Tuesday, October 30, 2007

Caj Perkhidmatan PTPTN adalah riba...??!

Oleh DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

KESEDIAAN kerajaan untuk meneliti caj pentadbiran yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagaimana jaminan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi awal minggu ini pastilah mampu mengukir senyuman di kalangan penuntut menara gading yang kebanyakannya merupakan peminjam PTPTN. Ketika ini PTPTN mengenakan caj pentadbiran sebanyak tiga peratus berasaskan jumlah pinjaman pada setiap tahun kepada para pelajar yang meminjam daripada tabung tersebut.


Penulis turut berkongsi kelegaan dan kegembiraan dengan jaminan tersebut. Apatah lagi harapan penulis selama ini agar tabung pendidikan yang ditubuh khas kerajaan untuk memberi bantuan pinjaman kepada para pelajar bebas daripada unsur-unsur riba tampak semakin menjadi kenyataan.


Sejak awal diperkenalkan, isu caj perkhidmatan ini sememangnya tidak sunyi daripada polemik perdebatan di kalangan massa. Isu ini kembali menjadi tumpuan lebih-lebih lagi ketika kerajaan dilihat begitu serius dalam usaha memperhebatkan perkembangan sistem kewangan dan perbankan Islam di negara ini. Pelbagai kempen yang dijalankan tampak semakin berjaya meningkatkan kesedaran rakyat mengenai halal haram dalam urusniaga muamalah khususnya berkaitan riba.


Sememangnya pembangunan sistem alternatif yang bebas riba amat bertepatan dengan amaran Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Jika tidak, Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah: 278).


Kecelakaan riba ini turut ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang mengingatkan dalam satu hadis: “Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seseorang lelaki berzina dengan ibunya sendiri.” (At-Tabrani, 7/158; Riwayat Al-Hakim).


Demikianlah bahana riba yang dikategorikan sebagai dosa besar yang bukan sahaja diumpamakan seperti berzina dengan ibu kandung sendiri malah lebih parah lagi sehinggakan Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap pengamalnya.


Sebab itulah dalam konteks urusniaga kewangan semasa, ulama banyak memperincikan garis panduan berasaskan prinsip syarak dalam memastikan urusan muamalah umat benar-benar bebas daripada unsur-unsur riba yang diharamkan.


Salah satu bentuk riba yang jelas diharamkan oleh Islam ialah riba yang terkait dengan amalan memberi hutang atau dinamakan sebagai Riba Al-Qard atau Riba Al-Duyun. Dalam konteks ini, syariat jelas memperincikan bahawa hutang atau pinjaman tidak boleh dikenakan sebarang caj tambahan sama ada bersifat faedah mahupun perkhidmatan. Prinsip ini turut dipertegaskan dalam satu hadis: “Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjaman maka ia adalah riba”.


Majlis fatwa antarabangsa yang mengawal selia operasi sistem kewangan Islam seperti AAOIFI menyataka bahawa, “semua faedah atau lebihan (daripada jumlah yang dipinjam) yang dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat pada awal kontrak ataupun dikenakan ketika kelewatan membayar balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan atau apa-apa manfaat lain dilarang dan adalah riba”.


Berkenaan dengan kos perkhidmatan pula, Majlis Syariah AAOIFI dan Majlis Fiqh Sedunia di bawah OIC (Persidangan Negara-negara Islam), mengeluarkan resolusi yang jelas dengan menyatakan bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal sahaja. Manakala caj yang dikenakan melebihi kos sebenar adalah haram.


Ini bermakna sebarang caj yang dikenakan mestilah berasaskan kos pengurusan yang sebenar dan bukannya sekadar meletakkan peratusan seperti 1 peratus, 2 peratus ataupun 3 peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah yang dikatakan riba kerana manfaat diperoleh daripada nilai hutang yang diberikan dan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar.


