Monday, May 28, 2007

Antara PENGAMPU Dan PENCERCA..!

Seseorang pemerintah hendaklah tahu, bahawa bukan semua yang memujinya ikhlas kepadanya. Mungkin pujian itu datang disebabkan takut kepadanya atau habuan yang diharapkan. Maka tidak hairanlah jika ramai pemerintah yang dipuji pada zaman dia berkuasa, dikeji dan dihina pada hari dia kehilangan takhta.
Para pengampu juga akan mencari ‘tempat ampuan’ yang baru. Di samping itu, sesuatu yang pasti bahawa setiap yang mengutuk atau memaki pemerintah secara terbuka, tidak mempunyai keikhlasan terhadap pemerintah. Pemaki atau pencerca sebenarnya sama seperti pengampu. Kedua-duanya mengharapkan habuan. Pemaki mengharapkan dengan makian itu dia diangkat, atau dianggap wira. Lalu habuan akan datang melalui penyokongnya, atau akan ada kerusi yang diberikan kepadanya.
Para ulama tidak boleh menjadi pengampu pemerintah. Dalam masa yang sama, mereka tidak diizinkan syarak menjadi pencerca atau pemaki pemerintah. Mengampu pemerintah dengan menggunakan nas- nas agama menyebabkan pemerintah tersesat jalan dengan merasai sentiasa dirinya betul.
Apa tidaknya golongan agama pengampu ini yang akan menyokong segala-galanya. Tanpa perlu berfikir panjang, kerjanya mencari dalil dan hujah menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah. Segala dalil-dalil syarak diputar agar bersesuaian dengan cita rasa pemerintah.
Sikap ini sangat berbeza dengan akhlak pendakwah yang tidak suka melihat manusia melakukan kesalahan dan gembira melihat manusia melakukan kebaikan.
Golongan ulama pengampu mengambil langkah menyokong apa sahaja yang dibuat oleh pemerintah. Mereka biasanya mendapat habuan dunia yang memberangsangkan. Pemerintah mempergunakan golongan ini sebagai alat menghalalkan segala tindakannya. Mereka adalah ulama jahat yang banyak mengorbankan agama dan rakyat. Mereka ini bagaikan lalat yang mencari kesempatan menghurung bangkai yang busuk. Demikian mereka mencari kesalahan pemerintah untuk dikerumuni dan dihalalkan.
Golongan pemaki yang bertopengkan agama pula menjadikan kutukan ke atas pemerintah atau bangkangan terhadap sesebuah kerajaan yang berkuasa sebagai modal cari makan. Mereka juga biasanya mendapat habuan dunia dengan pelbagai aktiviti dan jemputan. Duit orang ramai juga mudah dikumpulkan untuk apa-apa projek atas tiket semangat menentang kerajaan.
Segala dalil syarak dipersembahkan dalam bentuk menyanggahi pemerintah. Kedua-dua golongan ini merosakkan umat dengan kerosakan yang amat besar.
Islam memerintahkan para ulama dan umat sentiasa menasihati pemerintah. Bukan mengampu atau memakinya. Nasihat itu adalah tuntutan agama. Nasihat mungkin datang dengan nada yang lembut. Juga mungkin dengan nada yang tegas.
Namun penasihat sentiasa mengharapkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati. Tidak dinamakan nasihat, jika kita memujinya sehingga dia tersasar. Juga tidak dinamakan nasihat jika kita memakinya di khalayak ramai. Daripada Abi Hurairah: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah meredai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya, (ketiga) kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik 2/169).
*Sedar
Para pemerintah hendaklah sedar bahawa golongan yang mentaati mereka ketika mereka melakukan kemungkaran adalah golongan menjual agama dan tidak jujur terhadap diri dan pemerintah itu sendiri.
Daripada Abi Said al-Khudri, daripada Nabi, sabdanya: "Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah." (Riwayat al-Bukhari 6/2438 dan al-Nasai 7/158).
Al-Bukhari meriwayatkan: Ada golongan berkata Ibn ‘Umar: “Kami masuk kepada pemerintah kami, lalu kami berkata kepada mereka berbeza dengan apa yang kami cakap apabila kami keluar dari mereka.” Kata Ibn ‘Umar: “Kami dahulunya (zaman Nabi s.a.w) menganggap itu sebagai nifak (perbuatan munafik).” (Riwayat al-Bukhari 6/2626).
Benarlah nasihat Syaiban al-Ra’i pernah menasihati Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.”
Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku.” Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata, “Kamu kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar’iyyah, 1/198).
Maksudnya mereka yang memberi nasihat dengan jujur lebih bermanfaat untuk pemerintah dari mereka yang mengampu yang sebenarnya merosakkan pemerintah. Sabda Nabi: "Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)." (Riwayat Ahmad 14/78, al-Nasai 7/160 dan al-Tirmidhi. Hadis ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337- 339).
Ada pula yang berpendapat bahawa ulama yang tidak berani memaki secara terbuka sebagai ulama pengecut. Namun petunjuk hadis tidak begitu. Sabda Nabi: "Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya." (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani ketika mentahqiq al- Sunah ini (hlm 507).
Orang politik ramai yang mempunyai ego yang tinggi. Jika disebut kesalahan di khalayak ramai, maka kemungkinan dia enggan akur kerana ego politiknya. Jika secara bersendirian, ruang penerimaan itu lebih mudah. Hadis ini juga menjelaskan bahawa pemerintah mesti terus dinasihati sama ada dia menerima ataupun menolak.
