Thursday, October 11, 2007

Dr Sheikh Muszaphar Mengangkat Kembali Martabat Islam - Mufti Perlis.

KANGAR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) malam ini melakukan jihad mulia dan mengangkat kembali martabat Islam yang pernah mencapai tamadun tinggi satu ketika dulu.

Dr Sheikh Muszaphar telah melakukan pengorbanan ke jalan Allah dan "dalam keadaan sekarang, mewujudkan angkasawan adalah lebih utama daripada melahirkan ustaz. Ustaz dah terlalu ramai sekarang," kata mufti itu.

Beliau berkata demikian semasa menyaksikan siaran langsung pelepasan angkasawan negara itu dengan roket Soyuz TMA11 dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, menerusi siaran televisyen di Kompleks Warisan di sini malam ini.

Menjelas lanjut, Dr Mohd Asri berkata, pada masa ini umat Islam perlu meneroka pelbagai cabang ilmu bagi mengembalikan martabat dan kegemilangan Islam.

"Sepatutnya umat Islam mendahului sains dan teknologi termasuk meneroka angkasa lepas tapi kita biar orang lain bina tamadun dan mendahului kita," katanya.

Beliau berkata angkasawan negara itu yang bakal melakukan penyelidikan di angkasa lepas bukan sekadar memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam tetapi juga merupakan satu kejayaan kepada umat Islam seluruhnya.

Walaupun segala teknologi angkasa lepas itu bukan dimiliki umat Islam ketika ini namun kejayaan angkasawan negara pasti akan merintis kejayaan demi kejayaan, kata Dr Mohd Asri, 36, termuda di kalangan mufti di negara ini.

Beliau berkata, kejayaan negara melahirkan angkawasan itu menandakan satu pencapaian di peringkat dunia dan satu cabang ilmu yang sepatutnya mendapat sokongan seluruh umat Islam.

"Seandainya kita ada wang zakat yang berlebihan, kita boleh salurkan bagi membantu menjayakan program itu," katanya.

Beliau menasihati umat Islam tidak membangkitkan isu-isu remeh terhadap angkasawan seperti amal ibadat angkasawan semasa di angkasa lepas.

Katanya, perkara seperti solat telah diterangkan dengan jelas sebelum ini oleh pakar-pakar agama.

"Jika perkara remeh itu masih dibangkitkan, ia akan menjadi penghalang kepada kejayaan umat Islam dalam menguasai teknologi," katanya.

Mufti itu menyaksikan siaran langsung itu bersama ribuan jemaah yang hadir di kompleks tersebut sempena program Ihya Ramadan anjuran kerajaan negeri. BERNAMA

Sumber: http://www.mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_8d395855-c0a85062-1e6f6780-c948943b

atau

http://web7.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=289536

No comments: