Tuesday, March 27, 2007

Kenapa Kita Gagal Membina Semula Tamaddun ??...

DALAM sebuah cerita rakyat, kononnya seorang buta diberikan penglihatan dalam beberapa minit. Ketika celik, dia hanya berpeluang melihat seekor keldai yang ada di hadapannya. Kemudian penglihatannya dibutakan kembali. Selepas itu apabila disifatkan sesuatu kepadanya, dia akan bertanya: “Adakah ia seperti keldai?” Atau dia akan berkata: “Bagaimanakah ia jika dibandingkan dengan keldai?”

Cerita itu mungkin dongengan. Namun ia menggambarkan keadaan insan yang tidak pernah melihat perkara lain, melainkan yang tertentu sahaja. Maka segala gambaran dan andaiannya tertumpu atau terkait dengan apa yang pernah dilihat.
Sekali lagi saya ingin memperkatakan soal membina ketamadunan. Banyak pihak bercakap atau berkempen agar umat Islam menjadi umat yang maju dan kembali membina tamadun kegemilangan.

Malangnya kekadang pihak yang dikempen atau mungkin yang berkempen tidak memahami teras dan asas ketamadunan dalam Islam. Maka apabila bercakap soal kemajuan terus sahaja tergambar oleh mereka kemajuan atau tamadun yang sedang mereka saksi di zaman ini iaitu tamadun Barat. Hingga tidak tergambar oleh mereka selain dari kehidupan Barat. Apatah lagi jika dibandingkan kemunduran bangsa-bangsa yang menganut Islam hari ini.

Justeru, bagi mereka seakan jika kita ingin maju dan bertamadun, kita mesti memiliki apa yang dimiliki Barat, berbudaya ala Barat, bergaya ala Barat, berbahasa dengan bahasa Barat, berhiburan dengan hiburan Barat dan seterusnya. Tamadun dan kemajuan umat Islam lampau hanyalah catatan sejarah yang boleh dibaca. Sama seperti cerita orang buta dan keldai. Dia hanya dapat membayangkan apa yang pernah dilihat.

Maka lebih tergambar di fikirannya keldai dibandingkan binatang lain yang hanya diceritakan kepadanya, sedangkan dia tidak pernah melihatnya.
Pendek kata, untuk menjadi maju pada hari ini, ramai umat Islam menyangka mereka kena ceduk apa yang ada di Barat. Untuk menceduk teknologi Barat, prosesnya susah dan panjang. Juga bukan mudah untuk Barat mengajar kesemua ilmu tersebut, kerana itu tidak membuahkan keuntungan jangka panjang untuk mereka. Perkara yang paling pantas diceduk oleh masyarakat Islam ialah gaya hidup Barat.

Maka kita mengimport fesyen Barat dalam berpakaian dan berbudaya. Dalam kita berkempen ke arah kemajuan umat, lihat sahaja perkembangan hiburan. Segala format hiburan Barat dibawa dan didagangkan di sini. Sementara masyarakat Muslim pula yang melariskannya.
Hiburan-hiburan dalam media kita, bukan sahaja tidak kreatif terpaksa menceduk gaya Barat, bahkan nama program pun tidak mampu diubah. Maka anak-anak kita yang tercicir dalam banyak urusan kehidupan, berasa maju kerana bergaya dengan pakaian dan hiburan secara Barat.

Itulah hakikat sebahagian artis kita. Maka yang berjaya diceduk dan dibawa dengan ‘ranggi’nya ke sini hanyalah nilai negatif. Sementara yang positif, kita masih meminta sedekah daripada Barat. Sama seperti orang Arab yang bangga dengan kereta mewah Barat tetapi negara dan umatnya belum mampu menghasilkan sekalipun basikal. Bahkan setiap detik hasil minyak mereka dirompak oleh Barat.

Permasalahan kita – mungkin termasuk pihak yang diamanahkan untuk menguruskan kemajuan umat Islam – gagal memahami apakah asas atau sukatan kemajuan dalam pandangan Islam yang kerananya umat Islam dahulu menjadi umat contoh dan pemimpin muka bumi ini.

Dalam banyak program televisyen yang ditaja oleh pihak tertentu, apabila cuba menggambarkan kemajuan maka disiarkan gambar orang memakai ‘lebai’ atau songkok atau jubah beraksi di hadapan komputer. Atau gambar tokoh agama bertali leher yang saiznya kecil sedikit daripada kain sejadah atau seumpamanya.

Padahal, bukan setiap yang menggunakan komputer otaknya bertamadun. Entah berapa ramai ustaz di televisyen yang beraksi berceramah di hadapan komputer, tetapi isi kandungan ceramahnya hanya menggambarkan kemunduran cara fikirnya. Bukan semua yang pakai tali leher, otaknya kelas pertama. Juga bukan semua yang menggunakan Internet menunjukkan dia menjadi insan yang bertamadun.