Sekiranya dia menerima, maka itu sesuatu yang sangat baik untuk dirinya dan umat. Jika dia menolak, pemberi nasihat telah pun menunaikan tanggungjawabnya. Di samping nasihat juga dapat mengingatkan dia tentang akibat sesuatu perbuatan atau perkara. Sekalipun jika dia tidak terima, dia tetap akan tahu nilai perbuatan di sisi syariat Allah.
*Manfaat
Kata al-‘Adhim al-Abadi: “Kata para ulama: “Tidak gugur dari mukalaf tanggungjawab al-Amr bi al-Makruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar hanya kerana pada sangkaan tidak memberi faedah. Bahkan wajib dia melakukannya kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang beriman.” (Al-‘Adhim al-Abadi, ‘Aun al-Ma’bud, 11/330).
Sabda Nabi: Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil – dalam riwayat yang lain: Yang benar – di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim. (Riwayat al-Nasai 7/161 Abu Daud 4/124, al-Tirmidzi 4/ 471 dan Ibn Majah 2/1329. Al-Diya al-Maqdisi menyatakan sanadnya sahih (Al-Diya al-Maqdisi, Al- Ahadith al-Mukhtarah, 8/110).
Hadis ini selalu disalah fahami untuk membolehkan cercaan terbuka. Jika diteliti hadis ini jelas menunjukkan perkataan yang adil atau benar itu hendaklah dilakukan di hadapan pemerintah yang zalim, bukan di belakangnya. Ini membawa risiko yang paling tinggi dalam berdakwah. Adapun menyatakan kalimat yang benar atau adil di belakang pemerintah, ramai yang mampu melakukannya. Begitu juga mencercanya di belakang.
Kata al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd Allah bin Baz: “Bukan dari Manhaj al-Salaf (jalan salafussoleh) menghebohkan dan menyebut keburukan pemerintah di atas mimbar. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada porak-peranda dan hilang ketaatan dalam perkara makruf. Ia membawa kekecohan yang memberi mudarat dan tidak bermanfaat. Sebaliknya jalan yang ikuti di sisi golongan salaf: Nasihat antara mereka dengan pemerintah, menulis kepada mereka, atau berhubung dengan ulama yang mempunyai hubungan dengan mereka.” (Al-Qahtani, Fatawa al-Aimmah fi Nawazil al-Mudlihammah, hlm 98).
Kata Dr. Salih bin Fauzan: “Mereka yang paling utama untuk melakukan nasihat kepada para pemerintah ialah ulama, cerdik pandai dan ahli mesyuarat pemerintahan. Firman Allah: (maksudnya) Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada uli al-Amr di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan). (al- Nisa: 83).
Bukan setiap individu layak untuk urusan ini. Bukanlah sama sekali menghebah dan menghebohkan kesalahan itu suatu nasihat. Ia bukan Manhaj al-Salaf al- Salih. Sekalipun maksud pelakunya itu baik iaitu untuk membantah mungkar seperti yang mereka dakwa.
Namun apa yang dia buat lebih mungkar dibandingkan apa yang dia bantah. Sebabnya, boleh jadi membantah mungkar itu juga suatu kemungkaran. Ini sekiranya tidak di atas jalan yang disyariatkan Allah dan Rasul-Nya, maka ia adalah mungkar... (Ibid, hlm 124).
Jika Firaun yang melampaui batas tetap Allah perintahkan Musa dan Harun agar datang menasihatinya dengan cara yang baik, apatah lagi para pemerintah semasa. Firman Allah: (maksudnya) Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut. (Taha: 43-44).
Aliran seperti inilah yang dipelopori oleh para ulama muktabar sejak zaman dahulu. Dengan itu, kita akan dapati mereka menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah dengan tegas, dalam masa yang sama mereka juga taat tidak menentang secara terbuka, tidak mencerca secara berleluasa dan bekerjasama dalam perkara yang baik.
Sejarah merakamkan watak tegas mereka di hadapan pemerintah, sabar mereka dengan kerenah pemerintah dan kerjasama mereka dalam urusan kebaikan. Walaupun mereka mempunyai kekuatan mengumpulkan rakyat, namun para imam ahli sunah tidak keluar menentang pemerintah secara terbuka. Sekalipun di kalangan mereka ada yang diperlakukan seperti apa yang berlaku kepada al-Imam Ahmad bin Hanbal.
Demikian juga dalam hal para pemerintah. Makian hanya mengundang keburukan, bukan faedah kepada Islam. Jika mereka dinasihati dengan baik, jelas, tegas dan tidak menggadaikan prinsip agama, pemerintah mungkin akan memikir dan menerimanya. Saya percaya ramai pemerintah dalam banyak keadaan belum mendengar nasihat yang ikhlas, lunak, tegas dan bernas.
Nasihat itu pula disampaikan secara langsung tanpa sebarang kepentingan diri penasihat. Mungkin apa yang banyak pemerintah dengar adalah ucapan para pengampu yang mengampu bukan-bukan. Atau para pencerca yang kegiatannya adalah mencerca pemerintah. Atau mungkin juga ada nasihat yang baik, namun apabila ia datang atas nama seteru politik menyebabkan para pemerintah salah sangka dengan nasihat tersebut.
Pemerintah umat ini masih tandus dan gersang nasihat-nasihat yang hebat seperti yang pernah diberikan oleh para ulama terbilang di hadapan para pemerintah yang lampau sehingga menitiskan air mata mereka.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Thursday, May 24, 2007