Sebaliknya yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa OIC tadi ialah apabila caj dikenakan berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat kepada nilai hutang peminjam. Sebagai contoh, sekiranya kos pengurusan sebenar (termasuk kos dokumentasi, peguam, cukai setem dan lain-lain) bagi setiap transaksi adalah sebanyak RM600. Maka caj tersebut boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang yang diberikan.


Demikianlah perincian yang dilakukan oleh para ulama dalam memperhalusi isu riba dalam urusniaga kewangan khususnya dalam aspek pemberian pinjaman yang sudah menjadi asam garam kehidupan hari ini. Apa yang penting elemen riba tidak boleh dikompromi sama sekali dalam upaya mencari jalan keluar bagi mempermudahkan urusan kehidupan masyarakat.


Justeru, amat bertepatanlah langkah kerajaan untuk menilai kembali kaedah caj perkhidmatan yang dikenakan dalam memberikan kemudahan pinjaman pendidikan kepada para pelajar. Ia sekaligus menggambarkan kesungguhan kerajaan yang begitu prihatin dalam memartabatkan sistem kewangan Islam berteraskan prinsip syarak yang sebenar.

Monday, October 22, 2007

Bersikap Adil Dalam Penilaian..

Oleh: SS. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Mufti Kerajaan Negeri Perlis
http://drmaza.com

BERSIKAP adil terhadap kawan dan lawan amatlah sukar. Namun itulah tuntutan Islam yang agung ini. Hati manusia biasanya apa berpihak kepada orang yang disukai, sekalipun dia di pihak yang salah. Sukar pula untuk menyokong orang yang dibenci, sekalipun dia di pihak yang benar. Apabila perasaan tidak terkawal atau berdisiplin dengan ajaran Islam, maka insan biasanya akan mencari justifikasi untuk membela kesilapan orang disukainya. Dalam masa yang sama, dia mungkin akan mencari ruang untuk mempersalahkan musuh yang dibencinya. Sikap seperti ini menjadi barah kehidupan. Jika ia menguasai masyarakat, kebenaran akan terhapus dan kebatilan akan dibela.

