Kesalahan Selawat Syifa' (1)
Suara al-Sunnah
Buletin Jabatan Mufti Negeri Perlis
Bil. 1 April 2007
Perkataan Selawat Syifa' sering kita dengar dan lihat dalam masyarakat kita. Selawat ini pada mulanya telah terbudaya di kalangan masyarakat Islam di Malaysia sebagai bacaan eksklusif dan peribadi, tetapi kelihatan menjadi semangkin popular sehingga ada yang menjadikannya zikir dan doa selepas solat fardhu atau sebagai pembuka ucapan secara kekal. Lafaz selawat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:
اللهمّ صَلِّ على سَيِّدِنَا مُحَمَّد طِبِّ القُلُوْبِ وَدَوَائِهَا وَعَافِيَةِ الأبْدَان وَشِفَائِهَا وَنُوْرِ الأبصَارِ وَضِيَائِهَا وَعَلى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ
Maksudnya: "Ya Allah! Selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati dan pengubatnya (hati), penyihat badan dan penyembuhnya (badan), pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan sahabat Baginda serta berkati sejahterakanlah." (Prof. Dr. Harun Din & Amran Kasimin, Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan al-Sunnah, hal. 32)
Terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan i'rab ini seolah-olah telah menyifatkan Nabi Muhammad saw dengan sifat maha perawat, maha pengubat, maha penyihat maha penyembuh, maha peberi cahaya, dan maha pemancarnya. Persoalannya, apakah harus menyifatkan Nabi Muhammad saw dengan sifat demikian, sedangkan ia adalah sifat-sifat khusus bagi Allah swt yang tidak boleh dikongsi oleh sebarang makhluk ? Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat-sifat tersebut?
Prinsip ilmu tauhid telah menetapkan bahawa Alah swt itu maha esa dan wajib diesakan pada sifat-sifatnya sebagaimana dia juga wajib diesakan pada rububiyyahnya dan uluhiyyahnya. (al-Uthaimin, Muhammad bin Soleh, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ter. Muhamad Yusuf Harun)
Nama-nama dan sifat-sifat yang khusus bagi Allah swt tidak boleh dikongsi dengan sebarang makhluk kerana perkongsian itu berakna mensyirikkan(menyekutukan) sifat makhluk dengan sifat al-Khaliq. (al-Qahtani: Sa'id Ibn 'Ali, Syarh Asma' al-Husna fi Dau' al-Kitab wa al-Sunnah, hal. 51)
Allah swt berfirman:
Maksudnya: "Tiada sesuatu yang sebanding dengan (Zat, Sifat-sifat dan pentadbiran)Nya, dan Dialah yang maha mendengar lagi maha melihat." (al-Syura: 11)
Allah swt juga berfirman:
Maksudnya: "Dan apabila aku sakit, Maka dialah (Allah swt) yang menyembuhkan penyakitku." (al-Syu'ara:80)
Dalam sebuah hadith baginda saw mengajar umatnya agar membaca doa berikut:
Maksudnya: "Ya ALlah tuhan sekelian manusia, maha penghilang segala penyakit, sembuhkanlah ! Engkaulah maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau dan tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan engkau. (sembuhkanlah) dengan suatu sembuhan yang tidak meninggalkan penyakit sedikitpun." (Riwayat al-Bukhari)
Ungkapan: "Engkaulah yang maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau." jelas menunjukkan bahawa sifat penyembuh itu adalah sifat khusus bagi Allah swt yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk. Struktur ayat yang mengandungi nafy (penafian) dan huruf nafy (La) dan diikuti ithbat (penetapan) dengan huruf istithna' (illa) memberi konsekuensi penafian dan penetapan yang kuat, sama seperti ungkapan kalimah Tauhid La Ilaha Illallah yang menfikan segala tuhan selain Allah dan menetapkan ketuhanan itu padanya semata-mata.
Dengan perkataan lain, doa yang diajarkan oleh Nabi saw ini menafikan sifat penyembuh bagi selain Allah swt dan menetapkan sifat itu padaNya semata-mata, sedangkan lafaz Selawat Syifa' itu pula menetapkan sifat penyembuh itu pada baginda saw jesteru, lafaz Selawat Syifa' itu dilihat mengandungi unsur-unsur syirik yang jelas bercanggah dengan prinsip Tauhid al-Asma wa al-Sifat.
Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat
-
Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan
perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada perbezaan di antara
penda...
2 days ago
No comments:
Post a Comment