Israiliyyat: Penceramah Mencemarkan Al-Quran..

MELIHAT sesetengah penceramah di dalam atau di luar televisyen berceramah agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari mana dikutipnya amat merisaukan hati. Sebahagian kisah itu tidak mempunyai sandaran agama yang diiktiraf dari segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya Israiliyyat.
Lebih malang, sebahagian kisah itu seperti mitos atau kartun. Apabila dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan agama yang agung itu. Secara umum Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat Yahudi atau Bani Israil. Riwayat-riwayat tersebut terselit atau disebut dalam buku-buku umat Islam.

Para ulama hadis sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat membezakan antara Israiliyyat.

Dunia semakin canggih. Banyak perkara yang tidak wujud pada generasi lalu, adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan pendekatan juga berubah.

Dahulu apa yang dinyatakan oleh orangorang tua tidak dibantah. Hari ini barangkali tidak. Mungkin dalam sesetengah perkara dianggap ‘ketinggalan bas’. Dahulu cakap orang bergelar ustaz atau tok guru tidak dibantah, bahkan dianggap berdosa jika melawan. Perbuatan ustaz/ tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘Tuhan’ . Ucapan mereka diterima bulat- bulat, bagaikan rasul maksum.

Justeru, sekalipun ‘mandi safar’ syirik, namun kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘ustaz’, maka sekian lama kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat Melayu. Tepung tawar pelepas bala yang mempunyai nilai-nilai syirik dilakukan.

Sebabnya kerja ini ‘difrancais’ oleh ustaz atau tok guru. Perkara yang ‘sewaktu dengan semua itu’ bukan sedikit telah berlaku namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang pupus. Hari ini dunia lebih moden. Pendidikan dan pengetahuan moden menuntut setiap perkara dikemukakan berdasarkan fakta dan angka.

Dahulu barangkali ustaz boleh menceritakan berbagai-bagai riwayat Israiliyyat dengan selesa sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak nabi diperkatunkan. Hari ini kisah-kisah itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘kancil’, tetapi tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan nabi. Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharam atau asyura bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dan berkempen orang ramai memasak bubur itu.

Hari ini generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai chef untuk memperkenalkan resipi bubur. Baginda seorang nabi yang mempunyai mesej dakwah yang besar. Dahulu barangkali seorang ‘ustaz’ bercerita dengan bebas jampi penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini ia tentu dipertikaikan. Dahulu berdasarkan cerita sesetengah ustaz atau lebai, ada yang ikut mempercayai “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.” Pengetahuan moden menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika mengulas riwayat ini: “Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, m.s.78.)

Kata Abu Syahbah : “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul” (Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al- Tafasir. m.s 305)

Malangnya, ada golongan agama dahulupercaya dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu berada atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu lain.

Ini menyanggahi hakikat, bumi terapung- apung di angkasa. Kita menyeru kepada tajdid (pembaharuan). Kita menentang hal ini.

Kita katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai masa kini untuk membezakan antara isi al-Quran dengan riwayat Israiliyyat boleh membawa mereka salah faham terhadap al-Quran dan ragu-ragu terhadap inti kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan manusia moden banyak menolak bentuk khurafat. Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah jelas dalam membezakan antara kisah-kisah yang termuat dalam buku- buku tafsir dan kisah-kisah al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menghidangkan kisah-kisah lucu yang bertentangan dengan fakta sains seperti contoh di atas. Kata guru saya iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi : “Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji, penulis dan penceramah daripada kalangan Muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi metodologi yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada berbagai-bagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak lebih daripada kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israiliyyat dan kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma‘a Qasas al-Sabiqin fi al-Quran 1/31)

Di saat dunia semakin canggih dan moden, kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya.

Ini membuktikan, Islam dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan, tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang tulen tetap utuh kerana mesej dan tujuannya tidak dicemari kekarutan.

Inilah mesej al-Quran dan sunah yang sahih. Fokus kisah-kisah al-Quran adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan meracau dalam perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran.

Kisah Luqman umpamanya, al-Quran hanya menyebut sesuatu yang bermanfaat. Firman Allah, Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada ALLAH (akan segala nikmat-Nya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Luqman: 12)

Demikian insan apabila membaca ayat ini tahu pengajaran yang dapat dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan yang Allah berikan. Selepas ayat ini, Allah menceritakan nasihat-nasihat Luqman kepada anaknya. Antaranya nasihat berkualiti yang terbit daripada orang yang diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat kebaikan yang tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan nasihat-nasihat tersebut. Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan pendidikan bermutu dan tepat.

Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan perkara-perkara lain dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman ialah lelaki hamba abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek, hidungnya penyek, bibirnya tebal, lebar tapak kakinya dan berbagai-bagai lagi. (lihat: Salah al-Khalidi, Ma’ Qasas al-Sabiqin, 3/150)

Tambahan Israiliyyat hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada tujuan utamanya yang menghidangkan kisah itu sebagai pengajaran dan pengiktibaran. Apakah faedah besar untuk pembaca al- Quran jika dia mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa Habsyi, berhidung penyek? Apakah dia boleh meniru itu semua jika Allah mentakdirkannya berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa Habsyi? Apakah itu tujuan kisah yang dibawa? Atau tujuannya mengisahkan seorang hamba Allah yang diberi hikmah dan diperintahkan bersyukur kepada Tuhannya? Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani.

Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain: “Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil, menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap pergerakan watak-wataknya dan latar belakang peristiwa. Al-Quran tidak melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran, pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan- panduan yang terdapat dalam kisah- kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran.

Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi kisah- kisah umat yang lalu. Mereka tidak sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia bersifat lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Malangnya mereka mencari dari sumber yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil daripada manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi).” (Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s. 85)

Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui perkara-perkara baru. Masa untuk membaca al-Quran terganggu dengan urusan dan kerja yang sentiasa mengasak dan mendesak. Jika waktu terhad dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat, tentulah fokus yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran tergadai. Apatah lagi kisah-kisah Israiliyyat itu mencemarkan wajah agama di hadapan fakta sains.

Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap Islam mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam dan menolaknya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar sesetengah ‘ustaz’ di Malaysia menyatakan umur dunia 7,000 tahun sedangkan para saintis menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun.

Mereka akan tertanya: Inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar? Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat. Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyyat dan dusta, tidak ada kaitan dengan Islam.( Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, 1/14)

Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi: “Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan.” Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu Israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum Muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da‘iyyah, 41). Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru. Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis

Tuesday, May 15, 2007

Yang Dianggap Mahram TETAPI Bukan...!

Disebabkan kecuaian di dalam mendalami ilmu agama Islam, maka ramai kita jumpai mempunyai beberapa anggapan yang keliru di dalam hal berkaitan mahram. Akibatnya, secara automatik ia mebawa kepada hal yan fatal, orang-orang yang sebenarnya bukan mahram dianggap sebagai mahromnya. Sangat ironis, tetapi demikianlah kenyataannya. Oleh kerana itu diperlukan penerangan secepatnya.

Berikut ini beberapa orang yang sebenarnya bukan mahram tetapi dianggap mahram tersebut:

[1]. Ayah Dan Anak Angkat.
Hal ini berdasarkan firman Allah :
“Dan Allah tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu.” [Al-Ahzab: 4]

[2]. Sepupu (Anak kepada pakcik/makcik).
Hal ini berdasarkan firman Allah setelah menyebutkan jenis-jenis orang yang haram dinikahi:

“Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian. [An-Nisa’: 24]

Menjelaskan ayat tersebut, Syaikh Abdur Rohman Nasir As-Sa’di berkata:

” Hal itu seperti sepupu (dari sebelah ayah) dan sepupu(dari sebelah ibu)”. [Lihat Taisir Karimir Rohman hal 138-139]

[3]. Ipar.
Hal ini berdasarkan hadits berikut:
“Waspadailah oleh kalian daripada masuk kepada para wanita, berkatalah seseorang dari Anshor: “Wahai Rasulullah bagaimana pendapatmu kalau dia adalah Al-Hamwu (kerabat suami)? Rasulullah bersabda; “Al-Hamwu adalah merupakan kematian”. [HR Bukhori; 5232 dan Muslim 2172]

Imam Baghowi berkata; ” Yang dimaksud di dalam hadits ini adalah saudara suami (ipar) kerana dia tidak termasuk mahram bagi si isteri. Dan seandainya yang dimaksudkan adalah mertua sedangkan dia termasuk mahram, lantas bagaimanakah pendapatmu terhadap orang yang bukan mahram?” Lanjutnya: “Maksudnya, waspadalah terhadap saudara ipar sebagaimana engkau waspada dari kematian”.

[4]. Mahram Lakonan.
Kebiasaan yang sering terjadi, apabila ada seorang wanita ingin bepergian jauh seperti berangkat haji, dia mengangkat seorang lelaki yang ‘berlakon’ sebagai mahram sementaranya. Ini merupakan musibah yang sangat besar. Bahkan Syaikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani menilai di dalam Hajjatun Nabi (hal 108) ; “Ini termasuk bid’ah yang sangat keji, sebab tidak samar lagi padanya terdapat hiyal (penipuan) terhadap syari’at. Dan merupakan tangga kemaksiatan”.

Penjelasan Mufti Arab Saudi, Sheikh Muhammad Salih Ibn Uthaimin

Soalan:
Apakah boleh bersalam dengan bukan muhrim?

1. Hukum jabat salam dgn perempuan non-muhrim secara umum

Hukum yang benar ialah lebih baik menghindari berjabat salam dengan perempuan non-muhrim kerana sentuhan lebih kuat rangsangan nalurinya daripada memandang. Dalilnya: dari Ma'qal, bahawa Nabi SAW bersabda," bahawa jika ditusuk dengan besi dikepala seseorang adalah lebih baik baginya dari memegang-megang perempuan yang tidak halal baginya." HR atTabrani, disahihkan oleh alMuhaddith al-Albani dalam Sahih alJaami' # 4921.

Dibolehkan dalam keadaan yang aman dari fitnah dan suasana yang memerlukan (berbuat demikian) demi menunjukkan rasa ukhuwwah dan kasihsayang atau simpati, contoh: mengucap selamat jalan untuk perjalanan yang jauh, menyambut kepulangan dari perjalanan atau kembara yg lama, atau belasungkawa (takziah) kerana tragedi dan musibah. (Fatwa Dr Qardhawi dan Dr Abd Halim Abu Syuqqah dalam Fatawa Mu'asirat dan Tahrir alMar-ah)
Jika ingin bersalaman, hendaklah berlapik (Syaikh Athiyah Saqr, alHijab baynaatTasyri' wal Ijtimaa')

2. Bersalaman dengan adik ipar perempuan dgn abang iparnya.

Hubungan iparduai hanyalah mahram sementara sahaja, maka bersalamannya juga hendaklah dielakkan dalam amalan harian kecuali dalam keadaan yang aman dari fitnah dan suasana yang digariskan di atas. Ini kerana amaran Baginda saw kepada ipar: " alHamuu alMaut" maksudnya " ipar itu adalah maut. [alBukhari, # 4831, cet saudi]

Komentar alSyawkani (alNayl, 6/122), maksud ipar adalah maut dikhuatiri akan terjadi sesuatu yang tidak diingini. Maka hendaklah ditutup segala pintu2 fitnah spt bergurau, bersalaman dan berkhalwat. [Dr Soleh alFawzan, Tanbihaat, kementerian Waqf, KSA, 1420H)
------------------------------------------------------------------------------------
Fatwa al-Qardhawi menjelaskan: (kesimpulan dari fatwa beliau yg panjang dalam isu berjabat salam dgn perempuan, sila rujuk fatwa muasirat beliau, terbitan pustaka salam Jld 5/6)

1. Harus berjabat salam bila bebas dari fitnah. Jika ada fitnah dan unsur berahi, maka ia haram. (maka bersalaman antara lelaki muda dgn perempuan tua yang sudah menopaus kemungkinan bebas dari fitnah dan tiada rangsangan seksualiti)

2. Berjabat salam hendaklah terhad pada keadaan dan keperluan. Contoh sesama keluarga dan menasabah yang diperlukan seperti ketika berlakunya musibah atau kecelakaan yang menimpa.

3. Tidak memulai terlebih dahulu, maksudnya salam itu dicetuskan oleh orang lain, kita sekadar menyambut utk menjaga maruahnya.

4. sentiasa ingat bahawa budaya bersalaman (antara gender) ini bukanlah amalan kaum salaf

5. hukum bersalaman antara gender ini bukan hukum umum terbuka utk semua orang, ia hanya kepada sesiapa yang terdesak dan memerlukan hukum ini. Ia hendaklah diamalkan dengan waspada. sekian

Wallahua'lam.

Sumber:
1. http://www.al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=29870&sid=bceeda03017c0a2d5ba1c05a0a37c437

2. http://soaljawab.wordpress.com/2007/04/27/kekeliruan-tentang-mahram/#more-189

Friday, May 11, 2007

Kesalahan Selawat Syifa' - Siri 1

Kesalahan Selawat Syifa' (1)
Suara al-Sunnah
Buletin Jabatan Mufti Negeri Perlis
Bil. 1 April 2007


Perkataan Selawat Syifa' sering kita dengar dan lihat dalam masyarakat kita. Selawat ini pada mulanya telah terbudaya di kalangan masyarakat Islam di Malaysia sebagai bacaan eksklusif dan peribadi, tetapi kelihatan menjadi semangkin popular sehingga ada yang menjadikannya zikir dan doa selepas solat fardhu atau sebagai pembuka ucapan secara kekal. Lafaz selawat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

اللهمّ صَلِّ على سَيِّدِنَا مُحَمَّد طِبِّ القُلُوْبِ وَدَوَائِهَا وَعَافِيَةِ الأبْدَان وَشِفَائِهَا وَنُوْرِ الأبصَارِ وَضِيَائِهَا وَعَلى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ

Maksudnya: "Ya Allah! Selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati dan pengubatnya (hati), penyihat badan dan penyembuhnya (badan), pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan sahabat Baginda serta berkati sejahterakanlah." (Prof. Dr. Harun Din & Amran Kasimin, Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan al-Sunnah, hal. 32)

Terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan i'rab ini seolah-olah telah menyifatkan Nabi Muhammad saw dengan sifat maha perawat, maha pengubat, maha penyihat maha penyembuh, maha peberi cahaya, dan maha pemancarnya. Persoalannya, apakah harus menyifatkan Nabi Muhammad saw dengan sifat demikian, sedangkan ia adalah sifat-sifat khusus bagi Allah swt yang tidak boleh dikongsi oleh sebarang makhluk ? Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat-sifat tersebut?

Prinsip ilmu tauhid telah menetapkan bahawa Alah swt itu maha esa dan wajib diesakan pada sifat-sifatnya sebagaimana dia juga wajib diesakan pada rububiyyahnya dan uluhiyyahnya. (al-Uthaimin, Muhammad bin Soleh, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ter. Muhamad Yusuf Harun)

Nama-nama dan sifat-sifat yang khusus bagi Allah swt tidak boleh dikongsi dengan sebarang makhluk kerana perkongsian itu berakna mensyirikkan(menyekutukan) sifat makhluk dengan sifat al-Khaliq. (al-Qahtani: Sa'id Ibn 'Ali, Syarh Asma' al-Husna fi Dau' al-Kitab wa al-Sunnah, hal. 51)

Allah swt berfirman:

Maksudnya: "Tiada sesuatu yang sebanding dengan (Zat, Sifat-sifat dan pentadbiran)Nya, dan Dialah yang maha mendengar lagi maha melihat." (al-Syura: 11)

Allah swt juga berfirman:

Maksudnya: "Dan apabila aku sakit, Maka dialah (Allah swt) yang menyembuhkan penyakitku." (al-Syu'ara:80)
Dalam sebuah hadith baginda saw mengajar umatnya agar membaca doa berikut:


Maksudnya: "Ya ALlah tuhan sekelian manusia, maha penghilang segala penyakit, sembuhkanlah ! Engkaulah maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau dan tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan engkau. (sembuhkanlah) dengan suatu sembuhan yang tidak meninggalkan penyakit sedikitpun." (Riwayat al-Bukhari)


Ungkapan: "Engkaulah yang maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau." jelas menunjukkan bahawa sifat penyembuh itu adalah sifat khusus bagi Allah swt yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk. Struktur ayat yang mengandungi nafy (penafian) dan huruf nafy (La) dan diikuti ithbat (penetapan) dengan huruf istithna' (illa) memberi konsekuensi penafian dan penetapan yang kuat, sama seperti ungkapan kalimah Tauhid La Ilaha Illallah yang menfikan segala tuhan selain Allah dan menetapkan ketuhanan itu padanya semata-mata.