Sikap ini hadir kadangkala disebabkan taksub yang berlebihan, atau kebencian yang berlebihan, atau sayang yang berlebihan, atau adanya kepentingan tertentu di sebalik kebencian yang dipamerkan atau sokongan yang diberikan. Hasilnya nanti, ketidakadilan hukuman atau penilaian akan berlaku. Kebenaran akan dinafikan hanya kerana kebencian. Kesalahan akan dinilai dengan kebaikan hanya kerana ketaksuban atau kecintaan atau kepentingan. Sebab itulah Islam memusuhi sikap yang seperti ini. Firman Allah dalam surah al- Maidah: 8: (maksudnya): Wahai orang- orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Melanggar prinsip keadilan hanya kerana kebencian adalah sikap yang hina. Demikian ajaran al-Quran. Allah menyebut dalam surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Kebiasaan manusia yang tidak berprinsip, akan mudah menerima khabar buruk orang yang dibencinya. Maka banyaklah berita buruk tersebar tanpa bukti dan dalil. Justeru itu Nabi s.a.w. bersabda: Cukuplah untuk seseorang itu dianggap berdusta dengan dia menceritakan setiap yang dia dengar (riwayat Muslim). Kata al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H): “Ketahuilah, tidak selamat seseorang yang menceritakan setiap apa yang dia dengar, dan seseorang tidak menjadi imam (pimpinan) sama sekali apabila dia menceritakan setiap yang dia dengar.” (Riwayat Muslim dalam Muqaddimah Sahihnya).
Hasil dari sikap yang tidak adil ini, sesetengah pihak menolak pandangan bernas seseorang hanya kerana empunya pandangan tidak satu parti, atau satu ‘kem’, atau satu ‘kapal’, atau satu mazhab dengan mereka. Lebih dari itu seseorang dimusuhi oleh partinya hanya kerana bersetuju atau menyokong pandangan parti lawan, padahal pandangan atau dasar itu benar. Lebih dahsyat lagi; kadangkala golongan parti tertentu memandang sinis orang memakai songkok, dan ada pula yang memandang sinis mereka yang memakai kopiah. Sehingga pakaian tradisi dan adat pun dimasukkan dalam kandang politik kepartian. Pemikiran seperti ini adalah lambang ketidakadilan sikap dan kemunduran minda. Sikap buruk ini dinyalakan lagi apinya oleh parti-parti yang suka mengambil kesempatan. Apabila ada tokoh yang mengkritik keputusan kerajaan dalam perkara tertentu dengan niat ikhlas dan bertujuan baik, parti-parti berkenaan jadikan itu isu politik untuk meraih undi. Ceramah dan akhbar parti pun membesarkan isu tersebut untuk kepentingan politik, bukan kebaikan rakyat. Akhirnya, yang menjadi mangsa empunya pemikiran yang baik tersebut dan ideanya juga akan turut terkorban. Politik buruk dan tidak bertamadun ini, jika berterusan akan menjuruskan masyarakat kepada cerita dongeng Hang Nadim yang dibunuh kerana ideanya yang bernas. Sikap suka bersangka buruk yang terhasil dari permusuhan atau kebencian atau kepentingan diri. Firman Allah (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa (surah al-Hujurat: 12).
Taksub adalah antara punca utama hal ini. Taksub pula berbagai-bagai; ada yang taksub kepada sesuatu mazhab, pemimpin, parti politik, bangsa dan lain-lain. Mereka ini akan menghukum sesiapa yang tidak sealiran dengan mereka sebagai tidak baik dan salah. Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali: “Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fiqah yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka. Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan tidak berhati- hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti.” (Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al- Khadra‘).
Penyakit taksub ini kadangkala mengenai golongan agama lebih parah dari golongan lain. Sentimen agama akan digunakan untuk menghukum mereka yang tidak menyokong mazhab, atau parti atau kumpulan yang mereka anuti. Di Malaysia ini umpamanya, golongan taksub ini apabila melihat ada orang yang memberikan pandangan yang berbeza dari kebiasaan adat atau nenek moyang, maka mereka akan dituduh atau difitnah sebagai kaum muda atau wahhabi. Tanpa melihat kepada dalil dan hujah yang dikemukakan. Padahal sebahagian besar mereka yang dituduh itu tidak tahu apa itu kaum muda atau wahhabi. Lebih dahsyat lagi lagi; si penuduh itu pun tidak tahu apakah sebenarnya istilah-istilah tersebut. Sikap inilah yang telah memangsa tokoh-tokoh pembaharuan Melayu; seperti Za‘ba, Syed Syeikh al-Hadi, Abu Bakar Baqir dan lain-lain.