Itu semua hanyalah hasil yang dinikmati dari kemajuan dan keluasan ilmu. Bukan asas kepada ketamadunan insan menurut al-Quran dan al-sunah.
Tamadun Islam tertegak atas prinsip akidahnya dan cara fikir atau minda yang berdisiplin berdasar prinsip-prinsip syariat. Seorang tua yang berbasikal di kampung tetapi berakhlak dengan masyarakat, menghormati hak orang ramai, lebih bertamadun dari tokoh yang bertali leher kemas tetapi mengambil rasuah.

Pak cik yang berkain pelekat yang membuang sampah ke dalam tongnya, lebih bertamadun daripada yang memakai pakaian menawan tetapi mencampakkan puntung rokoknya di sana sini.
Lebih besar dari itu, menurut Islam, seorang yang kurang berharta tetapi memelihara akidahnya dari kesyirikan dan kekhurafatan adalah lebih bertamadun dari yang berkereta mewah tapi bertangkal, atau berulang-alik ke rumah bomoh. Tamadun itu bermula dari akidah yang sejahtera dan cara fikir yang betul yang berteraskan roh al-Quran dan al-sunah.
Akibat hilangnya akidah dan cara fikir yang betul maka hilanglah tamadun yang kita bina. Kita akan gagal membinanya semula selagi kita tidak membereskan soal pembinaan kefahaman terhadap prinsip- prinsip ketamadunan dalam Islam ini.

Sekalipun kita ada badan, pertubuhan, institut, jabatan yang dikaitkan dengan kemajuan Islam, nampak kita belum mampu maju. Sebabnya persoalan asas terhadap kefahaman tamadun dalam Islam itu bukan sahaja tidak difahami oleh orang awam, bahkan kadangkala gagal difahami oleh pelaksananya pun.

Sebenarnya, menghayati Islam yang tulen bererti menghayati tamadun keagungan. Namun pentafsiran Islam yang sempit dan pengamalnya yang bersifat konservatif telah menggagalkan usaha membawa kembali Islam yang asal lagi tulen. Sumber Islam ialah al-Quran dan al-sunah dengan berteraskan tafsiran generasi awal (salaf) yang terbukti berjaya memimpin alam ini dahulunya.

Sesiapa yang menghayati dan beramal dengan sumber agung ini bererti dia mengamalkan Islam yang sebenar. Sesiapa yang mengamalkan Islam yang sebenar bererti dia sedang menghayati tamadun yang agung. Kemunduran umat ialah kerana mereka menyimpang dari kedua sumber agung ini. Atau salah dalam mentafsirkan kedua sumber tersebut.

Perlu diingat, kita tidak boleh membina tamadun kegemilangan dengan membebaskan diri dari ikatan-ikatan Islam, kononnya kerana inginkan kemajuan. Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan diri dari ikatan Islam iaitu al-Quran dan al-sunah, maka tidak perlu kita membinanya atas nama Islam. Jika inginkan ketamadunan dalam erti kata yang tidak difahami oleh Islam, tamadun Barat sudah terbentang luas untuk kita menganutinya.

Namun apabila kita ingin membina kemajuan dan ketamadunan atas nama Islam, maka kita mesti terikat dengan kehendak dan peraturan Islam. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Namun yang kita ingin tegaskan sejak dari awal bahawa hadarah (ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan.

Mementingkan kelazatan yang segera di dunia. Maka ia menjadikan dunia itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam falsafahnya. Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan pendidikan. Ini bercanggah dengan hadarah al-Islam (tamadun Islam). Ia menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara roh dan kebendaaan. Menyeimbangkan antara akal dan hati. Menghimpunkan antara ilmu dan iman. Ia mengambil berat tentang ketinggian akhlak seperti ia mengambil berat tentang kemajuan kebendaan. Ia sebenarnya tamadun kerohanian dan kebendaan, impian dan realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan jamaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan pertengahan.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, al- Sunah masdaran li al-Ma'rifat wa al-Hadarat, m.s. 204, cetakan: Dar al-Syuruq, Mesir.)

Amat baik apabila kita mengadakan pameran ketamadunan umat yang lampau. Namun, tidak memadai jika pengunjung sekadar mengetahui hasil tanpa memahami di atas tapak apa mereka membina tamadun. Barangan-barangan itu datang dari jiwa bermaruah untuk mempertahankan umat dan minda yang segar kerana disiplin hidup dan harga diri.

Justeru kita tidak mungkin memahami dan mengulas tamadun yang telah dibina oleh generasi umat Islam yang lampau tanpa menghayati akidah dan pegangan Islam yang mereka kukuh berpaut dengannya. Mereka membina tamadun dengan acuan Islam yang diimani oleh mereka. Islam itu mengalir dalam urat nadi tamadun yang mereka pasak. Mereka membina tamadun di atas tapak tersebut. Tanpa memahami keimanan mereka, kita tidak akan mampu memahami kekuatan tamadun Islam sepanjang zaman.

