu bercita-cita bertembung dengan musuh, mintalah daripada Allah keselamatan. Namun jika kamu bertembung dengan mereka juga, kamu hendaklah sabar (tetap jangan berganjak).
Untuk itu Islam menetapkan, pembunuhan hanya di medan perang. Hanya perangi mereka yang terlibat dengan peperangan. Musuh yang tidak menyertai peperangan, tidak diperangi atau dibunuh.
Supaya penekanan disiplin itu lebih dipatuhi, para sarjana Islam menyebut secara lebih terperinci sebagai fokus agar golongan-golongan berikut tidak ditumpah darah mereka:
Pertama: Wanita yang tidak berperang dan kanak-kanak. Dalam hadis daripada Ibn Umar, katanya: “Sesungguhnya seorang wanita didapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi) maka baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kedua: Orang tua dan orang uzur. Mereka tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri tindakan dan perancangan mereka dalam peperangan. Ini dapat dikiaskan dengan wanita yang tidak membantu peperangan.
Ketiga: Mereka yang beribadat di rumah- rumah ibadat. Dalilnya ialah riwayat Ibn ‘Abbas, katanya: Apabila Rasulullah mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda: Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kufur dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: “Sanad hadis ini hasan.”)
Kata al-Syaukani (wafat 1250H): “Pada hadis ini dalil bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan bukan muslim yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum muslimin.” (:Al-Syaukani, Nail al-Autar, jld 8, m.s. 74, Beirut: Dar al-Jil)
Keempat: Para pekerja dan petani. Jumhur ulama menyatakan mereka tidak dibunuh. Dalilnya hadis Hanzalah al-Katib, katanya: Kami berperang bersama dengan Rasulullah, lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda (untuk melihatnya). Baginda bersabda: Dia ini (wanita tersebut) tidak turut berperang. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki sambil bersabda: Pergilah kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam sebahagian riwayat: wanita) dan ‘asif (pengambil upah). (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Al-Albani menilainya sebagai sahih (lihat: Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jld 2, m.s. 314, Riyadh: Maktabah al-Ma‘arf li al-Nasyr).
Pengambil upah ini ialah yang hanya bertugas menyediakan makanan, atau membersihkan kem tentera dan seumpamanya. Selagi mereka tidak terlibat di medan perang, maka mereka tidak dibunuh.
Kelima: Para perwakilan dan diplomat. Kata ‘Abdullah bin Mas‘ud: “Telah menjadi suatu sunah bahawa para perwakilan tidak dibunuh”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al- Bazzar, Abu Ya‘la. Sanad-sanad mereka adalah hasan ( al-Hathaimiy, Majma’ al-Zawaid, jld 5, m.s. 314, Beirut: Dar al-Rayyan)
Setelah anda melihat ketatnya peraturan seperti ini, adakah mungkin anda menuduh Islam menggalakkan pengeboman di tempat awam? Jika tindakan itu dibuat di atas nama Islam, itu adalah pengkhianatan terhadap Islam. Setelah Islam mengharamkan tindakan ini, apakah wajar media Barat mengaitkannya dengan Islam, sedangkan pada masa sama mereka tidak mengaitkan tindakan zalim Amerika dengan Kristian, India dengan Hindu atau Israel dengan Yahudi? Walaupun teks pengharaman seperti Islam tidak jelas dalam agama lain.
Setelah faham hakikat Islam yang menentang keganasan melulu ini, Barat patut bertanya; jika benar ada orang Islam yang melakukannya, bererti mereka sudah tidak mampu mengawal diri dengan disiplin Islam, mengapa hal ini berlaku? Saya katakan sekali lagi, Islam tidak bertanggungjawab terhadap pembunuhan awam.
Apa yang berlaku ialah tindakan luar kawalan. Ini berlaku apabila emosi menguasai akal dan kefahaman salah menguasai tindakan. Tanpa boleh dinafikan, emosi yang berlebihan dan meluap-luap tanpa kawalan ini datang disebabkan sikap buruk dan ganas yang ditunjukkan oleh sesetengah kuasa Barat terhadap dunia Islam terutamanya di Iraq dan Palestin sekarang.
Kerana, seseorang yang biasanya berkelakuan baik, tiba-tiba menjadi ganas, kita patut bertanya sebabnya. Islam tidak seperti filem-filem Barat yang menghalalkan keganasan hero atas nama membalas dendam, namun jika dunia inginkan penyelesaian penyakit, kita mesti mengubati puncanya.