Saya masih ingat seorang yang dituduh wahhabi hanya kerana membaca buku fiqah mazhab Syafii iaitu al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafii. Buku tersebut ditulis oleh tokoh- tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafii, iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji. Namun apabila dibaca apa yang disebut dalam buku tersebut: “Daripada bidaah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya,” (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), maka si pembaca dituduh wahhabi, sedangkan buku yang dibaca adalah buku mazhab Syafii.
Demikian ketidakadilan sikap. Mereka lupa kitab-kitab jawi Melayu juga menyebut hal yang sama. Tokoh jawi Melayu yang terkenal Syeikh Daud al-Fatani berkata dalam Bughyah al-Talab: “Lagi bidaah bagi orang yang kematian membuat makanan menyerukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bidaah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya,” (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: “Maka bidaah yang tidak elok,” (7/130). Kesemua mereka ulama tradisi Melayu, apakah mereka semua juga wahhabi?
Ada orang tuduh Perlis wahhabi. Apabila ditanya, apa itu wahhabi? Dia gagal memberi jawabannya. Ada kata wahabi macam Arab Saudi. Saya katakan: Bukan semua fatwa Perlis sama macam Arab Saudi. Wanita di Perlis umpamanya, tidak diwajibkan berpurdah. Ada yang kata kerana Perlis terima ketokohan Muhammad bin Abdul Wahhab, tokoh reformis Saudi. Saya kata: Perlis mengiktiraf kesemua mereka yang menyumbang untuk umat Islam, sama ada Muhammad bin Abdul Wahhab, atau Muhammad ‘Abduh atau Ibn Taimiyyah atau al-Ghazali atau imam-imam yang empat atau selain mereka. Ini bukan juga bererti kita memaksumkan mereka. Keinsafan dan keadilan sikap mengajar kita menghormati sumbangan ilmuwan dan sikap suka mengkafirkan tokoh tanpa alasan yang benar adalah warisan khawarij, bukan ajaran Ahli Sunah wal Jamaah.
Saya sendiri tidak banyak memberikan perhatian kepada tulisan Muhammad bin Abdul Wahhab, namun saya tidak menuduhnya bukan-bukan tanpa bukti kerana itu bukan akhlak Islam. Apatah lagi apabila saya dapati tokoh-tokoh umat Islam seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, Mesir: Maktabah Wahbah). Bahkan tokoh fiqah dunia terkenal yang sering negara kita jemput–beliau ulama dari Syria bukan Arab Saudi–Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu Muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas Hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan Muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bidaah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih.” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58). Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin ‘Abd al- Wahhab patut dituduh wahhabi atau tidak?!
Jika hendak mencari orang yang mengutuk, setiap tokoh ada yang mengutuknya. Imam Syafii yang agung itu pun ada tokoh ilmuwan agung lain iaitu Yahya bin Ma‘in yang mempertikaikannya. Imam al-Bukhari juga dituduh oleh ulama hebat pada zamannya iaitu Muhammad bin Yahya al- Zuhli sebagai menyeleweng. Apa yang hendak dihairankan jika ada yang tersalah hukum kerana tersilap fakta. Apa yang malangnya, ada di kalangan kita yang sengaja mencari yang buruk untuk dihidangkan kepada masyarakat.
Saya bukan wahhabi, Perlis juga bukan negeri wahhabi, namun kami ingin menghargai setiap tokoh yang berjasa, dan tidak dapat menerima sikap suka kafir-mengkafir dan sesat-menyesat. Semua para imam Ahlu Sunah wal Jamaah, termasuk imam yang empat adalah rujukan kami. Kami tidak mahu mengehadkan diri kami mengambil ilmu hanya dari seorang tokoh lalu mengharamkan kesarjanaan dan keilmuan tokoh-tokoh yang lain. Bagi kami, dalil dan hujah itu yang utama, bukan siapa tokohnya. Lihatlah dunia dengan mata yang terbuka dan minda yang bercahaya.
Ketika angkasawan kita telah membelah ufuk langit, ada pihak berkuasa agama tertentu yang masih hendak kalut dengan menyesatkan atau mengkafir kaum Muslimin hanya kerana menyatakan hendaklah umat mengambil manfaat dari semua sarjana Muslim dari berbagai mazhab dan pentingkan dalil al-Quran dan sunah yang sahih. Saya amat berbahagia dengan sokongan kepada idea-idea pembaharuan yang dicetuskan. Malangnya, ada yang antipemikiran progresif dan mengambil jalan mudah dengan menuduh sesiapa yang menyeru kepada sikap dan minda terbuka sebagai wahhabi. Kenanglah arahan Allah: “Bersikap adillah, sesungguhnya adil itu lebih dekat kepada takwa”.

Saturday, October 13, 2007

Salam Aidilfitri 1428 H... - Tun Ir Abdul Muiz Abdul Wahab

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...



Ingin ku ambil kesempatan ini untuk mengucapkan



Selamat Hari Raya Aidilfitri

Maaf Zahir Dan Batin..

Kullu 'amin wa antum bikhair..



"Taqabbalallahu Minna Wa Minkum.."



Moga Aidilfitri menjadikan kita lebih istiqamah dalam menunaikan ibadah kita kepada Allah seperti mana yang berlaku ketika kita dalam madrasah Ramadhan..