Tokoh sejarawan Islam, Mahmud Syakir pernah membuat suatu perbandingan (analogi) yang sangat menarik, katanya: “Sesungguhnya seorang jurubina tidak akan dapat mendirikan binaan melainkan setelah dia mengkaji tapak binaan, jenis tanah, mata air dan lain-lain. Seorang doktor tidak akan mampu memberikan rawatan yang berkesan melainkan setelah dia bertanya pesakit mengenai puncanya, makanan, minuman dan lain-lain. Demikian juga seorang sejarawan tidak dibolehkan menyebut sesuatu kisah yang sampai kepadanya atau menghuraikan sesuatu petikan tanpa mengetahui titik tolak umat ini iaitu akidah dan segala yang terpancar darinya iaitu kefahaman, nilaian dan maksud. Ini kerana dibimbangi akan memesongkannya di belakang hawa nafsu dan huraian yang salah yang akan membawa kepada mengubah sepenuhnya sesuatu keadaan dan jauh dari kefahaman sebenar.” (Mahmud Syakir, Al-Muntalaq al-Asasi fi al-Tarikh al-IslamI, m.s. 3-4, cetakan: Dar al-Maktab al-Islamiy, Lebanon).

Atas nama dan prinsip Islam, tamadun Islam berjaya dibina. Itulah yang menjadikan umat dahulu gemilang dan dihormati di mata dunia. Tanpa prinsip Islam tidak mungkin dapat dibina tamadun yang berteraskan Islam. Seperti mana – barangkali – di atas semangat ‘kehantuan’ tercetusnya pameran hantu. Tanpa semangat ‘kehantuan’ itu pameran hantu tidak mungkin dapat diteruskan. Namun insan yang ingin membina tamadun, juga mungkin hantu sendiri barangkali kehairanan melihat pameran yang seperti itu.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Thursday, March 22, 2007

90:10 Principles...! Enjoy...



Discover the 90/10 Principle.
By : Stephen R. Covey.

It will change your life (at least the way you react to situations).

What is this principle?
10% of life is made up of what happens to you. 90% of life is decided by how you react.

What does this mean? We really have no control over 10% of what happens to us. We cannot stop the car from breaking down. The plane will be late arriving, which throws our whole schedule off. A driver may cut us off in traffic. We have no control over this 10%. The other 90% is different. You determine the other 90%. How? ……….

By your reaction. You cannot control a red light. But you can control your reaction. Don't let people fool you; YOU can control how you react.

Let's use an example. You are eating breakfast with your family. Your daughter knocks over a cup of coffee onto your business shirt. You have no control over what just happened. What happens next will be determined by how you react. You curse. You harshly scold your daughter for knocking the cup over. She breaks down in tears. After scolding her, you turn to your spouse and criticize her for placing the cup too close to the edge of the table. A short verbal battle follows.

You storm upstairs and change your shirt. Back downstairs, you find your daughter has been too busy crying to finish breakfast and get ready for school. She misses the bus. Your spouse must leave immediately for work. You rush to the car and drive your daughter to school. Because you are late, you drive 40 miles an hour in a 30 mph speed limit. 。 After a 15-minute delay and throwing $60 traffic fine away, you arrive at school. Your daughter runs into the building without saying goodbye. After arriving at the office 20 minutes late, you find you forgot your briefcase. Your day has started terrible. As it continues, it seems to get worse and worse. You look forward to coming home. When you arrive home, you find small wedge in your relationship with your spouse and daughter.

Why? …. Because of how you reacted in the morning. Why did you have a bad day?

A) Did the coffee cause it?
B) Did your daughter cause it?
C) Did the policeman cause it?
D) Did you cause it? The answer is “D".

You had no control over what happened with the coffee. How you reacted in those 5 seconds is what caused your bad day. Here is what could have and should have happened.

Coffee splashes over you. Your daughter is about to cry. You gently say, "Its ok honey, you just need to be more careful next time". Grabbing a towel you rush upstairs. After grabbing a new shirt and your briefcase, you come back down in time to look through the window and see your child getting on the bus. She turns and waves. You arrive 5 minutes early and cheerfully greet the staff. Your boss comments on how good the day you are having.

Notice the difference?

Two different scenarios. Both started the same. Both ended different.
Why? Because of how you REACTED. You really do not have any control over 10% of what happens. The other 90% was determined by your reaction. Here are some ways to apply the 90/10 principle.