Kemudian mereka bertanya saya: kenapa perlu ada bab jihad dalam Islam? Ini boleh menyebabkan berlaku ketegangan antara agama. Saya katakan; jika anda melihat Islam sebagai agama yang hanya menguruskan masjid, maka tentulah persoalan jihad amat ganjil untuk dibincangkan. Namun Islam adalah agama yang lengkap menyentuh semua sistem kehidupan.
Mana mungkin sebagai agama yang lengkap dalam berbagai-bagai persoalan; ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan sebagainya, tiba-tiba tidak membincangkan soal peperangan. Jika itu berlaku, menunjukkan tidak sempurnanya sistem Islam.
Dalam erti kata, Islam membiarkan keindahan sistem yang dibinanya dicerobohi atau dihancurkan.
Kita wajar tahu bahawa, peperangan wujud sepanjang sejarah manusia. Ini kerana apabila wujudnya kelompok yang suka bersikap ganas dan menindas pihak yang lain, atau gemar mengguna kekerasan sebagai penyelesaian maka peperangan pasti tercetus. Lantas pihak yang tertindas pun terheret ke kancah peperangan yang dipaksa.
Demi untuk mempertahankan diri mereka terpaksa mengharunginya jua, seperti berlaku di Iraq dan Palestin. Justeru, kita melihat setiap negara akan mewujudkan angkatan tenteranya. Itu adalah keperluan asasi. Kalaupun tidak untuk berperang dengan pihak yang lain, ia demi mempertahankan sempadan dan kedaulatannya.
Ini kerana sikap lunak dan berbaik dengan semua pihak tidak mampu menjamin sesebuah negara tidak diserang. Perasaan tamak dan rakus yang wujud pada negara lain akan mengancam sesebuah kerajaan sekalipun benteng diplomasi dibina. Untuk itu, maka setiap negara membuat latihan dan sistem ketenteraannya.
Jelas, bahawa membicarakan persoalan perang dan senjata, tidaklah semestinya menggambarkan sikap ganas atau keganasan. Sebaliknya ia tuntutan bermasyarakat. Bahkan peperangan membela kebenaran disetujui oleh fitrah manusia.
Sebab itu filem-filem peperangan yang menggambarkan kemenangan di pihak yang dianggap benar, disukai oleh masyarakat dunia. Maka Islam adalah agama yang syumul. Datang untuk menyelesaikan persoalan kehidupan manusia di semua peringkat. Adalah mustahil untuk Islam tidak membicarakan tajuk peperangan atau dinamakan – dari segi istilahnya – jihad qitali atau jihad peperangan.
Mengapa pula kerana adanya bab jihad dalam Islam maka agama ini dihukum pengganas, tetapi sistem ketenteraan yang diwujudkan oleh setiap negara terutamanya Barat, tidak dianggap sebagai pengganas? Atau mengapa tidak dihukum pengeluar filem Hollywood sebagai pengganas?
Saya ingin ingatkan, oleh kerana bab jihad ini secara jelas ada dalam al-Quran dan al-sunah, orang Islam tidak boleh menafikannya. Menafikan peperangan jihad bererti menafikan nas-nas Islam. Namun mereka mesti menjelaskan kepada dunia secara betul maksud jihad dalam Islam. Adakah mungkin Islam yang membincangkan persoalan kenegaraan tiba-tiba tidak menyebut bab ketenteraan?
Cuma yang berlaku hari ini, adanya segelintir orang Islam menyalahgunakan bab jihad peperangan ini atau melanggar disiplin yang ditetapkan oleh agama. Islam yang tulen membantah tindakan mereka sama sekali.
Namun, bagi negara-negara orang Islam yang diserang oleh kuasa imperialis, apakah dunia ingin mengatakan kepada umat Islam, awak semua hendaklah diam dan jangan mempertahankan diri kerana itu adalah jihad, dan jihad adalah keganasan? Inikah keadilan sejagat?
Bak kata orang Arab: “Dia pukul aku, dia pula yang menangis. Dia maki aku, dia pula yang mengadu.”
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
Sumber: Mingguan Malaysia - 12 August 2007.
Friday, July 20, 2007
Hadis Palsu Rejab Sya'aban..
Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.
Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.
Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.
Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.
Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).
“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).
Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.
Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.
Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.
Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).
Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.
Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.”
Mendengar
Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).
Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.
Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)
Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”
Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).
Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).
Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.
Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.
Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).
Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.
Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.
Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.
Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.
Ibadat
Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.
Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.
Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.
Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.
Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).
Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.
Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.
Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).
Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.
* MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Negeri Perlis.