Aminnn..


P/S: Sorry terlambat.. Banyak masalah teknikal berlaku ketika awal Syawal lalu.. :)

Thursday, October 11, 2007

Dr Sheikh Muszaphar Mengangkat Kembali Martabat Islam - Mufti Perlis.

KANGAR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) malam ini melakukan jihad mulia dan mengangkat kembali martabat Islam yang pernah mencapai tamadun tinggi satu ketika dulu.

Dr Sheikh Muszaphar telah melakukan pengorbanan ke jalan Allah dan "dalam keadaan sekarang, mewujudkan angkasawan adalah lebih utama daripada melahirkan ustaz. Ustaz dah terlalu ramai sekarang," kata mufti itu.

Beliau berkata demikian semasa menyaksikan siaran langsung pelepasan angkasawan negara itu dengan roket Soyuz TMA11 dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, menerusi siaran televisyen di Kompleks Warisan di sini malam ini.

Menjelas lanjut, Dr Mohd Asri berkata, pada masa ini umat Islam perlu meneroka pelbagai cabang ilmu bagi mengembalikan martabat dan kegemilangan Islam.

"Sepatutnya umat Islam mendahului sains dan teknologi termasuk meneroka angkasa lepas tapi kita biar orang lain bina tamadun dan mendahului kita," katanya.

Beliau berkata angkasawan negara itu yang bakal melakukan penyelidikan di angkasa lepas bukan sekadar memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam tetapi juga merupakan satu kejayaan kepada umat Islam seluruhnya.

Walaupun segala teknologi angkasa lepas itu bukan dimiliki umat Islam ketika ini namun kejayaan angkasawan negara pasti akan merintis kejayaan demi kejayaan, kata Dr Mohd Asri, 36, termuda di kalangan mufti di negara ini.

Beliau berkata, kejayaan negara melahirkan angkawasan itu menandakan satu pencapaian di peringkat dunia dan satu cabang ilmu yang sepatutnya mendapat sokongan seluruh umat Islam.

"Seandainya kita ada wang zakat yang berlebihan, kita boleh salurkan bagi membantu menjayakan program itu," katanya.

Beliau menasihati umat Islam tidak membangkitkan isu-isu remeh terhadap angkasawan seperti amal ibadat angkasawan semasa di angkasa lepas.

Katanya, perkara seperti solat telah diterangkan dengan jelas sebelum ini oleh pakar-pakar agama.

"Jika perkara remeh itu masih dibangkitkan, ia akan menjadi penghalang kepada kejayaan umat Islam dalam menguasai teknologi," katanya.

Mufti itu menyaksikan siaran langsung itu bersama ribuan jemaah yang hadir di kompleks tersebut sempena program Ihya Ramadan anjuran kerajaan negeri. BERNAMA

Sumber: http://www.mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_8d395855-c0a85062-1e6f6780-c948943b

atau

http://web7.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=289536

Wednesday, October 10, 2007

Alhamdulillahh..

Alhamdulillah.. Puji dan syukur hanya layak buat Allah SWT atas kurniaan umur yang masih sempat mengharungi Ramadhan kali nih.. Walaupun agak sibuk luar biasa bermula awal Ramadhan hingga ke pertengahan, namun separuh kedua ramadhan ini tahap kesibukan semakin beransur kurang. Pastinya malam ini merupakan antara malam2 terakhir Ramadhan yang akan kita rebut bersama pada tahun ini... Alangkah bertuahnya orang yang dapat merebut keseluruhan tawaran Ramadhan ini...!

Ada beberapa isu menarik berlaku pada minggu ini. Antaranya angkasawan pertama negara yang akan berangkat ke ISS pada malam ini. Sejarah pastinya terlakar gemilang menyaksikan Dr Sheikh Muszaphar Shukor bersama 2 lagi angkasawan Rusia dan Amerika meluncur ke angkasa menggunakan Rokert Soyuz dari Kazakhstan. Cuma yang lebih penting dan membanggakan adalah kenyataan beliau yang menjadi saksi bahawa beliau tidak lupa diri sebagai seorang Muslim.