If someone says something negative about you, don't be a sponge. Let the attack roll off like water on glass. You don't have to let the negative comment affect you! React properly and it will not ruin your day. A wrong reaction could result in losing a friend, being fired, getting stressed out etc.
How do you react if someone cuts you off in traffic? Do you lose your temper? Pound on the steering wheel? A friend of mine had the steering wheel fall off) Do you
curse? Does your blood pressure skyrocket? Do you try and bump them?
WHO CARES if you arrive ten seconds later at work? Why let the cars ruin your drive? Remember the 90/10 principle, and do not worry about it.
You are told you lost your job. Why lose sleep and get irritated? It will work out. Use your worrying energy and time into finding another job.
The plane is late; it is going to mangle your schedule for the day. Why take outpour frustration on the flight attendant? She has no control over what is going on. Use your time to study, get to know the other passenger. Why get stressed out? It will just make things worse.

Now you know the 90-10 principle. Apply it and you will be amazed at the results. You will lose nothing if you try it. The 90-10 principle is incredible. Very few know and apply this principle.

The result? Millions of people are suffering from undeserved stress, trials, problems and heartache. We all must understand and apply the 90/10 principle.

It CAN change your life!!!

Enjoy… & CHEERS !

Wednesday, March 14, 2007

Some little info.. For Datin Mashitah Rusli Only..

To Mashitah Rusli Only... other readers please excuse this article.

Tah..

Try Masuk 2 site nih..
1. http://asasi.um.edu.my/show.php?key=Kursus
2. http://www.iiu.edu.my/asasi/scdept.htm

Yang first tu UM punya.. but i'm not too sure whether they still offer it or not..
Second one is UIA punya.. cuba bukak course synopsis dia..

** Dalam UM punya dia ada bagi future course yang boleh amik lepas abis asasi tu.. for example engineering etc. Cuma kat UIA u better ask Kak Adah.. She knows better since she belongs to Science department at IIUM.

Regards,
Muiz.

Tuesday, March 13, 2007

Menjawab Salam Bukan Islam...


Apabila saya menyebut bahawa hendaklah kita menjawab salam ‘bukan muslim’ yang tidak memerangi Islam, ada kelompok ekstrimis yang membantah mati-matian. Alasan mereka senang sahaja; ‘kami tidak pernah dengar pun ada tok guru pondok kami ajar demikian’.
Mereka ini jadikan seakan ilmu Islam keseluruhannya terkumpul di pondok-pondok yang pernah mereka belajar. Sesetengahnya ustaz pula telah mengharamkan diri dari membaca atau mentelaah apa yang tidak pernah disebut oleh mazhab nusantara atau generasi lama di tempatnya. Sumbangan pengajian pondok di rantau ini tidak boleh dinafikan. Namun sentimen tanpa hujah bukan ilmu yang diiktiraf dalam Islam.

Islam adalah agama yang sejahtera. Penampilan dan inti kandungannya adalah berteras kekukuhan nilai dan keindahan hakiki. Islam itu akan indah jika kita benar-benar jadikan teras kefahaman kita terhadapnya bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat golongan ‘ustaz’ bukan kesemuanya tepat dengan kedua sumber agung tersebut. Bukan semua yang dianugerahkan darjah kenamaan ‘ustaz’ menguasai tajuk yang dia mengajar atau memperkatakannya. Jika semua seiras dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah tentu tiada perselisihan pokok antara sesama ‘ustaz’. Jika tidak, masakan ada ustaz-ustaz yang berlainan kumpulan politik dan sesat menyesatkan antara satu sama lain. Kesimpulannya, pandangan golongan agama boleh diterima dan ditolak. Hanya yang tidak boleh ditolak ialah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang mengemukakan hujah berteraskan kedua sumber agung itu dan menuruti kaedah kefahaman nas yang diakui oleh disiplin kesarjanaan, maka pendapat diiktirafnya. Jika tidak, ‘ustaz’ atau ‘tok guru’ atau ‘mufti’ bukan rasul yang diutuskan sehingga setiap kalimah dari mulut mereka dinilai dengan neraca kewahyuan.

Berbalik kepada isu salam, apakah kenyataan saya mengenai boleh menjawab salam kepada bukan muslim ini sesuatu yang baru direka, atau sesetengah golongan agamawan lebih cenderung kepada sentimen tempatan dan tidak terdedah kepada perbincangan ilmiah. Di sini saya petik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya yang terkenal Zad al-Ma’ad: “Telah berbeza pendapat para ulama salaf dan khalaf mengenai hukum memberi salam kepada Yahudi dan Kristian. Kata kebanyakan ulama tersebut: “tidak dimulakan ucapan salam kepada mereka”. Ulama yang lain berpendapat: “harus memulakan ucapan salam kepada mereka, seperti mana harus menjawabnya. Pendapat ini (kedua) diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Abu Umamah dan Ibn Muhairiz. Ia juga salah satu pendapat dalam Mazhab al-Syafi’i. Namun empunya pendapat ini dalam Mazhab al-Syafi’i menyatakan: Disebut Al-Salam ‘Alaika tanpa menyebut wa rahmat ALLAH, dan secara ifrad (untuk seorang sahaja). Segolongan ulama berpendapat: “Harus memulakan salam kepada Yahudi dan Kristian disebabkan kemaslahatan yang lebih utama yang diperlukan, atau bimbang tindakannya, atau hubungan kekeluargaan, atau apa-apa yang memerlukannya. Diriwayatkan pendapat ini dari Ibrahim al-Nakha’i dan ‘Alqamah. Kata al-Auza’i: “Jika engkau memberi salam kepada mereka (Yahudi dan Kristian), telah pun memberi salam kepada mereka golongan soleh. Jika engkau tidak memberi salam kepada mereka, telah pun tidak memberi salam kepada mereka golongan soleh yang lain”.