Dengan perkataan lain, doa yang diajarkan oleh Nabi saw ini menafikan sifat penyembuh bagi selain Allah swt dan menetapkan sifat itu padaNya semata-mata, sedangkan lafaz Selawat Syifa' itu pula menetapkan sifat penyembuh itu pada baginda saw jesteru, lafaz Selawat Syifa' itu dilihat mengandungi unsur-unsur syirik yang jelas bercanggah dengan prinsip Tauhid al-Asma wa al-Sifat.

Monday, May 07, 2007

Terima Kasih Tuan..! Anda cukup hikmah...

Pergaulan bebas dorong lakukan hubungan haram.
Berita Harian, Mei 7, 2007.
Link:
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Rencana/20070507000746/Article/

MUFTI Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menyarankan bahawa sudah sampai masanya negara ini mencuba undang-undang al-Quran bagi memberi pengajaran dan peringatan supaya aktiviti haram seperti berzina dan buang bayi tidak terus menjadi budaya dalam masyarakat.

“Jika didapati berzina, hukuman 100 sebatan perlu dilaksanakan. Jangan mempertikaikan dan mendakwa ia hukuman kejam kerana pelaksanaan hukuman itu pada dasarnya cukup teliti dan mengambil kira pelbagai faktor.“Hukum sebat dalam Islam bukan seperti hukuman sebatan dalam ‘Semerah Padi’. Malah hukuman sebatan dilaksanakan di penjara pada masa ini lebih memeritkan. Tetapi, saya yakin jika hukum al-Quran digunakan, gejala tidak bermoral ini dapat dikurangkan. Jika selama ini negara kita sudah banyak mencuba pelbagai kaedah, apa salahnya mencuba kaedah al-Quran pula,” katanya.Beliau berkata, pastinya bayi yang dibuang adalah anak hasil hubungan tidak sah atau luar nikah dan tindakan itu biasanya diambil kerana malu serta khuatir menjadi penghinaan masyarakat. Katanya, peningkatan jumlah pembuangan bayi membuktikan perhubungan haram juga semakin meningkat ketika ini.“Jelas sekali pada masa ini, kerosakan sosial serius melanda generasi muda kita. Semua ini kebanyakannya berpunca daripada hubungan bebas yang tidak terkawal, seterusnya mendorong kepada hubungan lebih intim sehingga melahirkan anak luar nikah. Faktor lain ialah peluang menikmati hiburan tanpa had yang seterusnya mendorong mereka mengadakan sesuatu di luar batasan.“Jika ditanya kepada mereka terbabit, pastinya alasan akan diterima ialah kerana takut masyarakat tidak dapat menerima hubungan haram mereka. Justeru, mereka perlu menyembunyikan hasil hubungan yang menjadi bukti kelakuan berdosa mereka,” katanya.Beliau berkata, ia satu tindakan sangat negatif, tetapi positifnya ialah ia membuktikan masyarakat kita masih tahu malu. Nilai murni masyarakat Timur berbeza dengan Barat yang tidak kisah dengan anak hasil hubungan haram. Tetapi, ia tidak boleh menghalalkan cara mereka pilih untuk menutup malu itu. Perbuatan itu tetap haram dan berdosa.Dr Asri berkata, lebih teruk lagi ialah pelaku berdepan dengan dua dosa sekali gus, iaitu dosa ketika melakukan zina dan dosa kerana menzalimi anak yang tidak bersalah. Ia juga menunjukkan hilangnya nilai keinsanan serius di kalangan mereka.Malah, lebih teruk lagi mereka sudah hilang nilai keibubapaan yang sepatutnya wujud ketika menatap wajah anak dikandung sebelum ini.Beliau bersetuju diwujudkan pusat sehenti untuk membolehkan pasangan terlanjur menyerahkan anak yang dilahirkan dan tidak mahu dipelihara, tetapi ia mesti dipastikan tidak menjadi beban kepada negara selain langkah pencegahan perlu diperkuatkan bagi membendung gejala negatif ini. Sekurang-kurangnya, dengan wujud pusat sehenti seperti itu dapat menyelamatkan bayi daripada dibuang di tempat berisiko.Presiden Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (Geraksikh), Tan Sri G Darshan Singh, juga menyifatkan tindakan buang bayi sebagai satu perbuatan hina kerana menganiayai bayi yang tidak bersalah. Katanya, kesalahan itu lebih sesuai diletakkan kepada ibu bapa kerana gagal menerapkan nilai disiplin dalam diri anak masing-masing sehingga tergamak melakukan kekejaman sosial sebegitu.“Jangan salahkan masyarakat. Ibu bapa perlu tahu tanggungjawab mereka membentuk karektor anak masing-masing. Jika daripada kecil didikan diberikan betul dan berkesan, takkan berlaku masalah apabila dewasa,” katanya.Beliau juga menyokong penubuhan pusat sehenti yang dilihat sebagai langkah terbaik yang mampu menyelamatkan nyawa bayi daripada dibuang merata-rata dan di tempat yang terdedah dengan pelbagai risiko.“Tetapi penubuhan pusat sehenti itu perlu mengambil kira pelbagai faktor dan perlu lebih berhati-hati. Jangan nanti ia menjadi lesen kepada pasangan remaja melakukan hubungan haram dengan lebih berleluasa kerana tiada masalah apabila melahirkan anak. Anggapan mereka mudah, anak yang dilahirkan sudah ada tempat untuk diserahkan. Nanti, pusat itu penuh dengan anak luar nikah dan mengakibatkan belanja yang besar pula,” katanya.Presiden Amitabha Buddhist Society, Soong Chin Pow, berkata buang bayi bukan saja tidak dapat diterima semua agama, malah menyalahi prinsip amalan budaya semua kaum. Pembuangan bayi pasti bersebab kerana secara logiknya tiada ibu di dunia ini yang tidak menyayangi anaknya selepas sembilan bulan dikandung.“Pelbagai sebab boleh dikaitkan dengan keadaan ini. Mungkin ada unsur paksaan dan sebagai masyarakat prihatin, kita mesti menghulurkan bantuan.“Saya berpendapat gejala ini banyak disebabkan kegagalan sistem pendidikan negara ini yang terlalu mengutamakan akademik sehingga kurang nilai keagamaan dan sivik diterapkan. Ini sekali gus menyebabkan nilai murni semakin hilang di kalangan masyarakat dan aktiviti maksiat menjadi-jadi,” katanya.Setiausaha Agong Persaudaraan Kristian Evangelikal Nasional (NECF), Wong Kim Kong, pula berkata sebagai makhluk dicipta Tuhan, manusia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga hak bayi yang tidak bersalah untuk memberikannya peluang menikmati kehidupan. Justeru, katanya, jika berasakan tidak mampu memelihara bayi yang lahir daripada hubungan sulit, pasangan terbabit perlu memikirkan kaedah lain serta tidak mengambil tindakan drastik seperti membuang bayi.
<

