Pergaulan bebas dorong lakukan hubungan haram.
Berita Harian, Mei 7, 2007.
Link:
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Rencana/20070507000746/Article/
MUFTI Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menyarankan bahawa sudah sampai masanya negara ini mencuba undang-undang al-Quran bagi memberi pengajaran dan peringatan supaya aktiviti haram seperti berzina dan buang bayi tidak terus menjadi budaya dalam masyarakat.
“Jika didapati berzina, hukuman 100 sebatan perlu dilaksanakan. Jangan mempertikaikan dan mendakwa ia hukuman kejam kerana pelaksanaan hukuman itu pada dasarnya cukup teliti dan mengambil kira pelbagai faktor.“Hukum sebat dalam Islam bukan seperti hukuman sebatan dalam ‘Semerah Padi’. Malah hukuman sebatan dilaksanakan di penjara pada masa ini lebih memeritkan. Tetapi, saya yakin jika hukum al-Quran digunakan, gejala tidak bermoral ini dapat dikurangkan. Jika selama ini negara kita sudah banyak mencuba pelbagai kaedah, apa salahnya mencuba kaedah al-Quran pula,” katanya.Beliau berkata, pastinya bayi yang dibuang adalah anak hasil hubungan tidak sah atau luar nikah dan tindakan itu biasanya diambil kerana malu serta khuatir menjadi penghinaan masyarakat. Katanya, peningkatan jumlah pembuangan bayi membuktikan perhubungan haram juga semakin meningkat ketika ini.“Jelas sekali pada masa ini, kerosakan sosial serius melanda generasi muda kita. Semua ini kebanyakannya berpunca daripada hubungan bebas yang tidak terkawal, seterusnya mendorong kepada hubungan lebih intim sehingga melahirkan anak luar nikah. Faktor lain ialah peluang menikmati hiburan tanpa had yang seterusnya mendorong mereka mengadakan sesuatu di luar batasan.“Jika ditanya kepada mereka terbabit, pastinya alasan akan diterima ialah kerana takut masyarakat tidak dapat menerima hubungan haram mereka. Justeru, mereka perlu menyembunyikan hasil hubungan yang menjadi bukti kelakuan berdosa mereka,” katanya.Beliau berkata, ia satu tindakan sangat negatif, tetapi positifnya ialah ia membuktikan masyarakat kita masih tahu malu. Nilai murni masyarakat Timur berbeza dengan Barat yang tidak kisah dengan anak hasil hubungan haram. Tetapi, ia tidak boleh menghalalkan cara mereka pilih untuk menutup malu itu. Perbuatan itu tetap haram dan berdosa.Dr Asri berkata, lebih teruk lagi ialah pelaku berdepan dengan dua dosa sekali gus, iaitu dosa ketika melakukan zina dan dosa kerana menzalimi anak yang tidak bersalah. Ia juga menunjukkan hilangnya nilai keinsanan serius di kalangan mereka.Malah, lebih teruk lagi mereka sudah hilang nilai keibubapaan yang sepatutnya wujud ketika menatap wajah anak dikandung sebelum ini.Beliau bersetuju diwujudkan pusat sehenti untuk membolehkan pasangan terlanjur menyerahkan anak yang dilahirkan dan tidak mahu dipelihara, tetapi ia mesti dipastikan tidak menjadi beban kepada negara selain langkah pencegahan perlu diperkuatkan bagi membendung gejala negatif ini. Sekurang-kurangnya, dengan wujud pusat sehenti seperti itu dapat menyelamatkan bayi daripada dibuang di tempat berisiko.Presiden Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (Geraksikh), Tan Sri G Darshan Singh, juga menyifatkan tindakan buang bayi sebagai satu perbuatan hina kerana menganiayai bayi yang tidak bersalah. Katanya, kesalahan itu lebih sesuai diletakkan kepada ibu bapa kerana gagal menerapkan nilai disiplin dalam diri anak masing-masing sehingga tergamak melakukan kekejaman sosial sebegitu.“Jangan salahkan masyarakat. Ibu bapa perlu tahu tanggungjawab mereka membentuk karektor anak masing-masing. Jika daripada kecil didikan diberikan betul dan berkesan, takkan berlaku masalah apabila dewasa,” katanya.Beliau juga menyokong penubuhan pusat sehenti yang dilihat sebagai langkah terbaik yang mampu menyelamatkan nyawa bayi daripada dibuang merata-rata dan di tempat yang terdedah dengan pelbagai risiko.“Tetapi penubuhan pusat sehenti itu perlu mengambil kira pelbagai faktor dan perlu lebih berhati-hati. Jangan nanti ia menjadi lesen kepada pasangan remaja melakukan hubungan haram dengan lebih berleluasa kerana tiada masalah apabila melahirkan anak. Anggapan mereka mudah, anak yang dilahirkan sudah ada tempat untuk diserahkan. Nanti, pusat itu penuh dengan anak luar nikah dan mengakibatkan belanja yang besar pula,” katanya.Presiden Amitabha Buddhist Society, Soong Chin Pow, berkata buang bayi bukan saja tidak dapat diterima semua agama, malah menyalahi prinsip amalan budaya semua kaum. Pembuangan bayi pasti bersebab kerana secara logiknya tiada ibu di dunia ini yang tidak menyayangi anaknya selepas sembilan bulan dikandung.“Pelbagai sebab boleh dikaitkan dengan keadaan ini. Mungkin ada unsur paksaan dan sebagai masyarakat prihatin, kita mesti menghulurkan bantuan.“Saya berpendapat gejala ini banyak disebabkan kegagalan sistem pendidikan negara ini yang terlalu mengutamakan akademik sehingga kurang nilai keagamaan dan sivik diterapkan. Ini sekali gus menyebabkan nilai murni semakin hilang di kalangan masyarakat dan aktiviti maksiat menjadi-jadi,” katanya.Setiausaha Agong Persaudaraan Kristian Evangelikal Nasional (NECF), Wong Kim Kong, pula berkata sebagai makhluk dicipta Tuhan, manusia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga hak bayi yang tidak bersalah untuk memberikannya peluang menikmati kehidupan. Justeru, katanya, jika berasakan tidak mampu memelihara bayi yang lahir daripada hubungan sulit, pasangan terbabit perlu memikirkan kaedah lain serta tidak mengambil tindakan drastik seperti membuang bayi.
<
Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat
-
Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan
perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada perbezaan di antara
penda...
2 days ago
No comments:
Post a Comment