Sambung al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Para ulama berbeza pendapat tentang menjawab salam mereka. Mijoriti ulama berpendapat wajib menjawab. Inilah pendapat yang benar. Kata segolongan ulama tidak wajib menjawab..”
Kata al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Telah sabit dalam hadith, Nabi s.a.w lalu dalam satu majlis yang bercampur antara muslim, musyrikin penyembah berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka semua”.(rujukan: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad, 2/425-426, Beirut: Muassasah al-Risalah 1990).

Al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad di bawah tajuk Bab Kaif al-Radd ‘ala Ahl al-Zimmah (Bab Bagaimana Menjawab Salam Kafir Zimmi) meriwayatkan kata-kata Ibn ‘Abbas: “Jawablah salam sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana ALLAH berfirman (maksudnya dari Surah al-Nisa ayat 86) Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (riwayat ini bertaraf ‘hasan’).

Dalam riwayat yang lain dalam al-Adab al-Mufrad juga di bawah bab Iza Kataba al-Zimmi Pasallama, Yuradd ‘Alaihi (Bab Apabila Kafir Zimmi Menulis Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya). Dalam bab ini dimuatkan kisah yang sahih di mana Abu Musa al-Asy’ari menulis surat kepada seorang paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia ditanya: Adakah engkau memberi salam kepadanya, sedangkan dia kafir?. Jawab Abu Musa: “Dia telah menulis surat kepadaku dengan memberi salam, maka akupun menjawabnya”.

Riwayat-riwayat yang seperti ini sepatutnya dibaca oleh para ustaz atau sesiapa yang ingin membicarakan tajuk ini sebelum menghukum sesuatu pandangan sebagai menyeleweng. Malangnya di negara ini, sesetengah golongan agama tidak menjadikan fakta sebagai teras perbincangan, sebaliknya sentimen guru tradisionalnya yang jadikan ukuran kebenaran.

Adapun hadith-hadith yang menyuruh dijawab ‘wa ‘alaika’ (ke atas kamu) terhadap salam Yahudi ialah disebabkan orang Yahudi pada zaman Nabi s.a.w apabila memberi salam menyebut as-samu ‘alaikum yang bermaksud: maut atau kemusnahan ke atas kamu. Mereka cuma mengelirukan pendengaran orang Islam. Justeru itulah Nabi s.a.w menyuruh dijawab dengan ungkapan ‘wa alaikum’ sahaja. Perkara ini jelas disebut dalam hadith baginda: “Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka dengan ini jelas hadith ini mempunyai Sabab al-Wurud (sebab terbentuknya sesuatu hadith) yang tersendiri. Iaitu ia merujuk kepada suatu kejadian atau keadaan yang mana orang Yahudi memberikan ucapan salam secara mainan dan sendaan dengan diubah lafaz yang kedengarannya hampir sama, tetapi maksudnya amat berbeza. Dalam ertikata lain hadith ini bukan untuk semua keadaan.

Maka jika keadaan berbeza, di mana jika ada bukan muslim memberikan salam dengan cara yang betul serta tujuan yang betul pula iaitu untuk mengucapkan kesejahteraan kepada kita, maka hadith di atas tiada kaitan lagi. Apakah wajar untuk kita sebagai penganut agama yang membawa kesejahteraan dan rahmah, menolak ucapan baik orang lain dengan cara yang tidak sepatutnya?!!. Sudah pasti tidak wajar demikian. Apatah lagi dalam situasi Islam yang cuba dipandang serong oleh musuh-musuh yang mengelilingi umat. Tidak menjawab salam yang betul yang diberikan oleh bukan muslim yang tidak memerangi Islam sekurang-kurangnya telah tersasar dari mematuhi dua ayat al-Quran berikut:
Pertama: Surah al-Nisa: ayat 86: (maksudnya) “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

Kedua: Surah al-Mumtahanah ayat 8-9, (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.9. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Justeru itu tokoh ulama hadith yang terkenal pada zaman ini, al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. menyebut: “Ayat ini (Surah al-Mumtahanah ayat 8) dengan jelas memerintahkan agar melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang kafir warga negara Islam yang berdamai dan tidak menyakiti kaum mukminin. Tanpa syak lagi, jika seseorang di kalangan mereka memberi salam dengan menyebut secara jelas as-salam ‘alaikum , lalu kita menjawabnya sekadar wa ‘alaika, adalah sesuatu yang tidak adil dan meninggalkan sikap baik. Ini kerana kita telah mensamakan antara dia dengan orang yang mengucapkan as-samu ‘alaikum (maut atau kemusnahan ke atas kamu). Ini adalah kezaliman yang nyata”. (Nasir al-Din Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 2/322, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif :1995).