Pena Mufti: Hukumlah Dengan Keluasan Islam Bukan Sentimen..!

ADA orang bertanya, apakah bezanya antara politik orang dakwah dan dakwah orang politik? Saya kata barangkali itu hanya mainan bahasa. Saya kurang suka dengan mainan bahasa, yang penting adalah maksud dan tujuan sesuatu ungkapan. Ungkapan itu mungkin dimaksudkan politik orang dakwah menggunakan kaedah dan strategi yang diizinkan syarak. Adapun dakwah orang politik kadangkala dia menjadikan ajakannya kepada Islam mempunyai tujuan politik. Saya bukan menafikan kemungkinan orang politik juga jujur dalam dakwahnya. Namun jika kedudukan politik menjadi fokus dalam dakwah, dia bukanlah pendakwah sebenar yang membawa obor Islam yang syumul dan lengkap. Perkara ini saya tujukan untuk semua tanpa berpihak. Kita disuruh memasuki Islam dari pintu yang syumul. Seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah: 208: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. Apabila kita memasuki Islam secara keseluruhan, kita akan dapati dalamnya ada akidah, ibadah, ekonomi, politik, akhlak dan sebagainya. Maka kita akan berusaha supaya setiap tuntutan Islam itu ditunaikan. Juga menilai setiap perkara dengan keluasan Islam itu. Jika kita cuba melihat Islam hanya dari pintu ekonomi umpamanya, tanpa melihat soal akidah, ibadah, akhlak, politik dan sebagainya, maka perbincangan ekonomi kita akan kontang dari sudut akidah, ibadah dan akhlak. Sehingga jangan nanti panel-panel syariah bank hanya cekap ‘meluluskan’ produk-produk bank atas nama Islam, namun tidak memikir soal roh keadilan dan kebebasan dari unsur penindasan ekonomi ke atas pengguna yang merupakan cabang dari akhlak Islam. Maka ramai mulai terasa sesetengah produk perbankan Islam lebih membebankan berbanding konvensional. Demikian juga janganlah dalam keghairahan berpolitik, kita melihat segalanya dengan nilaian politik. Kita melupai soal- soal akidah dan akhlak Muslim, persaudaraan Islam dan sebagainya yang menjadi tuntutan agama. Sama kesnya apabila seorang wanita yang tidak menutup aurat bertanya kepada saya: “Dr! Adakah saya masuk neraka kerana tidak menutup aurat, sedangkan saya solat dan melakukan ibadah- ibadah yang lain?” Saya beritahu: “Saya bukanlah malaikat penjaga neraka. Bahkan malaikat penjaga neraka sendiri tidak berhak menentukan siapa yang akan dimasukkan atau dikeluarkan dari neraka. Ini kekuasaan mutlak Tuhan yang menciptakan neraka. Di akhirat, neraka dimasuki oleh sesiapa yang ditentukan Allah. Demikian juga syurga.” Namun Allah memberitahu tentang keadaan manusia di akhirat dengan firman- Nya (bermaksud), Adapun orang yang berat timbangan (amal baiknya), maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangannya (amal baiknya), maka tempat kembalinya ialah ‘Haawiyah’, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia ‘Haawiyah’ itu? (Haawiyah itu ialah): Api yang panas membakar. (al-Qariah: 6-11). Adapun saya yang daif ini tidak mengetahui bagaimanakah timbangan amalan saudari di akhirat. Saya sendiri tidak tahu nasib saya, bagaimana saya boleh tahu nasib orang lain? Namun jika saudari bertanya, adakah perbuatan saudari salah atau betul, jawapannya, ia satu kesalahan. Apakah perbuatan itu faktor yang membawa ke syurga atau ke neraka? Maka jawapan dalil-dalil al-Quran dan al-sunah menunjukkan ke neraka. Namun timbangan amalan insan di akhirat bukan hanya terbatas kepada suatu bab. Sesiapa beramal dengan kebaikan seberat biji sawi akan dinilai. Sesiapa yang beramal dengan seberat biji sawi keburukan juga akan dinilai. Kemudian jika natijah dari nilaian itu menunjukkan kebaikan lebih berat dari kejahatan, maka selamatlah dia. Jika sebaliknya, rugilah dia. Dalam hidup ini, ada ujian dan cubaan. Sesiapa yang sabar diberi pahala dan dihapuskan dosa. Kesalahan orang kepada kita juga menjadikan pahalanya dipindah kepada kita atau dosa kita diberikan kepadanya seperti dalam hadis al-Imam Muslim. Maka keputusan neraka dan syurga adalah hak Allah. Dosa menyumbang ke arah neraka, pahala ke arah syurga. Jika ditanya membuka aurat, riba, derhaka ibu bapa dan seumpamanya ke arah mana? Jawapannya ke arah neraka. Jika ada yang berkata, mereka ini juga solat dan buat baik dalam perkara yang lain. Kita katakan; amalan baik menuju ke syurga. Allah yang maha adil akan menimbangnya dan menentukannya. Demikianlah semua insan. Padanya ada baik dan buruk. Amalan kita akan ditimbang di akhirat. Wanita itu diam, barangkali dia berpuas hati. Mesej saya adalah hendaklah melihat setiap insan menerusi kerangka Islam yang menyeluruh, bukan sekadar sentimen ekonomi atau politik. Janganlah kebencian kepada seseorang atau puak, menyebabkan kita tidak adil kepadanya. Firman Allah dalam surah al- Maidah: 8 (maksudnya): Wahai