BARANGKALI sesetengah pihak berasa agak pelik apabila Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin berhasrat menulis puisi yang kemudian akan dilagukan oleh Kopratasa. Barangkali juga akan bertanggapan bahawa tugas ulama hanya memberi ceramah dan berkarya pula hanya dilakukan oleh seniman.
Tetapi dalam keadaan di mana wujud sesetengah ulama yang gemar 'melarang' atau 'mengharamkan' daripada memberi teladan, kemunculan Dr. Mohd. Asri boleh mewujudkan satu fenomena baru. Kita boleh melarang orang membuat satu perkara tetapi dengan syarat memberikan sepuluh pilihan misalnya yang yang mereka boleh lakukan. Fenomena ini tidak wujud di negara kita.
Sepatutnya ulama lebih mahir memahami dan menghayati puisi malah turut berkarya untuk direnungkan oleh khalayak. Dari situ barangkali membantu ulama membina pemikiran kreatif untuk menyampaikan ajaran-ajaran mereka.
Sebenarnya Dr. Mohd. Asri sudah menulis puisi dan beberapa kali mendeklamasikan puisi beliau. Tidaklah pelik seorang mufti bergelandangan di pentas puisi bersama khalayak kerana ulama terkenal seperti Hamka juga seorang novelis yang tersohor.
Puisi bukanlah kerja orang yang 'khayal' dan menunggu ilham datang dengan bersendirian di tepi pantai atau melarikan diri daripada realiti. Puisi adalah kepaduan pemikiran yang dialirkan dalam kata-kata yang bukan saja sangat terhad tetapi membawa makna yang melampaui kata- kata.
Beberapa tahun lalu, ada sesetengah ulama mengharamkan lagu Doa daripada puisi Chairil Anwar. Doa adalah sebuah puisi dan lagu yang sangat syahdu dan menginsafkan. Tetapi kerana ada sesetengah ulama tidak memahami puisi, maka menghukumkan karya itu. Itu adalah akibatnya apabila karya seni difahami secara literal. Ulama berkenaan tidak memahami tuntutan kepenyairan dalam mengatur kata demi kata.
Nasib baiklah lagu Doa tidak diharamkan penyiarannya oleh RTM, satu-satunya stesen penyiaran yang sangat galak mengharamkan lagu yang mereka tidak faham. Alangkah ruginya kalau karya seindah itu menjadi mangsa pihak yang kurang faham.
Kehadiran Dr. Mohd. Asri dalam dunia kepenyairan tepat pada masanya. Malah memilih medium iaitu memberi kepercayaan kepada Kopratasa menyanyikan puisi-puisi itu adalah langkah proaktif mendekatkan diri dengan khalayak. Dalam keadaan masyarakat yang membelakangkan hal-hal yang bersifat kreatif dan seni, tokoh seperti Dr. Mohd. Asri perlu membantu memahamkan mereka tentang ketinggian seni.
Kita terpaksa menerima hakikat bahawa ucapan pemimpin-pemimpin kita yang berjela-jela, penuh dengan bombastik dan didaktik belum tentu sampai kepada sasaran berbanding sebuah puisi seperti Aku Rela karya Dr. Mohd. Asri misalnya. Sebenarnya di negara kita saja yang kononnya "moden" tidak mengendahkan puisi. Tetapi negara lain yang jauh lebih maju lebih pula menilai puisi.
Keberanian Dr. Mohd. Asri bersuara dalam keadaan banyak yang lain 'berani berdiam', kita tentulah mengharapkan puisi-puisinya yang akan dilagukan ini membawa nada yang sama.
Semoga Mohd. Asri bukanlah ulama terakhir yang menulis puisi, mendeklamasi puisi dan meminati puisi.
E-mel: cp@galaxystudio.com
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm
** Album sulung puisi Dr Maza ini bakal dilancarkan di Yayasan Restu, Selangor pada 25 November 08 jam 11.30 am. Beliau akan menamatkan perkhidmatan sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perlis pada 1 Disember 08 dan bakal berangkat ke UK selama lebih kurang 7 bulan bagi membuat lebih banyak kajian dalam bidang hadis.
Galeri Puisi Dr Maza @ drmaza.com:
http://drmaza.com/home/?page_id=60
Lagi Berita:
http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/14/mstar_hiburan/20081113204833&sec=mstar_hiburan
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20081115071905/Article/
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1115&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm&arc=hive
Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat
-
Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan
perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada perbezaan di antara
penda...
3 days ago
1 comment:
i think the archive you wirte is very good, but i think it will be better if you can say more..hehe,love your blog,,,
Post a Comment