Di kalangan para ulama yang melarang menjawab salam pun, berpendapat jika keadaan memerlukan maka diboleh untuk menjawab. Mereka contohkan seperti bimbang disakiti atau berlaku perkara yang tidak baik. Saya katakan keadaan umat hari ini menuntut kita menjawabnya dari segi nas, juga realiti kehidupan. Islam sudah dihodohkan rupa parasnya yang indah oleh penganut dan penentang. Enggan membalas ucapan baik dengan ucapan yang baik juga hanya akan menambahkan contengan di wajah Islam yang kudus. Maka menjawab salam bukan Islam di zaman ini adalah suatu kewajiban dari segi nas dan tanggungjawab dakwah.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Sumber: Ruangan Pena Mufti, Mingguan Malaysia - 11 Mac 2007

Wednesday, March 07, 2007

KU RELA...

AKU RELA…

Telah ku benarkan nama dan diri menjadi sasaran
Kerana cinta, aku berkorban
Telah ku rela tohmahan bermahajalela
Kerana cinta, aku terpaksa
Kerana cinta jua aku berbicara
Dengan nada insan terluka
Meluah rasa, meluah fakta, mencedera jiwa
Semuanya kerana cinta…

Biarku tanggung rasa derita..
Asalkan agama, selamat akhirnya..
Yang membantah, hanya berfalsafah..
Kerana bimbang suapan harian
Dengan menjual nama tuhan..
Lalu kebenaran disingkirkan,
Demi hidangan belian pendustaan

Namun aku yang sengsara zahirnya
Redha telah pun penuhi jiwa
Dalam keletihan ini.. aku bahagia
Kerna..
Pada kebenaran itulah terasa nikmat syurga


Oleh: SS. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Mufti Kerajaan Negeri Perlis

Friday, March 02, 2007

Katakan TIDAK kepada WAHABI...!

Adalah malang apabila golongan yang kononnya kuat berpegang dengan agama tidak bersifat ilmiah. Sedangkan ilmu adalah teras kepada Islam yang tulen dan murni. Antara sikap tidak ilmiah ialah menuduh seseorang dengan sesuatu tuduhan palsu disebabkan tidak mahu atau berupaya menjawab persoalan yang dikemukakan. Sikap ini sama dengan Amerika sekarang yang menganggap sesiapa sahaja yang mengkritiknya sebagai pengganas sekalipun tanpa bukti.

Di Malaysia ini, wujud sikap yang sedemikian. Jika seseorang memberikan pandangan agama yang bukan menjadi perkara yang biasa diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilebelkan sebagai ‘wahabi’. Sekalipun mungkin dia tidak tahu menahu wahabi itu apa?!. Bahkan yang membuat tuduhan itupun kebiasaannya tidak begitu tahu apa itu wahabi?!. Jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka melebelkan orang lain sebagai ‘wahabi’; apa itu wahabi?. Berbagai jawapan diberikan. Ada yang katakan wahabi ialah sesiapa yang tidak qunut subuh. Jika kita beritahu dia, mazhab-mazhab yang lain juga demikian. Apakah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Hanifah juga wahabi?. Dia diam. Ada yang kata: wahabi tidak tahlil. Kita beritahu dia tahlil maksudnya La ilah illa ALLAH, tahmid bermaksud Alhamd li ALLAH, tasbih bermaksud subhana ALLAH. Setahu kita mereka ini menyebutnya. Mana mungkin, jika tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi menghafaz al-Quran dengan begitu hebat dan bacaan-bacaan mereka diperdengarkan di sana sini. Adakah mereka kafir?!!. Ada yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Saya kata saya tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian, kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!!. Ada yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali. Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya ‘Wahhabi’.

Saya katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang menuduh wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Saya hanya menganggapnya salah seorang tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fiqh yang ulung untuk dirujuk fatwa-fatwa fiqhnya. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadith, sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak keras. Namun, sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri.

Dari segi ilmiah, secara peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun sumbangannya tidak dilupakan. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab di Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir). Bahkan Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.

Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid'ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58). Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab patut dituduh wahabi atau tidak?!!!. Antara kitab-kitab yang saya ajar ialah kitab fekah mazhab al-Imam al-Syafi'i. Saya baca kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i kerana ia agak mudah untuk generasi muda. Namun apabila saya menyebut apa yang terkandung dalam kitab tersebut yang tidak sama dengan amalan masyarakat, maka dituduh wahabi. Sedangkan kitab itu adalah kitab dalam Mazhab al-Imam al-Syafi'i. Tokoh-tokoh penulisnya, adalah tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi'i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji. Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: “Daripada bid'ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya” (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), saya dituduh wahabi. Apakah semua penulis itu wahabi?!!.

Mereka katakan kepada saya, jangan baca! Itu tidak sama dengan mazhab syafii tempat. Saya tanya: Adakah ada dua mazhab al-Syafi'i??!. Tidak mengapalah, mari kita tengok apa kata kitab-kitab melayu jawi. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga ALLAH merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) lagi bid'ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: “Maka bid'ah yang tidak elok” (7/130). Apakah mereka semua juga wahabi?!!.

Apabila kita memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang dibuat oleh masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata: “awak wahabi”. Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, ini fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu Syaaban, beliau menjawab: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan.

Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha). Apakah beliau juga wahhabi?!! Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam mazhab al-Syafi'i. Pada zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah dengan mengangkat suara membaca al-Quran. Beliau berkata: “Ketahui sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang menjadi amalan al-salaf al-salih r.a ialah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah yang cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang menyanggahinya. Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad r.a. pernah berkata –maknanya-: “Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan sedikit yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan banyaknya golongan yang rosak”.

Adapun apa yang dilakukan oleh golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah haram dengan ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah keburukannya, besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu membantahnya tetapi tidak membantahnya”. (Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-226, Damsyik: Maktabah al-Ghazali). Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di zaman kini dan buat kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan tempatan akan menuduhnya juga wahabi. Apatah lagi jika dia mereka mambaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya: “adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai” (Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab 5/320 Beirut: Dar al-Fikr).

Banyak lagi contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah bahawa tuduhan wahabi kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan adalah fitnah. Sebagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab, maka diputarkan isu ke arah yang lain. Ia adalah lambang akhlak dan perilaku buruk pembuatnya. Memburukkan orang lain tanpa bukti dan ilmu. Kesemua mereka ini akan didakwa di akhirat kerana memutar belitkan fakta tanpa rasa takut kepada ALLAH. Tidak pernahkah mereka membaca firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 11-12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Umpamanya, memang benar kita dalam beberapa pandangan hukum, mengambil selain dari mazhab al-Syafi'i. Ini beradarkan kajian atau tarjih yang disandarkan kepada ulama lain.

Di Malaysia pun memang banyak hukum yang tidak berpegang dengan mazhab al-Syafi'i, terutamanya dalam fiqh muamalat. Lihat sahaja hukum-hakam zakat di negara ini. Namun ini bukan bererti kita menghina al-Imam al-Syafi'i. Malang sebahagian yang berniat jahat membuat fitnah kononnya kita menghina Imam kita yang agung itu. Sedangkan saya sendiri pada Julai 2004 telah menulis tentang keagungan al-Imam al-Syafi'i dalam majalah ini dan demikian juga dalam buku-buku saya. Bahkan ada yang membuat cerita kononnya ingin dibakar kitab-kitab mazhab dan inilah wahabi. A’azu bi ALLAH min zalik (pohon perlindungan dengan ALLAH dari itu semua). Benarlah kata Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali: “Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fiqh yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka…Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan berhati-hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti..” (rujukan: Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al-Khadra`).

Ramai pendakwah yang mengeluh dengan akhlak buruk ini. Saya juga berdukacita dan bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai gelaran ahli badan ulama. Lebih lagi kita sedihkan. Namun saya katakan kepada diri saya yang amat dhaif dan para pendakwah yang difitnah; bersabarlah. Telah pun difitnah sebelum ini para rasul yang mulia, sehingga Nabi Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan gila. Al-Imam al-Syafi'i r.h pernah dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman sehingga dia dihukum. Al-Imam Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman dengan Mu’tazilah mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung halamannya. Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari mainan golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang sentiasa menuntut keikhlasan dan pengorbanan. Pada hari kita memulakan dakwah ke jalan ALLAH dan rasulNya ini, kita sepatutnya mengetahui denai berliku dan lorong berduri yang akan lalui di hadapan. Jika tidak bertemankan keikhlasan dan kecintaan yang tinggi kepada ALLAH dan Rasul, gugurlah kita satu persatu. Untuk itu dari awal kita mesti sedar hakikat ini. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Ada kata golongan wahabi enggan terikat dengan mazhab. Jadi sesiapa yang ada berpegang dengan mazhab lain dalam beberapa perkara, maka dia wahabi. Kita katakan kita amat menghormati mazhab dan memuliakannya. Dalam banyak perkara kita terkait dengan mazhab al-Syafii. Tetapi ahli ‘tuduh menuduh’ ini seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian.

Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syari`at dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabahsepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi.

Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (pengkaji) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah”. (rujukan: Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazlum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah). Barangkali mereka juga kena masukkan al-Qaradawi dalam senarai wahabi seperti yang didakwa oleh Amerika terhadap beliau. Dalam ilmu hadith pula, kita menyebut apa yang disebut oleh ulama-ulama hadith yang mendhaif atau menghukum sebagai palsu sebahagian hadith yang diamalkan oleh masyarakat kita. Umpamanya, kita memetik ulasan-ulasan para ulama terhadap Kitab Ihya ‘Ulum al-Din.

Bukan bertujuan menghina al-Imam al-Ghazali (semoga ALLAH merahmatinya), tetapi sebagai ingatan untuk kita. Malangnya, mereka yang tidak takutkan ALLAH membuat fitnah kononnya kita menganggap kita lebih alim dari al-Imam al-Ghazali. Di sini saya petik apa yang tertera dalam buku saya “Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya” yang dicetak pada awal tahun 2004: “Sebagai contohnya di sini kita sebutkan kitab Ihya`Ulum al-Din karangan al-Imam al-Ghazali r.h (meninggal 505H) secara khusus. Ini memandangkan ia merupakan yang paling masyhur dan banyak diguna pakai dalam masyarakat. Dengan kita menyedari bukan hanya kitab al-Ihya ini sahaja yang mengandungi hadith-hadith dhaif dan palsu, ada kitab-kitab lain juga banyak yang mempunyai masalah yang sama.

Mengkritik hadith-hadith palsu dan dha`if dalam kitab al-Ihya ini tidaklah bererti kita menafikan sama sekali sumbangan penulisnya dan nilai-nilai baik yang terkandung di dalamnya. Sebagai seorang tokoh, tentunya Al-Ghazali mempunyai sumbangannya yang tersendiri. Namun ini tidak memboleh kita menyembunyi apa yang benar. Kita mendo`akan keampunan dan kerahmatan Allah untuknya dan juga kita. Namun persoalan kebenaran dan ilmu mesti dijelaskan. Firman Allah: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.( Surah al-Nisa`: 135) Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapannya dalam kitab Ihya `Ulum al-Din: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan. (rujukan: Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala 19/339, Beirut :Muassasah al-Risalah) Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadith tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan seorang pakar dalam bidang hadith, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang jahil tentang ilmu hadith sahaja. Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H/ Beliau adalah tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal) yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan: “Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadith-hadithnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadith”. (rujukan: Taj al-Din al-Subki, Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 3/449, Beirut :Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

Kita lihat apa yang kata tokoh-tokoh hadith umat mengenai kitab Ihya `Ulum al-Din antaranya: -Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Bait al-Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulum al-Din, ianya sebuah kitab yang ganjil. Ianya mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan amalan hati. Namun padanya banyak hadith yang gharib, munkar dan palsu”.( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah) -Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasar pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadith-hadith yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya”.( rujukan :Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-ilmiyyah) -Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadith-hadith yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak.

Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ianya apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”.( Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339) -Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadith-hadith Nabi dan riwayat-riwayat salaf sepertimana yang dimiliki oleh ahli yang mengetahui perkara itu. Mereka dapat membeza antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadith dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya”.( Ibn Taimiyyah, Dar`u Ta`arud al-`Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad : Dar al-Kunuz al-Adabiyyah). Ada yang kata, kalau iya pun, banyak lagi isu yang lebih penting. Kita katakan alhamd lil Lah, atas kurnia ALLAH, banyak isu-isu ilmiah utama di negara ini, kita antara yang awal membincangkannya. Isu Islam Liberal, isu Astora, Syiah dan seumpamanya. Tulisan-tulisan kita banyak tentang isu-isu itu. Adapun isu-isu yang disebutkan tadi hanya sampingan sebagai menjawab persoalan-persoalan yang dibangkit oleh generasi baru yang luas pembacaannya.

Namun telinga anda hanya memetik apa yang anda benci dan memekakkan diri dari apa yang anda suka. Kami pohon keampunan dari Allah untuk kami dan anda juga !! Justeru, jauhkan diri fitnah-menfitnah kerana itu perlambangan akhlak yang buruk dan peribadi yang amat rendah. Kita kurang kecewa apabila pelakunya itu ‘Shahrir Long’. Namun kita akan kecewa jika hal ini dilakukan oleh golongan agama, yang berakhlak dan mempunyai maruah diri.

Mungkin ada orang yang benar-benar ingin menasabkan dirinya kepada wahabi. Namun kita sejuta kali menyebut : ‘Katakan tidak untuk wahabi’. Ya untuk syafii, ya untuk Hanbali, Ya untuk Maliki, Ya untuk Hanafi. Dengan syarat tidak ekstrim dan taksub. Tapi no untuk wahabi kerana ia bukan aliran yang cukup untuk dimazhabkan.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.