orang- orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Saya agak dukacita apabila mengenangkan ada ‘ustaz-ustaz’ daripada pihak tertentu yang belum dapat menerima beberapa perkara yang saya sebut lantas mereka menjawabnya secara ‘maki hamun’. Ada yang menjual kaset-kaset mereka ini. Faktor yang menyebabkan hal ini adalah kerana menghukum berdasar sentimen. Sepatutnya, persoalan ilmiah dijawab secara ilmiah. Jangan terbawa-bawa dengan sentimen, lantas menjadikan maki hamun pendekatan dalam persoalan ilmiah syarak. Jangan tafsir, hukum semua perkara dengan nada politik atau ‘kaca mata’ politik. Penilaian sesuatu kebenaran adalah dalil dan hujah bukan sekadar pandangan mereka yang ‘sekapal’ dengan kita. Jangan kerana seseorang itu, tidak ‘satu kem’ , maka semua pandangannya ditolak. Saya bukan orang politik. Nilailah pandangan-pandangan tersebut dengan nilaian ilmiah. Persoalan dakwah dan ilmiah sebenarnya lebih jauh dari persoalan pilihan raya dan merebut kerusi. Kerja politik pilihan raya ada musimnya. Namun dakwah kepada Islam dalam bentuknya yang menyeluruh tidak terhenti dengan berakhirnya pilihan raya. Kadangkala mendengar sesetengah ceramah yang dikatakan agama yang dibaluti dengan makian dan sumpah seranah maka saya tertanya-tanya, adakah tindakan seperti ini bertujuan inginkan pahala, atau sekadar melepas amarah. Adakah ini wajah dan suasana masyarakat Islam yang kita impikan? Inikah Islam yang lengkap, merangkumi segala keluhuran dan keharmonian? Namun saya tahu, bukanlah semua penceramah begitu. Ramai juga yang lunak dan bersopan. Barangkali baik juga untuk semua mendapat manfaat dari nasihat tokoh dakwah yang masyhur, Al-Syeikh Abu al-Hasan Ali Al-Nadwi yang pernah ditujukan kepada Al-Ikhwan Al-Muslimin. Nasihat ini dirakamkan dalam risalahnya: Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan Al-Muslimin). Al-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga memetik ungkapan-ungkapan indah risalah tersebut dalam bukunya, ‘Al-Syeikh Abu Al-Hasan Al-Nadwi kama ‘araftu’. Saya terjemahkan antara kata-kata itu: “Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu atau menghadapi buta huruf dan kejahilan atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti diperjuangkan para pejuang perubahan di Barat dan Timur. Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, roh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya… Istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikirkan kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintah-Nya dan menunaikan risalah-Nya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperoleh kerajaan. Bahkan itu semua tidak terlintas dalam fikiran. Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan. Ini seperti firman Allah (maksudnya), Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj: 41). Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperoleh itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semula jadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semula jadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya…. Katanya juga: “Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehnya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jemaah (kumpulan) yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan bekerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan. Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara Muslim, mengeluarkan manusia - dengan izin Allah - dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada hari akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kasih kepada insan yang terseksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia. Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa - setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah - tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, khusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang Mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.” (Al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu Al-Hasan Al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam). Hasan Al-Hudaibi pernah menyebut, “Tegakkan negara Islam itu dalam diri kamu, nescaya ia tertegak di tanah air kamu.” Perjuangan mewujudkan masyarakat Islam yang lengkap atau sempurna dari segi penghayatan dan pelaksanaan Islam adalah cita-cita mulia. Tiada siapa pun berhak mempertikaikannya. Cuma yang kita bincangkan, pendekatan dalam mencapai matlamat itu. Matlamat Islam mesti melalui denai-denai dan tatasusila Islam. Matlamat tidak menghalalkan cara. Hasrat Islam hendaklah diterjemahkan dalam wajah Islam. Jangan hasrat Islam diwatakkan kepada manusia dengan wajah yang tidak Islamik. Maka cita-cita Islam itu nanti akan dipertikaikan.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.