Kenyataan yang disiarkan oleh RTM1 melalui perbualan telefon memberi kelegaan kepada kita seluruh umat Islam di Malaysia. Beliau dengan tegas berjanji akan meneruskan ibadah puasa dan dan solat semasa diangkasa nanti. Bagaimana caranya, kita pasti Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskannya dan telah diserahkan kepada beliau seperti yang kita ketahui suatu masa dahulu.

Amat sukar pada hari ini untuk dapat kita ikuti kenyataan2 meyakinkan dari orang Islam seperti ini. Dalam suasana rakan2 sebaya kita semakin lalai sehingga roh Ramadhan pun sudah hilang dari jiwa nurahi mereka. Tatkala aku berbuka puasa diluar semalam, kelihatan banyak 'couple2' orang kita yang turut sama menunggu untuk berbuka. Tanpa segan silu, bertepuk tampar dihadapan khalayak ramai. Aurat tak yah cakap la.. Tiba2 masa nk bukak posa angkat tangan baca doa... Bukankah lebih manis andainya tatkala memohon sesuatu dari Allah kita dalam keadaan menutup aurat untuk menepati kehendakNya?

Semasa kami bergerak pulang, mereka masih lagi bergelak ketawa seolah2 tidak tahu waktu maghrib begitu singkat..

Inilah fenomena yang meresahkan.. Namun kita bersyukur atas janji Dr Sheikh Muszaphar ini. Harapan kita beliau diberikan kekuatan untuk melaksanakan apa yang dijanjikan. Semoga ia menjadi contoh juga kepada 2 lagi angkasawan luar akan betapa Islam itu sesuai walau dimana kita berada..

Wallahua'lam.

Wednesday, October 03, 2007

JANGAN MENGELUH...! Credits to Dr Noor Illiey :p

Kita selalu Bertanya....................dan Al-Quran sudah pun menjawabnya.................

KITA BERTANYA : KENAPA AKU DIUJI?
QURAN MENJAWAB "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," ("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
QURAN MENJAWAB "Boleh jadi kamu membenci sesua tu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." - Surah Al-Baqarah ayat 216

KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
QURAN MENJAWAB "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." - Surah Al-Baqarah ayat 286

KITA BERTANYA : KENAPA RASA FRUST?
QURAN MENJAWAB "Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman." - Surah Al-Imran ayat 139

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." - Surah Ali-Imran ayat 200

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" - Surah Al-Baqarah ayat 45

KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?
QURAN MENJAWAB "Sesungguhnya Allah telah membeli dari org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ? - Surah At-Taubah ayat 111

KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
QURAN MENJAWAB "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." - Surah At-Taubah ayat 129

KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!!
QURAN MENJAWAB "... ..dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir." - Surah Yusuf ayat 12

Salam Perjuangan.. Melangkah terus gagah mencari Lailatul Qadr..!

Monday, October 01, 2007

Kejamnyerrrr !!!

Hari ni suasana ceria pagi Isnin bertukar duka seketika apabila aku diberitahu akan hal itu. Pagi yang aku harapkan menjadi titik permulaaan untuk mengurangkan sedikit beban dibahu menjelang 7.1K WSPW Ramp hancur berkecai begitu sahaja. Nampaknya situasi ini akan berterusan buat beberapa bulan lagi.. Lebih memburukkan lagi keadaan, masih ada ketidaktentuan yang harus di selesaikan sebelum matahari gelincir. Namun apa boleh ku buat.. aku gagal berfikir tatkala ini.. Aku lebih mudah mencoret fikiran yang kecamuk ini berbanding menyiapkan tugasan yang memeningkan…

Walaubagaimanapun, ia mesti diteruskan jua…! Ya Allah, berilah kekuatan buat hambamu ini..!

Tiba2 tinta ini terhenti…!! Terkulai minda ini di pagi 19 Ramadhan..